[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

AWAS SABOTAJ JAHAT BN

Date: 18 Aug 1999
Time: 20:08:55
Remote User: -

Comments

KENYATAAN MEDIA (17 OGOS 1999) AWAS SABOTAJ JAHAT BN Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) menyeru seluruh pimpinan parti alternatif dan rakyat Malaysia agar berhati-hati dengan strategi jahat yang akan dilakukan oleh BN dengan menjatuhkan maruah pimpinan PAS dan parti alternatif lain yang bertujuan untuk memburuk imej perjuangan parti-parti alternatif. DPP Pusat sangat membimbangi hal ini kerana BN sebagai parti yang mengamalkan dasar matlamat menghalalkan cara akan melakukan apa sahaja ketika BN berada dalam keadaan yang terdesak seperti sekarang ini.

DPP Pusat tidak menolak kemungkinan mereka akan merancang untuk menuduh PAS sebagai parti pengganas dengan menggambarkan keterlibatan PAS dalam pembentukan tentera bawah tanah dan sebagainya. Mereka mungkin mengumpulkan senjata tajam, senjata api dan sebagainya seperti yang dilakukan terhadap As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya untuk menggambarkan kegiatan haram PAS dengan harapan imej PAS akan terjejas dalam pilihanraya ini.

DPP Pusat juga dapat merasakan bahawa kemungkinan beberapa pimpinan alternatif akan dimalukan dengan pelbagai kes yang melibatkan skandal rasuah, pecah amanah, seks, pengedaran dadah dan sebagainya. Mereka mungkin akan meletakkan dadah di halaman rumah pimpinan alternatif dan membawa polis serta TV3 untuk memalukan pimpinan alternatif walaupun belum dapat dibuktikan kesalahan mereka.

DPP Pusat memandang berat kemungkinan-kemungkinan taktik jahat ini akan berlaku memandangkan BN berada dalam keadaan yang sangat terdesak untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya umum yang akan berlangsung dalam masa yang terdekat ini. Dengan pelbagai kegawatan politik, ekonomi dan sosial yang berlaku diikuti pula oleh perpecahan dalam parti-parti BN seperti krisis Wanita Umno, Pemuda Umno, Pemuda PPP, krisis 3 Tan dalam Gerakan, dan sebagainya menambahkan lagi kebimbangan BN yang mendorong mereka bertindak jahat terhadap pimpinan parti-parti alternatif.

Pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri dijatuhkan dengan konspirasi jahat yang sangat memalukan amat wajar dijadikan pengajaran terhadap strategi jahat dan kotor BN. Mereka akan menggunakan segala alat kerajaan meliputi pasukan polis, media massa, Jabatan Peguam Negara, BPR, Badan Kehakiman dan sebagainya untuk menjatuhkan maruah pemimpin parti-parti alternatif.

DPP Pusat menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersedia dengan jiwa yang besar untuk berhadapan dengan taktik kotor ini. DPP Pusat mengharapkan semua rakyat memperteguhkan hati dan pendirian mereka untuk menolak BN walaupun dimomokan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah palsu yang dirancang khusus untuk memalukan pemimpin alternatif.

HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat


Last changed: August 18, 1999