[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Setuju Dengan Syarat

Date: 16 Aug 1999
Time: 00:10:53
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kita setuju supaya akta ini diwujudkan dengan syarat kajian terhadap OSA perlu dibuat kerana banyak akta-akta negara sekarang yang bercanggah antara satu sama lain.

Kita juga berharap agar mereka yang rasuah berbilion-bilion ringgit juga dimasukkan sebagai pengkhianat negara. Begitu juga mereka yang terlibat dalam buruh asing secara haram.

============================================================================================================================== IBRAHIM CADANG PENGGUBALAN AKTA PENGKHIANAT NEGARA PADA MESYUARAT MT UMNO

SHAH ALAM, 15 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ibrahim Ali, akan mengemukakan cadangan supaya digubal satu akta baru membabitkan kesalahan mengkhianati negara untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan datang.

Beliau berkata sudah sampai masanya satu Akta Pengkhianat Negara diperkenalkan bagi menghukum mereka yang didapati mengkhianati negara sendiri.

Katanya oleh kerana kesalahan mengkhianati negara jauh lebih berbahaya daripada mengedar dadah, hukuman mati mandatori harus dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan itu.

"Kegiatan menyimpan atau menyembunyi dokumen kerajaan di luar negara kini berlaku, dan saya pasti ia akan berulang pada masa hadapan sekiranya tidak dibendung dari sekarang," katanya pada persidangan berita di Intekma Resort and Convention Centre, di sini, hari ini.

Katanya tindakan seperti memyampaikan ceramah atau mengeluarkan kenyataan memburukkan negara semasa berada di luar negeri seharusnya boleh dianggap sebagai tindakan mengkhianati negara.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Keadilan, Mohamad Ezam Mohamed Nor, bahawa bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada menyimpan kira-kira enam kotak dokumen sulit kerajaan di luar negara yang mengandungi bukti penyelewengan di dalam negara.

Ibrahim berkata kerajaan perlu mengambil sikap berhati-hati dan mengkaji sedalam-dalamnya dalam menangani isu pendedahan Ezam itu.

Beliau juga mencabar Ezam supaya membuktikan dakwaannya bahawa berlakunya penyelewengan dalam negara dan tidak hanya membuat kenyataan semata-mata untuk menimbulkan isu sensasi.

Sementara itu, Ibrahim berkata Perhimpunan Perdana Siswazah Institut Teknologi Mara (ITM) yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, pada 26 Ogos ini mendapat sambutan amat menggalakan dengan sehingga kini, kira-kira 15,000 bekas siswazah ITM telah menyatakan keinginan mereka untuk hadir pada perhimpunan itu.

Menurutnya Perdana Menteri akan menyampaikan anugerah Tokoh Alumni ITM kepada empat bekas siswazah ITM, yang mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang yang diceburi, pada majlis itu di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam.

Ibrahim, yang juga pengerusi jawatankuasa perhimpunan itu, berkata perhimpunan itu terbuka kepada orang ramai termasuk dari kalangan pembangkang bekas siswazah ITM.

Mereka yang ingin menyertai perhimpunan itu boleh menghubungi Jabatan Perhubungan Alumni ITM di talian 03-558 1243/03 atau 03-552 9077/8/9 sambungan 1416/7 bagi mendapatkan keterangan lanjut. -- BERNAMA


Last changed: August 16, 1999