[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kenyataan Akhbar Ketua Pemuda KeADILan

Date: 18 Aug 1999
Time: 02:29:12
Remote User: -

Comments

Kenyataan Akhbar Ketua Pemuda KeADILan Dokumen Diluar Negara

Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional telah membuat banyak kenyataan berhubung dengan kenyataan balas saya terhadap dakwaan Perdana Menteri kononnya tindakan Dato' Seri Anwar Ibrahim membongkar penyelewengan rasuah dan salahguna kuasa beberapa Menteri Kabinet membuktikan bahawa beliau bersekongkol dengan kuasa asing dalam satu langkah konspirasi menjatuhkan beliau sebagai Perdana Menteri di Pasir Salak pada 11 Ogos 1999 adalah tindakan saya menyangkal dakwaan tersebut.

Saya mengakui mendapat maklumat tentang banyaknya dokumen yang diperolehi semenjak beliau dipecat menjadi Timbalan Perdana Menteri/Menteri Kewangan pada 2 September 1998. Dokumen-dokumen ini diperolehi diatas rasa keinsafan dan tanggongjawab pegawai-pegawai tinggi kerajaan, pegawai-pegawai bank dan pegawai-pegawai badan-badan swasta yang secara langsung dan tidak langsung memperolehi dokumen-dokumen yang boleh menjadi bukti rasuah dan penyelewengan ramai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional segenap peringkat. Saya juga difahamkan bahawa dokumen-dokumen tersebut disimpan diluar negara kerana tidak terjaminnya keselamatan dokumen-dokumen tersebut didalam negara apabila kandungan dokumen tersebut boleh menggugat kedudukan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang rasuah dan menyeleweng. Penjelasan saya terhadap tuduhan Perdana Menteri telah mendapat reaksi luar biasa daripada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional termasuk Perdana Menteri sendiri. Mereka menggambarkan seolah-olah Dato' Seri Anwar Ibrahim telah melakukan pengkhianatan terhadap negara dengan 'mencari' dokumen rasmi kerajaan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Ingin saya jelaskan disini bahawa:

1. Dokumen yang diperolehi tidak semestinya dokumen rasmi kerajaan. Banyak dokumen saperti surat-surat tokoh korporat kepada Tun Daim Zainuddin yang dibongkar oleh Dato' Seri Anwar baru-baru ini, adalah bukti kukuh penyelewengan dan salahguna kuasa Menteri tersebut dan surat-surat tersebut bukanlah merupakan dokumen rasmi kerajaan.

2. Menuduh Dato' Seri Anwar 'mencuri' dan 'menyimpan' dokumen-dokumen tersebut adalah tuduhan melulu dan tidak berasas. Kenyataan Ketua Pengarah BPR di akhbar-akhbar utama hari ini yang menyatakan bahawa dokumen-dokumen BPR tidak pernah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri jelas menunjukkan bahawa wujudnya peranan pegawai-pegawai kerajaan didalam perkara ini.

3. Menggambarkan seolah-olah Dato' Seri Anwar dan saya sendiri sebagai pengkhianat negara dan mengancam keselamatan negara adalah tuduhan berniat jahat dan tindakan mereka yang gelabah akibat penyelewengan yang pernah mereka lakukan keran yang terancam bukan keselamatan negara tetapi yang terancam sekarang ialah ahli-ahli politik yang rasuah dan menyeleweng kerana merasa tergugat dengan pendedahan ini.

tt Mohamad Ezam Mohd Nor Ketua Pergerakan Pemuda Parti KeADILan Nasional 16 Ogos 1999


Last changed: August 18, 1999