[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kamu Malukan Dia, Allah SWT Akan Malukan Kamu.

Date: 17 Aug 1999
Time: 05:07:19
Remote User: -

Comments

GAMBAR BOGEL SUKMA DITERIMA SEBAGAI BAHAN BUKTI

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja hari ini menerima sebagai bahan bukti tujuh gambar bogel Sukma yang diambil ketika dia menjalani pemeriksaan doktor.

Gambar-gambar itu diambil oleh jurufoto polis, detektif sarjan Mohamed Zan Jantan yang hari ini dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwa ketujuh.

Dalam permohonannya agar mahkamah menerima gambar-gambar itu dan negatifnya sebagai bahan bukti, Timbalan Kanan Pendakwa Raya Azahar Mohamed berkata pendakwaan akan memanggil doktor untuk memberi keterangan berkaitan gambar-gambar itu.

Bagaimanapun, peguam bela Sukma, Gobind Singh Deo membantah permohonan itu kerana menurutnya, ia hanya bertujuan memalukan Sukma dan meletakkannya dalam keadaan serba salah.

"Boleh saya tahu apa relevannya gambar-gambar ini?" kata Gobind.

Azahar berkata gambar-gambar itu ada relevannya dan merupakan sebahagian daripada bukti pendakwaan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh Anwar dan Sukma.

Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan, dan Sukma, 38, sedang dibicarakan terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar di apartmen Sukma di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan Anwar dalam melakukan kesalahan itu terhadap Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, di tempat dan pada masa yang sama.

Dalam keterangannya sebelum itu, Mohamed Zan daripada Cawangan Foto, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, berkata gambar-gambar itu diambilnya pada 9 Sept, 1998 di sebuah bilik di kawasan lokap di Bukit Aman, tempat Sukma ditahan ketika itu.

Gambar-gambar itu diambil atas arahan pembantu pegawai penyiasat kes itu, ASP Rodwan Mohamed Yusof.

Katanya, semasa gambar-gambar itu diambil, dua orang doktor dan Rodwan turut hadir. -- BERNAMA


Last changed: August 17, 1999