[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Bilamana BPR Janji Bingung

Date: 17 Aug 1999
Time: 01:58:53
Remote User: -

Comments

Hanya Peguam Negara boleh miliki dokumen BPR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Shafee Yahya, hari ini turut mengesahkan bahawa dokumen badan itu tidak boleh diserahkan kepada mana-mana pihak kecuali kepada Jabatan Peguam Negara.

Beliau juga memberitahu, sepanjang empat tahun memegang jawatan Ketua Pengarah BPR, pihaknya tidak pernah memberikan sebarang dokumen kepada sesiapapun termasuk Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

''Telah termaktub dalam Akta BPR bahawa badan itu tidak boleh memberikan sebarang dokumen kepada mana-mana pihak.

''Malahan tiada sesiapapun yang boleh mengarahkan BPR agar menyerahkan dokumen jabatan, kecuali Jabatan Peguam Negara,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau adalah Ketua Pengarah BPR dari Julai 1994 dan bersara pada September 1998.

Shafee berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamad Ezam Mohd. Nor, yang mengaku pihaknya memiliki dokumen rasmi kerajaan yang diserahkan oleh pegawai kerajaan dan juga BPR.

Isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga mengakui bahawa suaminya telah memperoleh dokumen berkenaan ketika masih menjadi pemimpin kerajaan dan dokumen itu diserahkan oleh BPR.

Dokumen rasmi kerajaan itu didakwa disimpan di luar negara kerana kononnya tidak selamat untuk disimpan di dalam negara.

Ketua Pengarah BPR sekarang, Datuk Ahmad Zaki Husin dalam kenyataannya yang disiarkan hari ini, menegaskan bahawa dokumen BPR tidak boleh diserahkan kepada mana-mana pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan sebagai berkata, dokumen tersebut hanya boleh diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara yang bertindak sebagai pendakwaraya dan jika tindakan Anwar melihat dan menyimpannya, boleh menyebabkan dia didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sehubungan itu Shafee menjelaskan, sepanjang menerajui BPR, tiada pihak yang memintanya untuk melihat atau menyimpan dokumen BPR.

''Bagaimanapun saya tidak tahu jika ada kakitangan yang menyerahkan dokumen yang disebut-sebut itu,'' ujarnya tanpa mengulas lanjut.


Last changed: August 17, 1999