[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Sebenarnya UMNO Belum Bersedia Lagi.

Date: 18 Aug 1999
Time: 20:54:25
Remote User: -

Comments

Persiapan pilihan raya memuaskan

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO berpuas hati dengan persediaan semua badan perhubungan UMNO negeri dan bahagian dalam menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, terdapat beberapa perkara terutama berkaitan dengan penyelarasan sistem komputer di antara ibu pejabat parti di sini dengan negeri-negeri perlu diperkemaskan lagi.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memudah dan memperkemaskan lagi penyelarasan maklumat berkaitan pilihan raya di antara ibu pejabat dan negeri.

''Kita berpuas hati dengan persediaan yang dibuat oleh pihak berkenaan memandangkan tidak ada sebarang aduan masalah diterima setakat ini.

''Walaupun begitu banyak lagi yang perlu dilakukan terutama berkaitan dengan sistem komputer. Apa yang digunakan di sini mesti selaras dengan negeri-negeri,'' kata beliau.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin parti selama lebih dua jam di sini, petang ini.

Abdullah turut ditanya sama ada persiapan di peringkat badan perhubungan negeri dan bahagian itu menandakan kemungkinan bahawa pilihan raya sudah dekat.

Beliau menjawab keputusan untuk menentukan tarikh pilihan raya terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya: ''Tak tahu (mengenai tarikh pilihan raya). Kalau dia (Perdana Menteri) umum kita boleh buat, umum lusa pun kita boleh buat, umum tahun depan pun kita boleh buat.''

Abdullah juga berkata, mesyuarat berkenaan turut membincangkan beberapa masalah berkaitan disiplin anggota parti tetapi enggan mendedahkan butir lanjut mengenainya.

''Ada beberapa kes telah dibincangkan tetapi memerlukan maklumat lanjut, jadi tak payah umum dulu kerana mungkin timbul pelbagai tafsiran, lagipun keputusan belum dibuat,'' ujarnya.

Beliau turut memberitahu, UMNO akan menghulurkan bantuan kepada mangsa kejadian gempa bumi di Turki yang membunuh lebih 2,000 orang dan menyebabkan beribu-ribu lagi cedera.

Bagaimanapun katanya, UMNO akan mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu daripada Wisma Putra mengenai tragedi berkenaan sebelum bertindak menghulurkan bantuan.

Kata beliau, bantuan mungkin dalam bentuk barang-barang, ubat-ubatan atau bantuan Persatuan Bulan Sabit Merah.

''UMNO akan menghulurkan bantuan kepada mereka apabila tiba masanya,'' kata beliau sambil memberitahu isu itu belum lagi dibincangkan di peringkat kabinet.

Dalam kejadian awal semalam, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter telah menggegarkan kawasan yang padat dengan penduduk di bandar perindustrian Izmit, berhampiran Laut Marmara, Turki.

Oleh: SAMSOR JONET


Last changed: August 18, 1999