[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Keng Yaik Terasa Asakan Kit Siang, Kes 5 Tahun Diungkit Semula.

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:53:10
Remote User: -

Comments

KENG YAIK MULAKAN PROSIDING MUFLIS TERHADAP KIT SIANG

PETALING JAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Menteri Perusahaan Utama Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik hari ini berkata beliau telah memulakan prosiding muflis terhadap setiausaha agung DAP Lim Kit Siang kerana gagal menyelesaikan kos yang berpihak kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira lima tahun lepas.

Keng Yaik berkata beliau tidak pasti jumlah sebenar kos itu, "tetapi ia kira-kira RM30,000".

"Perkara itu sedang dikendalikan oleh peguam-peguam saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel mengenai jentera pilihan raya parti itu di sini.

Keng Yaik, yang juga presiden Gerakan berkata beliau pada asalnya memfailkan kertas untuk mengisytiharkan Kit Siang muflis dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi pada April lepas " tetapi ketika saya mendapat notis itu, ia telahpun lupus."

Menteri itu berkata beliau tiada pilihan kecuali memfailkan permohonan baru empat minggu lepas.

"Kit Siang enggan membayar hingga sekarang walaupun kami telah banyak kali menghantar notis peringatan," katanya.

Keng Yaik bagaimanapun berkata beliau hanya mahukan keadilan dan tiada niat untuk menjadikannya isu pilihan raya.

Katanya Kit Siang menyaman beliau pada 1990 kerana menggelar pemimpin DAP itu seorang "pembohong".

"Kit Siang yang mula-mula memanggil saya pembohong, bila saya memanggilnya pembohong, beliau saman saya," katanya.

Keng Yaik berkata Kit Siang kalah dalam kes itu pada 1994 dan diperintah membayar kos kepadanya.

"Beliau merayu terhadap keputusan itu tetapi rayuannya ditolak," katanya.

Keng Yaik tidak dapat menyatakan bila Kit Siang telah merayu terhadap keputusan itu atau bila rayuannya ditolak kecuali berkata Kit Siang sepatutnya membayar beliau kos itu kira-kira 18 bulan lalu.

Mengenai pemilihan calon bagi pilihan raya umum akan datang, Keng Yaik berkata beberapa penyandang jawatan telah menyatakan mahu bersara.

"Saya tidak akan memberitahu kamu berapa orang yang akan bersara. Kemungkinan semua penyandang jawatan angggota Parlimen dan negeri Gerakan sekarang akan dikekalkan," katanya.

Keng Yaik berkata beliau akan menemui semua ketua parti dan anggota jawatankuasa negeri untuk membincangkan senarai calon.

Katanya jawatankuasa pusat parti itu akan bermesyuarat 28 Ogos ini untuk melantik setiausaha agung baru, bendahari agung dan enam anggota jawatankuasa pusat.

Mesyuarat jawatankuasa pusat yang akan diadakan itu, adalah yang pertama selepas pemilihan parti 24 Julai lepas.

Terdahulu dalam ucapannya, Keng Yaik menyatakan rasa kesal dengan sikap sesetengah anggota dan pemimpin dalam Gerakan Selangor kerana tidak komited dengan perjuangan parti.

Katanya beberapa anggota malah membentuk kumpulan, sementara yang lain mengelak daripada menghadiri majlis anjuran pemimpin tertentu kerana mereka tidak bersetuju dengan pandangan para pemimpin itu.

"Marilah kita akui, terdapat masalah dalam Selangor (Gerakan)," katanya.

Keng Yaik berkata jika mereka gagal bekerjasama di kalangan mereka, bagaimana mereka mahu mengharapkan untuk bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dalam kempen pilihan raya umum yang hampir tiba. - - BERNAMA


Last changed: August 15, 1999