[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BIla Kalah, Si Kepala Taik Akan Jadi Gebenor  Di Sini.

Date: 19 Aug 1999
Time: 00:55:59
Remote User: -

Comments

LAWATAN MAHATHIR BERI KESAN KEPADA RAKYAT RUSIA

Daripada Azman Ujang

KHABAROVSK (Rusia), 19 Ogos (Bernama) -- Lawatan tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ke Timur Jauh Rusia paling sesuai dirumuskan seperti kata-kata seorang pemberita telvisyen Rusia --"Lawatan tuan telah memberi kesan mendalam kepada penduduk Khabarovsk".

"Ramai orang termasuk kanak-kanak sekarang mengenali tuan dan Malaysia daripada liputan televisyen lawatan tuan, dan saya minta tuan memberitahu kami lebih banyak tentang diri tuan dan keluarga tuan," katanya kepada Perdana Menteri pada sidang berita di akhir lawatan beliau.

Kelihatan gembira dengan soalan imformal pemberita itu, Dr Mahathir menjawab: " Terima kasih banyak. Saya telah menjadi Perdana Menteri Malaysia sejak 18 tahun lalu.

Lawatan saya ke sini diiringi oleh isteri saya. Saya mempunyai tujuh orang anak dan 12 cucu."

Banyak perkara informal berlaku semasa lawatan Perdana Menteri di sini. Malam Selasa tadi beliau menyaksikan persembahan orkestra simfoni dan komedi muzikal. Rabu pagi beliau pergi ke pasar basah dan pusat membeli belah, berbual-bual dengan penjual buah-buahan dan penjaja lain, sama seperti yang biasa beliau lakukan di "Pekan Rabu" di Alor Setar.

"Saya berbangga melihat pembangunan di Khabarovsk. Saya gembira membuat lawatan ini kerana saya sememangnya ingin tahu keadaan di sini," katanya dalam sidang berita.

"Saya lihat di sini ramai remaja dan kanak-kanak. Nampak seperti sebuah negara yang muda. Mungkin, hubungan antara generasi muda boleh dilakukan dalam bentuk pertukaran budaya dan adalah bermanfaat untuk mengeratkan hubungan antara penduduk kedua-dua negara.

"Ramai orang yang bersikap mesra di sini dan jika kita boleh lebih mengenali antara satu sama lain, umpamanya melalui pertukaran lawatan, saya pasti ia akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya.

Ditanya mengapa beliau membuat lawatan ke rantau ini, Perdana Menteri berkata Rusia adalah sebuah negara yang besar dan hubungan tidak dapat dibuat melalui Moscow sahaja.

"Kita boleh mengadakan hubungan dengan wilayah-wilayah di Rusia kerana mereka juga adalah entiti ekonomi," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya lawatannya ke Khabarovsk, sebuah rantau ekonomi Rusia yang cepat membangun, akan menghasilkan peningkatan dagangan antara Malaysia dan Rusia, terutamanya Malaysia yang ingin mendapatkan lebih banyak produk dari rantau ini, dan beberapa barangan Malaysia boleh dipasarkan di sini.

Perdana Menteri berkata walaupun dengan kelebihan Rusia dalam bidang industri seperti pembuatan pesawat, terutamanya pesawat siri Sukhoi, beliau "kagum" kerana kawasan di sini mengimport buah-buahan dari negara-negara lain seperti Sepanyol dan Maghribi.

"Kerana ini, saya yakin kita boleh mengadakan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Khabarovsk. Apabila saya pulang nanti, saya akan bincangkan dengan Kabinet saya bagaimana kita boleh meningkatkan hubungan dengan rantau ini."

Satu cara ialah mengatasi masalah pengangkutan dan kos pengangkutan barangan antara Malaysia dan Khabarovsk dan apabila ini dapat diatasi, dagangan dua hala boleh dimulakan.

Dagangan antara Malaysia dan Rusia berjumlah AS$235.4 juta tahun lepas, ia banyak menyebelahi kepada Rusia dengan eksportnya ke Malaysia berjumlah AS$149 juta dan eksport Malaysia ke Rusia berjumlah AS$86.3 juta.

Dagangan dua hala yang terbesar pernah dicatatkan ialah dalam tahun 1995, sebanyak AS$827.6 juta. Tahun tersebut Rusia menjual barangan bernilai AS$725.6 juta kepada Malaysia, bakinya pembelian 18 pesawat MIG-29 oleh Malaysia.

Suatu perkara lagi yang dilihat oleh Perdana Menteri berkaitan rantau Khabarovsk ialah kestabilan politiknya, yang mana katanya sama seperti yang terdapat di Malaysia.

"Saya berpendapat anda adalah sangat bernasib baik, anda tidak perlu menukar kerajaan terlalu kerap. Di Malaysia kami menghargai kestabilan politik dan saya pasti rakyat di Khabarovsk juga menghargai kestabilan politik," katanya.

Beliau yang juga menyentuh tentang sektor pelancongan berkata lebih ramai orang dijangka akan melawat antara kedua-dua negara itu. Dr Mahathir berkata selepas pertemuannya dengan ketua pentadbir Khabarovsk, Victor Ishaev di Kuala Lumpur November lepas, kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menghapuskan keperluan visa bagi rakyat Rusia dari rantau ini untuk Melawat Malaysia sehingga sebulan. Ishaev menyertai rombongan Rusia ke sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur November lepas.

Khabarovsk Airline sekarang mengadakan penerbangan berjadual ke Singapura dan Thailand dan penerbangan ke Malaysia hanya menunggu masa untuk dimulakan. Sementara itu, Perdana Menteri mencadangkan agar penerbangan sewa khas diadakan dahulu.

Ishaev, yang hadir pada sidang berita itu, memberikan jaminan kepada syarikat asing bahawa adalah menguntungkan untuk melabur di rantau ini, dan sebanyak 640 syarikat dengan modal asing telah menubuhkan operasi mereka di sini.

Menjawab pertanyaan pemberita Malaysia yang bertanyakan kesukaran yang dihadapi oleh Rimbunan Hijau, syarikat Malaysia yang pertama di sini, beliau berkata pentadbirannya telah memberikan insentif tiga tahun tanpa cukai dan ia juga telah menghapuskan beberapa cukai tempatan bagi menarik pelabur asing.

"Di Khabarovsk, kami membenarkan syarikat dengan 100 peratus pemilikan asing, manakala jumlah usaha sama kian meningkat setiap tahun. Kami sedang mengkaji beberapa langkah khas untuk memastikan kestabilan perniagaan melalui peraturan," kata Ishaev melalui penterjemah.

Pegawai syarikat Rimbunan Hijau, yang mempunyai konsesi kayu balak seluas 600,000 hektar di rantau ini, telah memberitahu pemberita Malaysia beberapa masalah seperti pengenalan cukai baru dan peraturan baru, dan ini menimbulkan ketidaktentuan berkaitan pulangan pelaburannya, yang kini telah bernilai AS$23 juta sejak dua tahun lalu.

Ishaev, yang juga anggota Parliman Rusia atau Duma berkata tempoh ketidakpastian politik Rusia, yang menyebabkan kerap pertukaran perdana menterinya, hanyalah untuk tempoh pendek sahaja.

"Saya berpendapat ketidakstabilan politik dan ekonomi kami hanya bagi jangka pendek. Kami akan mengadakan pemilihan anggota Duma dalam bulan Disember dan pemilihan presiden bulan Jun tahun depan. Selepas itu adalah fasa perkembangan yang positif dan saya secara peribadi akan berusaha untuk memastikan kestabilan perniagaan di rantau ini," katanya.

Selepas pilihan raya tahun depan Rusia akan mempunyai presiden yang baru, kerana Presiden Boris Yeltsin, yang telah memecat dan melantik beberapa perdana menteri sejak setahun lepas, dihalang oleh perlembagaan untuk dilantik semula selepas tamat penggal kedua perkhidmatannya.

Ishaev menyarankan pelabur asing untuk melabur dalam tiga sektor ekonomi, iaitu pembalakan, perikanan dan perlombongan, dan pada masa ini sebanyak 26,300 perniagaan telahpun berdaftar di sini.

Sumber perhutanan membolehkan pembalakan sehingga 20 juta meter padu setahun, tetapi pada masa ini hanya satu pertiga sahaja yang dikeluarkan. Di samping itu permukaan pantai sepanjang 2,000 kilometer menjamin sumber perikanan yang banyak manakala terdapat emas, platinum, bijih timah dan tembaga untuk dilombong di kawasan tersebut.

Beliau memuji Rimbunan Hijau, yang mempunyai seramai 350 pekerja tempatan dan menjangkan jumlah itu akan meningkat kepada 1,000 dalam tempoh dua tahu, kerana memberi sumbangan yang bermakna kepada ekonomi rantau itu.

Berkaitan dengan lawatan Dr Mahathir, Ishaev berkata: "Ia adalah satu penghormatan kepada penduduk Khabarovsk untuk menerima lawatan ketua kerajaan Malaysia.

Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dan saya berpendapat ini adalah kerana perdana menterinya tidak ditukar dengan kerap." -- BERNAMA


Last changed: August 19, 1999