[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Isu Rasuah Diputarbelitkan Jadi Khianat

Date: 16 Aug 1999
Time: 20:56:37
Remote User: -

Comments

ANWAR NAFI DOKUMEN SIMPANANNYA BABIT KESELAMATAN

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau menyimpan dokumen yang ada kaitannya dengan keselamatan negara, sebaliknya hanya menyimpan dokumen mengenai kegiatan rasuah dan penyelewengan.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada persidangan media di rumahnya di sini hari ini, Anwar mendakwa sesetengah pihak dan media tempatan cuba membesar-besarkan isu keselamatan kerana mahu mengalihkan pandangan rakyat daripada isu rasuah.

Bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Nor, dua hari lepas dilaporkan mengaku bahawa pihak Anwar ada menyimpan "lima enam kotak" dokumen kerajaan di luar negara.

Berikutan pengakuan itu, pelbagai pihak telah mengecam tindakan Anwar sebagai perbuatan khianat dan mendesak tindakan keras diambil terhadap mereka yang terbabit.

Dalam kenyataannya hari ini, Anwar berkata sebagai rakyat yang patriotik dan cintakan negara, adalah menjadi tanggungjawabnya mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Adalah satu pengkhianatan bagi sesiapa jua yang melindungi atau mempertahankan perasuah," katanya dalam kenyataan lima perenggan yang diedarkan kepada wartawan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah melakukan rasuah dengan menyalahgunakan kuasanya untuk mencampuri siasatan polis terhadapnya.

Sementara itu, Ezam dalam satu kenyataan petang ini berkata dokumen yang diperolehi oleh pihak bekas timbalan perdana menteri itu tidak semestinya dokumen rasmi kerajaan.

Dokumen itu termasuk surat-surat tokoh korporat kepada Menteri Kewangan Pertama Tun Daim Zainuddin, kata Ezam yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Ezam berkata kenyataan pelbagai pihak yang menggambarkan Anwar dan dirinya sebagai pengkhianat dan mengancam keselamatan negara merupakan tuduhan berniat jahat. -- BERNAMA


Last changed: August 16, 1999