[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Drama Minggu Ini

Date: 18 Aug 1999
Time: 03:49:59
Remote User: -

Comments

Ulasan

Inilah dia budaya busuk UMNO. Sekejap baik sekejap tak baik. Depan okay, belakang tak okay. Ini semua kita telah saksikan kesemuanya.

Kalau dah kuat bagus juga. Takut nanti kalah dia salahkan antara satu sama lain.

Pada rakyat, ini hanya satu drama minggu ini.

Kita tetap akan pastikan BN kalah. UMNO kalah. Itu janji kita kepada Malaysia.

============================================================================================================================== Siti Zaharah minta maaf

KUALA LUMPUR, Selasa - Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, meminta maaf kepada anggota Exco pergerakan itu kerana ketelanjurannya merombak jawatankuasa itu baru-baru ini.

Beliau berbuat demikian pada mesyuarat Exco Wanita Umno di sini hari ini, dua minggu selepas pergerakan itu mengalami pergolakan berikutan rombakan berkenaan yang dibatalkan Majlis Tertinggi (MT) parti dua hari kemudian.

Berikutan maaf Dr Siti Zaharah itu, mesyuarat Exco yang dihadiri semua 27 anggotanya hari ini mengumumkan semua masalah termasuk isu perpecahan dalam pergerakan itu, sudah berakhir.

Mesyuarat yang buat kali pertama dihadiri Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob, turut menyaksikan semua 26 anggota Exco Wanita diberi peluang meluah perasaan masing-masing.

Dr Siti Zaharah pada sidang akhbar selepas mesyuarat empat jam setengah itu, berkata beliau menjelaskan kedudukan sebenar mengapa rombakan itu dibuat dan ia diterima semua anggota Exconya.

"Kami telah mengadakan perbincangan secara telus dari hati ke hati. Semua terbabit dengan perbincangan ini dan berpuas hati. Selaku Ketua Wanita, saya sudah membuat penjelasan bahawa cadangan rombakan tidak sesuai memandangkan senario kita menghadapi pilihan raya.

"Seperti yang telah saya bincangkan dengan Presiden parti, saya setuju untuk menarik balik rombakan itu. Kita semua akur dengan keputusan itu," katanya.

Pergolakan Wanita Umno bermula pada 2 Ogos lalu apabila Dr Siti Zaharah, selepas mengetuai Exconya menemui Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 30 Julai, mengumumkan rombakan yang menyaksikan beberapa ahli digugurkan termasuk Ketua Wanita Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun mesyuarat MT Umno pada 4 Ogos, Dr Mahathir mengumumkan Dr Siti Zaharah bersetuju menarik balik rombakan itu.

Keadaan bagaimanapun tidak kembali tenang apabila Dr Siti Zaharah mendiamkan diri, manakala timbul laporan ada anggota Exco akan mengadakan usul undi tidak percaya terhadapnya.

Sementara itu, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Napsiah Omar, yang dikaitkan dengan isu perpecahan dalam pergerakan itu berkata, semua anggota telah 'meluahkan segala isi perut' untuk meleraikan kekusutan yang berlaku.

Katanya, demi perpaduan parti, semua anggota Exco bersetuju untuk bersatu padu dan memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

"Kejadiah yang berlaku ini mungkin tidak pernah berlaku, tetapi alhamdullillah, dengan adanya perjumpaan hari ini, kita semua bersetuju betapa pentingnya perpaduan dalam parti.

"Kami semua telah mengeluarkan isu perut kami, tidak usah ditanya lagi... anggaplah apa yang berlaku seperti biduk lalu kiambang bertaut.

"Sampaikanlah kepada rakyat di seluruh negara bahawa kita, Wanita Umno, masih kuat dan bersatu, jangan sekali-kali menganggap Wanita ini lemah.

"Tumpuan utama kita sekarang ialah menyusun strategi peperangan bagi menghadapi pilihan raya tidak lama lagi," katanya.

Sambil menolak anggapan wujud perpecahan di kalangan ahli pergerakan ini, beliau menegaskan, Wanita Umno akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pilihan raya.

Napsiah menasihatkan semua 1.4 juta ahli pergerakan itu melupakan sebarang masalah yang ada dan berpuas hati dengan semangat kerjasama yang dicapai pada mesyuarat hari ini.

"Sekarang ini tidak ada pasukan, pasukan kita ialah pasukan Wanita. Apa yang kita lakukan sekarang ialah menyediakan diri secara rohani dan fizikal untuk pilihan raya akan datang," katanya.

Ketua Wanita Pulau Pinang, Sharifah Aminah Syed Mohamad, yang digugurkan dalam rombakan sekejap itu, berkata Dr Siti Zaharah telah meminta maaf sejak dari awal lagi atas tindakannya itu.

"Dr Siti Zaharah dalam ucapan pengerusi berkata sekiranya telah mengecilkan hati sesiapa, beliau meminta maaf," katanya.

Naib Ketua Wanita Umno Sabah, Datuk Dayang Mahani Tun Pengiran Ahmad Rafaie, yang turut disenaraikan dalam rombakan Dr Siti Zaharah itu berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Ketua Wanita Umno itu dan meminta semua anggota mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku.

Menurutnya, kematangan pemimpin Wanita Umno menyaksikan segala masalah dapat dileraikan dalam hanya satu mesyuarat yang diadakan dengan penuh telus dan jujur.

"Kepuasan diri tidak penting, apa yang kita perlu pastikan ialah kemenangan parti pada pilihan raya akan datang.

"Jadikan apa yang berlaku ini sebagai satu iktibar, kerana ia memberi kita peluang untuk lebih mengenal antara satu sama lain," katanya.


Last changed: August 18, 1999