[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SAC MUSA BERBOHONG LAGI.

Date: 18 Aug 1999
Time: 20:41:54
Remote User: -

Comments

MAHKAMAH PUTUSKAN ESOK SAMA ADA SAKSI BERBOHONG

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini akan memutuskan esok sama ada pegawai penyiasat dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja berbohong selepas mengangkat sumpah sebelum memulakan prosiding menghina mahkamah ke atasnya.

Pada sesi pagi, SAC I Musa Hassan, dituduh "berbohong di mahkamah" oleh peguam Anwar, Karpal Singh, yang kemudian memohon mahkamah mendakwanya kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk Arifin Jaka berkata beliau akan menimbangkan perkara itu selepas mendengar penghujahan daripada Karpal Singh dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail pada sesi petang.

Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan dan Sukma, 38, didakwa meliwat Azizan di no. 10-7-2 Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, 38, seorang ahli perniagaan, juga menghadapi tuduhan berasingan bersubahat dengan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan itu untuk melakukan kesalahan itu.

Karpal Singh berkata mahkamah harus menggunakan kuasa kehakimannya untuk mendakwa Musa kerana menghina mahkamah sebab terdapat percanggahan dalam keterangannya pada sesi pagi, iaitu yang sama dengan pembohongan secara sengaja.

Beliau berkata kesucian mahkamah tidak harus dipandang ringan dan seseorang saksi yang memberi keterangan secara bersumpah di mahkamah harus memberitahu perkara dengan sebenar-benarnya.

"Yang Arif harus menimbangkan perkara ini dengan penuh berhati-hati kerana saksi ini bukanlah saksi biasa... beliau bukanlah orang kampung tetapi seorang yang sangat memahami undang-undang.

"Beliau mempunyai diploma lanjutan dalam undang-undang dan menyandang satu jawatan di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman," kata Karpal Singh.

Perkara itu timbul apabila Karpal Singh bertanya kepada Musa mengapa beliau tidak menghantar Azizan menjalankan pemeriksaan perubatan dan saksi itu berkata ia tidak perlu kerana insiden itu berlaku "kira-kira lima tahun" dari tarikh aduan pertama Azizan, dan kesan akibat perbuatan itu mungkin tidak ditemui.

Apabila Karpal Singh bertanya kepada Musa sama ada menerusi pengalamannya, polis tidak perlu menghantar mangsa seperti itu selepas lima tahun kejadian yang didakwa itu, Musa berkata tidak, dan pada ketika ini, Karpal Singh memohon supaya beliau didakwa kerana menghina mahkamah.

Karpal Singh bertanya kepada mahkamah apakah hukuman jika saksi berbohong selepas bersumpah di mahkamah, dan Arifin menjawab bahawa beliau boleh didakwa kerana sumpah bohong.

Bagaimanapun, Karpal Singh berkata beliau akan mencadangkan supaya saksi itu didakwa kerana sumpah bohong dan menghina mahkamah.

Beliau berkata mahkamah harus mengambil tindakan segera dan tidak membiarkan saksi itu berbohong di mahkamah seperti yang didakwanya berlaku di dalam perbicaraan kes liwat di hadapan Arifin.

Karpal Singh, yang menyebut beberapa pihak berkuasa untuk menyokong kenyataannya itu, juga berkata mahkamah harus memberi peluang untuk mendengar penjelasan pihak yang didakwa menghina mahkamah.

Gani berkata menurut pihak berkuasa yang disebut peguam itu, percanggahan dalam keterangan Musa perlu dilengkapkan dengan elemen halangan atau kekecewaan pentabiran keadilan sebelum beliau boleh didakwa kerana menghina mahkamah.

Gani berkata terdapat prinsip undang-undang yang dikenali sebagai pemeriksaan semula yang membolehkan saksi menjelaskan apa yang telah dikatakannya semasa pemeriksaan balas.

Dalam hubungan ini, beliau berkata Karpal Singh jelas tidak berminat untuk mendengar penjelasan oleh Musa mengenai "percanggahan" itu yang telah dibuatnya semasa pemeriksaan balas.

"Kekeliruan atau ketidakupayaan untuk membuat pejelasan atau tidak diberi peluang untuk membuat penjelasan, tidak boleh menjadi satu pembohongan," kata Gani.

Menurutnya Musa cuba membuat penjelasan mengenai percanggahan itu tetapi dihentikan oleh Karpal Singh.

Merujuk kepada soalan dan jawapan yang ditranspirasikan antara Musa dan Karpal Singh, Gani berkata apa yang saksi beritahu mahkamah adalah hanya pendapatnya dan mahkamah harus sedar bahawa beliau bukanlah seorang saksi pakar.

Beliau berkata Musa tidak berbohong di dalam mahkamah atau berniat berbuat demikian tetapi ia adalah kerana cara soalan itu ditanyakan kepada beliau yang menyebabkan beliau terpaksa menjawabnya dalam keadaan yang agak pelik.

"Paling teruk pun, ia hanyalah semata-mata percanggahan yang boleh dijelaskan oleh pendakwaan selepas ini semasa pemeriksaan semula. Penjelasan mengenai perkara ini perlu diperolehi," kata Gani.

Dalam jawapannya, Karpal Singh berkata tiada apa yang perlu dijelaskan kerana percanggahan dalam keterangan Musa bukan semata-mata percanggahan dan jika mahkamah memutuskan saksi berbohong selepas bersumpah seperti yang didakwa pembelaan, satu tuduhan mesti dibuat terhadapnya.

"Pembohongan tetap satu pembohongan sama ada anda melakukannya semasa pemeriksaan utama, pemeriksaan balas atau pemeriksaan semula," kata Karpal Singh.

Selepas kedua-dua pihak itu selesai berhujah, Arifin berkata beliau akan menimbangkan perkara itu dan memutuskan sama ada Musa berbohong atau tidak, esok.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: August 18, 1999