[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Siapa Kata Kelantan Tiada Daya Penarik

Date: 15 Aug 1999
Time: 23:56:49
Remote User: -

Comments

Ulasan

Walaupun apa jua alasan yang dikemukakan, namun apa yang jelas adalah Kelantan tetap mempunyai daya penarik walaupun ditadbir oleh PAS.

Oleh itu tiada sebab mereka perlu ditukar. ============================================================================================================================== PUSAT TUTORIAL TERMODEN UNITAR AKAN DIBINA DI KELANTAN

KOTA BAHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), sebuah universiti maya pertama di dunia dan di negara ini, akan membina sebuah pusat tutorialnya yang termoden di sini tidak lama lagi.

Pengerusi Unitar, Datuk Hassan Harun berkata, bangunan setinggi empat tingkat itu akan dibina di sebuah kawasan di Kubang Kerian.

"Bangunan berharga RM5 juta itu dijangka siap dan mula beroperasi Februari tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas majlis silaturrahim pelajar baru Unitar dan Institut Teknologi Tun Abdul Razak (ITTAR) di sini, hari ini.

Hassan yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif KUB Malaysia Berhad berkata, bangunan baru itu boleh menampung 5,000 pelajar pada setiap masa dan dilengkapi dengan peralatan multimedia terkini bagi kemudahan pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Unitar kini mempunyai 11 pusat tutorial dengan 70 pensyarah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Manakala jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di universiti itu ialah kira-kira 2,000 orang.

Hasaan berkata Unitar akan mengambil pelajar baru daripada Selatan Thailand tidak lama lagi.

Ia bertujuan membuka peluang seluas-luasnya kepada rakyat negara luar mengikuti pengajian di universiti ini.

Unitar ketika ini menawarkan dua pengajian di peringkat sarjana muda, tiga sarjana dan satu doktor falsafah.

"Mulai Februari tahun depan kita akan menambah satu lagi kursus peringkat sarjana muda iaitu Bachelor in Communications, manakala pada September atau Oktober ini akan menggunakan kaedah pembelajaran universiti secara udara bagi pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di ITTAR.

Kaedah itu hanya memerlukan pelajar menggabungkan komputer dan televisyen di rumah untuk mengikuti pengajian mereka dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Hassan berkata, Unitar bersedia membantu mana-mana pihak yang ingin menubuhkan universiti menggunakan kaedah maya itu.

Kampus induk Unitar ialah di Kelana Jaya, Selangor dan semua pengajiannya diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan.

Pada sidang akhbar itu Hassan mengumumkan pemberian biasiswa kepada seorang pemuda yang lumpuh separuh badan daripada Pasir Mas iaitu Wan Hazidi Wan Mustapha, 32, bagi mengikuti pengajian di peringkat diploma di ITTAR.

Wan Hazidi akan menerima biasiswa RM50,000 daripada Unitar bagi menyambung pelajaran bagi kursus Diploma Sains Komputer.

Pemuda itu adalah bekas pelajar tahun akhir di Universiti Putra Malaysia sebelum terbabit dalam kemalangan beberapa tahun lepas yang menyebabkan beliau lumpuh. -- BERNAMA


Last changed: August 15, 1999