[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Alumni ITM Diperalatkan Oleh Al Kataki.

Date: 18 Aug 1999
Time: 20:56:34
Remote User: -

Comments

15,000 bekas penuntut ITM dijangka hadir perhimpunan

SHAH ALAM 18 Ogos - Sebanyak 15,000 orang bekas siswazah Institut Teknologi Mara (ITM) dijangka menghadiri Perhimpunan Perdana Siswazah Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, di Stadium Malawati pada 26 Ogos ini.

Sehubungan itu Pengerusi Perhimpunan, Datuk Paduka Ibrahim Ali, menyeru semua graduan ITM yang berjaya dalam bidang masing-masing hadir pada perhimpunan tersebut.

Katanya, kehadiran mereka perlu bagi mengenang jasa ITM yang sehingga kini berjaya mewujudkan lebih 120,000 orang kelas pertengahan Melayu di negara ini dengan memberi pendidikan kepada anak-anak orang Melayu dari kawasan pendalaman sejak ia ditubuhkan.

Menurut beliau, selain bertemu Perdana Menteri, perhimpunan tersebut juga diadakan bagi mengimbas kembali perjuangan dan kenangan siswazah Melayu semasa menuntut di ITM.

''Dengan perhimpunan ini, bekas siswazah akan dapat bertemu sesama sendiri selain berterima kasih kepada ITM kerana tanpa ITM mereka mungkin tidak dikenali atau pun tidak menjadi seperti mereka jadi sekarang,'' kata Ibrahim yang juga bekas pelajar ITM.

Perhimpunan berkenaan, katanya, bukan perhimpunan politik dan pihak jawatankuasa pengelola turut mengalu-alukan kehadiran pimpinan pembangkang jika mereka bekas pelajar ITM.

Turut dijemput pada hari itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menteri-menteri kabinet, menteri dan Ketua Menteri, bekas-bekas Menteri Besar Selangor dan para pengasas ITM.

Mengenai acara pada hari tersebut, Ibrahim memberitahu, selain bertemu dengan kakitangan ITM dan menyampaikan amanatnya, Perdana Menteri akan menyampaikan anugerah khas kepada empat tokoh Alumni ITM. Menurutnya, Dr. Mahathir juga akan merasmikan Yayasan Budiman Intekma yang bakal menjadi sekretariat bagi mewujudkan fakulti yang mengeluarkan barisan kepimpinan negara daripada pelajar ITM.

Selain itu pada malam 25 Ogos pula satu majlis makan malam serta pidato ITM akan diadakan di Intekma Resort dan akan dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Sehubungan itu, beliau berkata, bekas siswazah ITM yang berminat untuk menghadiri majlis perhimpunan itu boleh menghubungi Setiausaha perhimpunan terbabit, Fauziah Hanim di talian 03-5538172/5 atau bendaharinya, Kamaruddin Rahmat di talian 03-5505453 ataupun 011-334425.


Last changed: August 18, 1999