[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Buang Kes Ini,  Dakwa Azizan Kerana Berbohong

Date: 16 Aug 1999
Time: 20:50:10
Remote User: -

Comments

DAKWA AZIZAN KERANA BERBOHONG DI MAHKAMAH, KATA PEGUAM ANWAR

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Saksi utama pendakwaan, Azizan Abu Bakar seharusnya didakwa kerana berbohong semasa memberikan keterangan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Christopher Fernando yang mewakili Anwar berkata, pembohongan Azizan dapat dilihat dengan jelas selepas saksi itu berkata beliau memberitahu polis bahawa bekas timbalan perdana menteri itu ada meliwatnya pada tahun 1994.

Sebelum ini, kata Fernando, dalam soalan balas olehnya berhubung perkara itu, Azizan telah menafikan ada memberitahu polis yang Anwar telah meliwatnya pada 1994, tetapi saksi itu telah menukar ceritanya setelah diperiksa semula oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah hari ini.

"Saya menghujah bahawa ini adalah kes pembohongan yang nyata. Yang Arif, saksi ini berbohong ketika memberi keterangan bersumpah. Ini merupakan contoh klasik tentang seorang saksi yang bersedia untuk berbohong dengan sewenang-wenangnya.

"Beliau tidak mengambil kira langsung kepada kesucian sumpah yang dibuatnya. Oleh itu saya menyeru mahkamah supaya mengarahkan agar saksi ini didakwa dengan tuduhan berbohong. Ini adalah kesalahan yang sangat serius.

Kredibilitinya nyata boleh dipersoalkan," kata Fernando. Fernando berkata demikian ketika mahkamah sedang mendengar keterangan Azizan pada hari ke-42 perbicaraan Anwar dan Sukma yang dituduh meliwatnya di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada 7.45 malam, antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma, 38, juga dituduh bersubahat dengan Anwar, 52, yang juga bekas Menteri Kewangan, untuk meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, di tempat dan pada masa yang sama.

Mohtar yang mengetuai pendakwaan berkata, Fernando boleh berhujah mengenai perkara itu dan mahkamah akan memutuskan isu berhubung kredibiliti Azizan pada akhir kes pendakwaan selepas mendengar keterangan saksi itu secara keseluruhan.

"Adalah terlalu awal pada peringkat ini untuk menghujah dan berkata bahawa keterangan saksi ini didapati palsu dan bahawa dia seharusnya didakwa kerana berbohong sedangkan kami baru sahaja memulakan pemeriksaan semula," kata Mohtar.

Mohtar lalu meminta izin Hakim Datuk Arifin Jaka untuk meneruskan pemeriksaan semula terhadap Azizan.

Fernando berkata: "Dia (Azizan) didapati berbohong di depan mata kita di mahkamah ini. Dia membatalkan apa yang telah dikatakan beberapa hari lepas. Bohong adalah bohong. Apakah bezanya ia diberitahu pada awal atau akhir?

"Dia bersedia berbohong ketika memberi keterangan di mahkamah. Ini amat serius. Yang Arif tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, Arifin yang bersetuju dengan Fernando bahawa keterangan Azizan berhubung perkara itu adalah bercanggah, berkata pada peringkat ini mahkamah akan membenarkan Mohtar meneruskan pemeriksaan semulanya terhadap Azizan.

Arifin berkata, beliau akan memutuskan sama ada saksi itu berbohong atau tidak di mahkamah pada akhir kes pendakwaan, serentak dengan keputusan prosiding mencabar keboleh-percayaan Azizan yang dijalankan sebelum ini.

Sebelum itu, Arifin memerintahkan kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menyemak nota masing-masing berhubung perkara itu selepas Fernando membantah soalan yang dikemukakan oleh Mohtar berhubung kejadian liwat yang dikatakan berlaku pada tahun 1994 dan mendapati nota mahkamah berhubung keterangan Azizan adalah sama dengan nota Fernando.

Mahkamah memulakan sesi perbicaraan pada sebelah pagi dengan mendengar permohonan naib presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar untuk mengetepikan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadapnya pada 3 Ogos lepas.

Pada peringkat ini, Anwar dan Sukma tidak berada di kandang tertuduh memandangkan permohonan itu adalah satu isu yang berasingan.

Sukma berada di galeri awam manakala Anwar yang pada mulanya telah dibawa masuk ke dalam mahkamah pada pukul 9 pagi, telah ditempatkan di lokap mahkamah.

Peguam Karpal Singh, yang mewakili Chandra, berkata notis tunjuk sebab yang dikeluarkan atas permohonan pendakwan itu perlu diketepikan kerana mahkamah telah tersilap merumuskan bahawa Chandra telah melakukan "sesuatu yang boleh dianggap sebagai kesalahan menghina mahakamah."

Karpal juga berkata, notis tunjuk sebab itu tidak berasaskan bukti yang boleh diterima kerana ia daripada Internet, oleh itu pengeluarannya adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Karpal berkata, oleh kerana Mohtar tidak mengemukakan kenyataan yang diambilnya dari Internet secara bersumpah, kedudukannya adalah sama seperti seorang pemberi maklumat.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 90A (1) Akta Keterangan 1950, maklumat sedemikian tidak boleh diterima sebagai bukti tanpa mengemukakan pembuatnya dan oleh itu, ia tidak boleh digunakan sebagai asas untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr Chandra.

Katanya lagi, mahkamah perlu berhati-hati dalam perkara itu memandangkan ia adalah "dengar cakap" dan melibatkan "kebebasan bersuara" seseorang individu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Karpal berkata, mahkamah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang didapati menerusi Internet kerana sesiapa sahaja boleh menggunakannya dan menulis kenyataan yang didakwa dibuat oleh Chandra.

Arifin yang bersetuju dengan Karpal berkata, "sesiapapun boleh memasukkan apa sahaja ke dalam Internet".

Selepas itu, Arifin meminta Timbalan Pendakwaraya Tun Majid Tun Hamzah membalas hujah Karpal mengenai sama ada kenyataan yang diambil dari Internet yang didakwa dibuat oleh Chandra itu boleh diterima atau tidak.

Tun Majid berkata, mahkamah boleh menggeluarkan notis tunjuk sebab itu dengan hanya berasaskan kenyataan yang diambil dari Internet dan apa yang boleh dilakukan pada peringkat ini adalah menyoal Chandra yang hadir di mahkamah hari ini sama ada beliau ada berbuat demikian atau tidak.

Arifin yang tidak berpuas hati dengan hujah Tun Majid berkata beliau tidak boleh berbuat demikian dan menyoal mengapa pendakwaan tidak mengemukakan afidavit jawapan terhadap afidavit Chandra yang telah difailkan untuk menyokong permohonan bagi mengetepikan notis tunjuk sebab itu.

Tun Majid berkata, pendakwaan tidak berbuat demikian memandangkan mereka tidak pernah membuat permohonan supaya mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab itu kepada Chandra berhubung perkara itu.

Pada peringkat ini, Mohtar berkata apa yang berlaku pada 3 Ogos ialah beliau telah menarik perhatian mahkamah mengenai perkara itu dengan menyerahkan satu salinan mengenai kenyataan yang didakwa dibuat oleh Chandra di Internet.

Mohtar berkata beliau berbuat demikian supaya mahkamah menimbangkan sama ada mahu mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Chandra atau secara alternatif, mengarahkan satu siasatan lanjut diadakan berhubung perkara itu.

Arifin kemudian menangguhkan prosiding dan mengarahkan kedua-dua pihak berjumpa dengannya di dalam kamar.

Selepas mahkamah bersidang semula pada pukul 11 pagi, Arifin menetapkan Sabtu ini untuk mendengar hujah lanjut Mohtar berhubung permohonan yang dikemukakan oleh Karpal untuk mengetepikan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan olehnya terhadap Chandra.

Selepas itu, perbicaraan kes liwat Anwar diteruskan dengan Azizan disoal balas oleh peguam Sukma, Gobind Singh Deo berhubung hari yang dikatakan kejadian liwat berlaku.

Gobind telah ditegur oleh Arifin ketika peguam itu mendesak Azizan sama ada saksi itu ada bersembahyang Jumaat pada hari berkenaan walaupun Azizan menjawab beliau telah bersembahyang Zohor di pejabatnya pada hari itu.

Arifin berpendapat tindakan Gobind mendesak Azizan dengan mengemukakan soalan yang sama berulang-kali adalah tidak adil kerana saksi itu sudah memberikan jawapannya.

Beliau berkata Gobind perlu tahu sembahyang Jumaat dan Zohor adalah berbeza dan Azizan tidak boleh menunaikan sembahyang Jumaat seorang diri dan saksi itu perlu pergi ke masjid untuk berbuat demikian.

Selepas itu, Arifin sekali lagi menegur Gobind yang meninggikan suaranya kepada Azizan semasa menyuruh saksi itu mengingatkan betul-betul apa yang berlaku dan menasihatkan peguam itu supaya bertenang.

Gobind kemudian berkata kejadian liwat tidak mungkin berlaku dari 23 Feb hingga 25 Mac 1993, iaitu bulan puasa kerana Azizan sendiri menyatakan bahawa kejadian liwat itu tidak berlaku dalam bulan Ramadan.

Peguam itu juga menyatakan bahawa kejadian liwat juga tidak mungkin berlaku sebelum 12 Feb 1993 kerana pada ketika itu, tilam yang menurut Azizan digunakan untuk perbuatan liwat itu, belum lagi dibawa masuk ke apartmen Sukma.

Gobind juga menyatakan bahawa pihaknya akan membuktikan bahawa kejadian liwat itu tidak mungkin berlaku antara 12 Feb dan 23 Feb 1993 kerana pada ketika itu, Anwar langsung tidak berada di Tivoli Villa pada pukul 7.30 malam.

Peguam itu juga berkata, kejadian itu juga tidak mungkin berlaku antara 10 dengan 14 Feb tahun yang sama kerana pada ketika itu, Anwar berada di England "untuk berjumpa dengan (bekas Perdana Menteri Britain) John Major", Paris dan Jerman.

Azizan yang tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa kejadian liwat tidak pernah berlaku, berkata beliau tidak tahu mengenai perkara-perkara yang disebut oleh peguam itu yang melibatkan tempat Anwar dikatakan berada.

Kepada cadangan Gobind bahawa kejadian liwat tidak mungkin berlaku pada Isnin kerana Azizan sendiri menyatakan bahawa sehari sebelum itu beliau bekerja, saksi itu menjawab bahawa beliau tidak ingat.

Azizan berkata, beliau juga tidak tahu bahawa antara 15 dan 20 Feb 1993, Anwar berada di upacara-upacara rasmi setiap malam dan pada 21 hingga 23 Feb tahun yang sama, bekas timbalan perdana menteri itu berada di Bangkok, Thailand.

Azizan juga tidak bersetuju dengan cadangan Gobind bahawa kejadian liwat itu tidak mungkin berlaku pada bulan Januari hingga Mac 1993 seperti yang didakwa olehnya.

Gobind: Saya cadangkan kepada kamu bahawa kamu diperalatkan untuk mereka-reka cerita ini dalam satu konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kekuasaan.

Azizan: Tidak setuju, Yang Arif.

Gobind: Saya katakan kepada kamu bahawa Sukma adalah mangsa yang tidak bersalah di dalam konspirasi yang amat keji dan tidak berperikemanusiaan ini.

Azizan: Tidak setuju, Yang Arif.

Selepas Gobind selesai menyoal balas beliau, Arifin menangguhkan sebentar sesi perbicaraan bagi membolehkan Azizan makan ubat.

Minggu lepas perbicaraan ditangguhkan tiga kali selepas Azizan jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.

-- BERNAMA


Last changed: August 16, 1999