[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Semua Sokong Tapi Mesti Adil

Date: 17 Aug 1999
Time: 20:22:21
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kita tahu mengapa soalan ini dianjurkan kepada Dr Chen. Wartawan media kroni cuba melaga-lagakan parti-parti alternatif. Itu saja tujuan mereka. Sebenarnya kita juga tidak mahu OSA disalahgunakan. Kita mahu satu suruhanjaya bebas menyiasat perkara ini dalam usaha untuk perangi rasuah peringkat tinggi. Tapi kalau fail-fail ini dikategorikan sebagai rahsia mana mampu kita heret yang bersalah ini ke mahkamah.

============================================================================================================================== DAP sokong dakwa pencuri rahsia kerajaan

SEREMBAN, Isnin - DAP menyokong pihak berkuasa, termasuk polis menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mencuri dokumen rahsia kerajaan, terutama membabitkan keselamatan atau pertahanan kerana ini menjejaskan keselamatan negara.

Pengerusi DAP kebangsaan, Dr Chen Man Hin, berkata mencuri dokumen seperti itu memang serius dan orang yang terbabit sewajarnya didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata DAP yakin pihak berkuasa memang tidak bertolak ansur dalam soal pertahanan, keselamatan dan kedaulatan negara.

"Oleh itu, tidak kira siapa dan kedudukan mereka, pihak berkuasa berhak membuat penyiasatan dan mengambil tindakan perlu.

"Pendirian DAP ialah sebarang perkara yang berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan hendaklah dipelihara, sebaliknya kepentingan negara dan rakyat akan terjejas apabila diganggu-gugat," katanya.

Beliau mengulas permintaan pelbagai pihak, termasuk pemimpin Umno yang meminta pihak berkuasa menyiasat pengakuan Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd Nor yang juga bekas Setiausaha Politik bekas Timbalan Perdana Menteri, menyimpan sekurang-kurangnya enam kotak dokumen rahsia kerajaan di luar negara dan akan didedahkan satu persatu kepada rakyat.

Bagaimanapun, Dr Chen berkata DAP berharap kerajaan tidak menggunakan OSA pula jika ada pihak yang sedia membongkar fail yang mengandungi perkara berkaitan penyelewengan atau rasuah membabitkan orang tertentu.

"Pihak berkuasa seharusnya sedia membuat penyiasatan dan mendedahkannya bagi kepentingan semua pihak. Janganlah sewenang-wenangnya menggunakan OSA terhadap semua kes dan mengecualikannya untuk kes tertentu pula," katanya.

Sebelum itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, polis juga sepatutnya bertindak terhadap aduan-aduan lain.

Mengenai langkah Keadilan untuk meletakkan calon Melayu saja untuk kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang, Dr Chen berkata, DAP tidak bersetuju dengan pendekatan itu.


Last changed: August 17, 1999