[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Polis panggil Ezam beri keterangan hari ini

Date: 18 Aug 1999
Time: 20:51:49
Remote User: -

Comments

Polis panggil Ezam beri keterangan hari ini

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ketua Pemuda Keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor telah menerima notis supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPK) di sini esok bagi memberi keterangan berhubung pengakuannya bahawa ''lima atau enam kotak dokumen rasmi kerajaan kini disimpan di luar negara.''

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali, mengesahkan Ezam dipanggil untuk disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah yang menghendaki beliau hadir memberi keterangan berkaitan kes itu.

Mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah, sekiranya mana-mana orang yang dipanggil tidak mahu hadir sebagaimana yang dikehendaki, polis boleh melaporkan keengganan itu kepada majistret yang boleh mengeluarkan waran supaya orang itu hadir sebagaimana yang diarahkan.

Kamaruddin memberitahu, tindakan memanggil Ezam memberi keterangan menandakan polis telah memulakan siasatan untuk menyelesaikan dakwaan penyimpanan dokumen rasmi kerajaan di seberang laut.

''Kita akan mulakan dengan Ezam. Selepas ini baru kita teliti untuk memanggil saksi-saksi lain. Ezam akan disiasat di bawah OSA,'' katanya kepada Utusan petang ini.

Di bawah OSA, rahsia rasmi di-definisikan sebagai ''apa-apa surat yang dinyatakan dalam jadual dan apa-apa maklumat dan bahan berhubungan dengannya dan termasuklah apa-apa suratan rasmi, maklumat dan bahan lain sebagaimana yang boleh dikelaskan sebagai Rahsia Besar, Rahsia, Sulit atau Terhad.''

Akta itu yang dipinda pada tahun 80-an untuk mengetatkan kawalan ke atas rahsia-rahsia negara melarang penyampaian, penerimaan, pemerolehan, pengumpulan atau penyimpanan bahan-bahan yang diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi.

Penalti yang diperuntukkan di bawah akta tersebut ke atas mereka yang melakukan kesalahan ialah hukuman penjara tidak kurang setahun tetapi tidak melebihi tujuh tahun.

Semasa berceramah di Kampung Gajah, Perak pada 12 Ogos lalu, Ezam, 33, membuat pengakuan bahawa ''Anwar menyimpan tidak kurang enam kotak dokumen kerajaan di luar negara.''

Dalam ucapannya di Kampung Sungai Tapah Manjoi, Perak pula, beliau mendakwa beberapa pegawai tinggi kerajaan terlibat memberikan dokumen-dokumen kerajaan kepada Anwar dan Parti Keadilan kononnya ''kerana tidak tahan dengan penyalahgunaan kuasa dan kegiatan rasuah dalam kerajaan.''

Berikutan pengakuan Ezam itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO merangkap Setiausaha Pemuda Barisan Nasional (BN), Zulkifli Mohd. Alwi membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields pada 15 Ogos.

Zulkifli mendesak polis melakukan siasatan segera ke atas Ezam bagi memastikan keselamatan negara tidak terjejas dengan tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ekoran laporan polis itu, Ezam menegaskan beliau tidak akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kes penyimpanan berkotak-kotak dokumen rasmi kerajaan di seberang laut.

''Keterangan hanya akan diberikan apabila saya mendapati pihak polis berlaku adil,'' katanya dalam satu ceramah di Batu Pahat pada 16 Ogos.

Menurut Ezam, beliau hanya akan bekerjasama setelah polis menyiasat laporan yang dibuat olehnya pada 8 Mei lalu mengenai tuduhan rasuah melibatkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Sementara itu, dalam satu kenyataan lain petang ini, Setiausaha Eksekutif Pemuda Parti Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip berkata, Ezam akan membuat kenyataan akhbar pada pukul 11.30 pagi esok sebaik sahaja selesai memberi keterangan kepada polis.

Oleh: TEON EG


Last changed: August 18, 1999