[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Saksi Dungu Terus Berbohong

Date: 16 Aug 1999
Time: 20:54:30
Remote User: -

Comments

ANWAR DAN SUKMA LIWAT SAYA, KATA AZIZAN

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Azizan Abu Bakar memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau benar-benar telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.

"Ya, kejadian itu benar-benar berlaku," kata bekas pemandu peribadi isteri Anwar itu kepada soalan semula oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, yang mengetuai pendakwaan, pada perbicaraan yang masuk hari ke-42, hari ini.

Sambil memandang kepada Hakim Datuk Arifin Jaka, Azizan berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar kejadian itu tetapi ia terjadi lebih kurang empat hingga lima bulan selepas beliau berhenti kerja sebagai pemandu peribadi isteri Anwar pada September 1992.

Ketika ditanya bagaimana beliau ingat benar tarikh itu, Azizan berkata beliau ingat kerana kejadian itu berlaku di rumah Sukma di Tivoli Villa, yang ketika itu baru siap dibina.

Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan dan Sukma, 38, dituduh meliwat Azizan, 38, di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma juga menghadapi tuduhan kedua bersubahat dengan Anwar dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Azizan berkata beliau ada memaklumkan tarikh kejadian itu kepada pegawai penyiasat kes, SAC I Musa Hassan, yang menyuruhnya mengingatkannya betul-betul sebelum mengambil percakapannya.

Musa telah membacakan semula apa yang ditulisnya dan beliau menandatanganinya setelah berpuas hati bahawa apa yang ditulis oleh Musa itu adalah tepat seperti yang diberitahunya, katanya.

Pada ketika ini, Mohtar memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mengemukakan catatan percakapan itu kemudian bagi menunjukkan konsistensi saksi.

Menjawab soalan Mohtar seterusnya, Azizan berkata beliau pernah menjadi pengarah Syarikat Azariq, yang beliau dan rakan-rakannya cuba untuk "pulihkan" tetapi gagal.

Ditanya mengenai kenaikan pangkatnya daripada Eksekutif Pemasaran Syarikat Destine Trading Sdn Bhd kepada Pengurus Jualan dan Pentadbiran syarikat itu, Azizan berkata setahunya, kenaikan pangkat itu adalah kerana beliau berjaya menjual kesemua unit rumah yang dibina syarikat itu dan majikannya berpuas hati dengan prestasi kerjanya.

Apabila Mohtar memintanya menjelaskan bagaimana beliau boleh menceritakan kejadian liwat yang dilakukan terhadapnya oleh Anwar, ketua peguambela Anwar Christopher Fernando membantah dan berkata soalan itu telahpun dikemukakan oleh Mohtar semasa pemeriksaan utama.

"Tapi soalan ini juga ditanya semasa soalan balas," kata Mohtar. Arifin membenarkan soalan itu ditanya.

"Ummi (Hafilda Ali) datang jumpa saya dan beritahu saya dia syak Datuk Seri Anwar ...", kata Azizan, sebelum Fernando sekali lagi bangun dan membantah dengan alasan keterangan saksi itu tidak relevan dengan tuduhan dan hanya bertujuan untuk memalukan Anwar.

"Tetapi pembelaan bertanya dengan panjang lebar mengenai isu ini. Kenapa saya tak boleh tanya. Encik Azizan, tolong jawab," kata Mohtar.

"Dia (Ummi) syak Datuk Seri Anwar ada hubungan sulit ...," kata Azizan, dan dibantah lagi oleh Fernando.

"(Keterangan) ini semakin tidak berkaitan. Tidak perlu untuk membincangkan mengapa (mengenainya)," kata peguam itu.

Sambil merujuk kepada Seksyen 9 Akta Keterangan, Mohtar berkata bantahan itu bercanggah dengan peruntukan seksyen itu yang berkaitan dengan keperluan bagi mendapatkan keterangan yang relevan mengenai sesuatu kes. Selepas Fernando sekali lagi membantah, Peguam Negara berkata beliau boleh menangguhkan soalan itu atau bertanya secara tertutup.

Arifin bersetuju dengan cadangan kedua itu dan mengarahkan polis supaya meminta para pemberita dan orang awam yang mendengar perbicaraan itu keluar daripada mahkamah.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: August 16, 1999