[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kakitangan Awam Akan Tolak BN.

Date: 16 Aug 1999
Time: 21:24:02
Remote User: -

Comments

JPA keluarkan etika penggunaan e-mel, Internet

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan etika penggunaan e-mel dan Internet yang antara lain melarang kakitangannya melawat laman-laman yang memuatkan maklumat antikerajaan dan subversif bertentangan dengan undang-undang negara.

Selain itu, agensi itu juga turut melarang kakitangan awam daripada menjadi ejen penghantar maklumat yang berunsur fitnah yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman negara.

''Dalam hal ini surat edaran yang bertajuk Panduan Kepada Ketua-ketua Jabatan Mengenai Penglibatan Pegawai Kerajaan dalam Gerakan Reformasi adalah berkaitan.

''Peraturan ini adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa,'' demikian dinyatakan oleh garis panduan etika itu.

Garis panduan itu diterbitkan menerusi laman web JPA yang berjudul http://www.jpa.gov.my.

Ia menyebut bahawa penggunaan e-mel dan Internet dalam sektor awam telah meningkat dengan pesatnya dengan hampir semua agensi kerajaan telah dilengkapi dengan kemudahan berkenaan.

Bagaimanapun penggunaan yang tidak terkawal akan membawa kepada kesan negatif yang akan memudaratkan bukan sahaja kepada jabatan, bahkan masyarakat dan negara.

Menerusi garis panduan itu, kakitangan awam turut dinasihatkan supaya berwaspada apabila berkunjung ke sesuatu laman terutamanya yang dilarang atau yang boleh menjejaskan maruah mereka, organisasi tempat kerja dan negara.

Jelas garis panduan itu, maklumat mengenai kakitangan awam terbabit yang diperoleh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kemungkinan akan digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu.

''Carilah maklumat menerusi WWW yang berkaitan dengan tugas anda sebagai penjawat awam.

''Bertindaklah sebijak mungkin di dalam membuat carian dengan mengkhususkan bahan atau perkara yang diingini dan memilih enjin pencarian yang popular agar carian itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan dan mendapat tindak balas yang lebih cepat,'' tambah garis panduan tersebut.

Menurut garis panduan berkenaan, akaun e-mel adalah bukan hak mutlak seseorang dan kemudahan itu yang tertakluk kepada peraturan jabatan boleh ditarik balik jika penggunaannya melanggar peraturan.


Last changed: August 16, 1999