[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Sudah Di Jangka.

Date: 19 Aug 1999
Time: 00:46:34
Remote User: -

Comments

PERMOHONAN PEMBELAAN DITOLAK UNTUK DAKWA SAKSI KERANA MENGHINA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di sini hari ini menolak permohonan pembelaan untuk mendakwa pegawai penyiasat kes itu kerana menghina mahkamah.

Hakim Datuk Arifin Jaka semasa menolak permohonan itu berkata beliau berpuas hati bahawa pegawai itu, SAC I Musa Hassan tidak berbohong walaupun terdapat percanggahan dalam keterangan beliau semalam.

"Saya mendapati bahawa beliau telah bercakap perkara yang berbeza terhadap soalan yang berlainan. Saya berpendapat bahawa permohonan ini adalah tanpa merit dan sehubungan itu saya menolaknya," kata Arifin.

Semalam, peguam bela Anwar, Karpal Singh menuduh Musa "berbohong di hadapan mahkamah" dan memohon untuk mendakwa Musa kerana menghina mahkamah.

Karpal berhujah bahawa mahkamah sepatutnya melaksanakan kuasa kehakimannya untuk mendakwa Musa kerana menghina mahkamah disebabkan percanggahan dalam keterangan beliau yang dianggap pembohongan yang disengajakan.

Perkara itu timbul semasa Karpal bertanyakan Musa kenapa beliau tidak menghantar Azizan untuk pemeriksaan perubatan dan saksi itu menjawab, ianya tidak perlu kerana kejadian itu berlaku "kira-kira lima tahun" dari tarikh aduan pertama Azizan dan kesan kejadian itu mungkin tidak akan ditemui.

Semasa Karpal menyoal Musa sama ada menerusi pengalamannya, polis tidak perlu menghantar mangsa seumpama itu selepas lima tahun kejadian itu didakwa berlaku, Musa berkata tidak dan pada peringkat ini, Karpal Singh mahu beliau didakwa kerana menghina mahkamah.

Arifin kemudian berkata bahawa beliau akan menimbangkan perkara itu selepas mendengar hujah daripada Karpal dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Abdul Gani Patail.

Anwar dan Sukma dibicarakan bersama terhadap tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri Anwar, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, di sini, pada pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, 38, seorang ahli perniagaan juga menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, melakukan kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama. --BERNAMA


Last changed: August 19, 1999