[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Mesej Telah Diberikan, Terpulanglah Kepada Rakyat Sabah.

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:51:21
Remote User: -

Comments

SETIAP PENCERAMAH TUMPU PADA SATU TAJUK PADA CERAMAH

Oleh Jackson Sawatan

KOTA KINABALU, 15 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang mendakwa sebagai penyokong Barisan Nasional (BN) pada pelancaran rasmi Parti Keadilan Nasional (Keadilan) di Sabah hujung minggu lepas mendapati ada satu ciri yang menyebabkan ia berlainan daripada perjumpaan-perjumpaan politik di negeri ini yang dihadirinya.

"Satu perkara ialah ucapan diatur dengan begitu tersusun supaya setiap penceramah hanya menyentuh mengenai isu-isu tertentu...tiada pertindihan mengenai tajuk di kalangan penceramah, jadi orang yang mendengar ucapan tidak berasa bosan," kata beliau.

Pada upacara itu, Naib Presiden Tian Chua, yang berucap dalam bahasa kebangsaan, Cina dan Inggeris menggariskan perjuangan parti sementara Ketua Penerangan Ruslan Kassim menumpukan perhatian kepada kritikan terhadap dasar-dasar umum.

Ketua Pemuda Mohamed Ezam Mohamed Noor pula menyentuh mengenai kronisme secara umum dan mengapa rakyat harus menghentikan amalan itu.

Yang terakhir berucap ialah Presiden Keadilan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menarik perhatian tentang insiden pada malam suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap oleh polis.

Beliau menjelaskan tentang perjuangan parti untuk "menegakkan keadilan" dan pada akhir ucapan, beliau menjelaskan pendirian parti mengenai isu-isu berhubung hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Tetapi cara yang tersusun yang setiap penceramah berucap ialah satu-satunya komen bersifat positif oleh lelaki berkenaan mengenai parti itu.

Akhirnya lelaki itu yang aktif berkempen bagi Barisan Nasional semasa empat pilihan raya negeri Sabah yang lepas dan tiga pilihan raya umum membuat kesimpulan bahawa walaupun ramai yang menghadiri ceramah di Hongkod Koisaan, di sini, Keadilan menghadapi tugas berat untuk memenangi hati penduduk di Sabah.

"Ia mungkin memenangi hati mereka berhubung dengan nasib Azizah tetapi tidak minda mereka," kata beliau.

Selepas Dr Wan Azizah selesai berucap, hadirin secara tergesa-gesa mula meninggalkan dewan yang boleh memuatkan 2,500 orang itu. Sesetengah daripada mereka belum beredar kerana untuk bersalaman dengan Presiden Keadilan itu ketika beliau menuju ke keretanya.

Isu Kronisme dan nepotisme serta laungan "reformasi" -- langsung tidak dibangkitkan parti-parti pembangkang di "Negeri Di Bwah Bayu' Ini semasa berkempen pada pilihan raya negeri 12 -13 Mac lepas.

Parti pembangkang utama iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) pula membuat pilihan untuk menjauhkan dirinya daripada isu-isu itu.

Isu-isu yang nampaknya dibangkitkan ialah hak negeri, amalan melompat parti, pendatang tanpa izin, pembangunan luar bandar dan kewujudan pengundi hantu.

Walaupun semasa berkempen untuk menafikan kemenangan kepada BN di Sabah semasa pilihan raya negeri, parti-parti pembangkang di negeri ini tidak melancarkan serangan langsung atau peribadi ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan oleh itu, penduduk tempatan berasa kurang senang apabila pemimpin Keadilan berbuat demikian di sini.

Justeru itu, tidak hairanlah apabila PBS mengelak daripada membangkitkan apa yang dilaungkan oleh Keadilan mengenai kepimpinan negara.

Contohnya, anggota dewan undangan negeri bagi Bingkor Datuk Dr Jeffrey Kitingan, walaupun lantang dalam kritikan terutama terhadap kerajaan negeri, memilih untuk membuat komen mengenai isu-isu tertentu sahaja.

"Saya menyambut baik kenyataan oleh Presiden Keadilan mengenai hak-hak Sabah seperti isu imigresen, royalti minyak dan peluang bagi rakyat Sabah untuk memegang jawatan-jawatan Persekutuan termasuk dalam perkhidmatan diplomatik," kata beliau.

Dr Jeffrey menyifatkan dasar-dasar Keadilan mengenai Sabah sebagai positif sambil berkata ia harus disokong oleh rakyat negeri ini.

"Saya ingin menjelaskan bahawa walaupun saya menyokong dasar-dasar Keadilan, saya tidak menyokong parti itu," kata beliau.

Tetapi apa yang dijelaskan oleh Keadilan mengenai Sabah hanya merangkumi kira-kira lima peratus daripada keseluruhan ceramahnya dengan penduduk tempatan.

Selepas lebih tiga jam menghentam kerajaan, dasar-dasar Keadilan mengenai Sabah hanya diumumkan pada minit-minit terakhir apabila Presiden Keadilan menyentuh secara ringkas mengenai pendirian parti tu tentang negeri ini.

Beberapa isu seperti perlunya pungutan suara bagi menentukan sama ada rakyat Sabah mahukan Labuan kekal sebagai Wilayah Persekutuan hanya disentuh dalam kenyataan bertulis yang diedarkan kepada media kemudian.

Tetapi ketika itu soal Labuan tidak lagi menjadi isu di Sabah, menurut Ketua Menteri Datuk Osu Sukam.

Mungkin satu-satunya persamaan antara Keadilan dan parti-parti yang berpusat di Sabah ialah matlamat bersama untuk menafikan majoriti dua pertiga kepada BN dalam Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Keadilan Dr Chandra Muzaffar telah membayangkan hasrat parti itu untuk bertanding di Sabah pada pilihan raya umum dan langkah ini mungkin menyebabkan PBS kurang senang.

"Kita lebih suka Keadilan menumpukan perhatian mereka di semenanjung dan kami menumpukan perhatian di Sabah," kata Presiden PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999