[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Gerakan Terus Bergolak

Date: 19 Aug 1999
Time: 01:28:41
Remote User: -

Comments

Tan atau Kang sebagai Setiausaha Agung Gerakan

KUALA LUMPUR, Khamis - Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dijangka membuat perubahan dalam senarai pelantikan jawatan penting parti itu, dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya pada 28 Ogos ini.

Tumpuan ialah kepada pengisian jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung setelah Tan Sri Chan Choong Tak dan Tan Sri Soong Siew Hoong, masing-masingnya melepaskan jawatan itu dalam perhimpunan agung bulan lalu.

Antara nama yang disebut-sebut untuk jawatan Setiausaha Agung ialah Ahli Exco Pulau Pinang, Datuk Dr Kang Chin Seng. Dr Kang tidak mempertahankan jawatan naib presiden dalam perhimpunan agung parti itu baru-baru ini tetapi menang dalam perebutan salah satu daripada 18 jawatan jawatankuasa tertinggi Gerakan.

Sumber berkata, Dr Kang mungkin dilantik ke jawatan itu kerana kesanggupannya berkorban, menyebabkan tiga jawatan naib presiden parti tidak ditandingi iaitu sejajar hasrat Dr Lim bagi mengelak perpecahan.

"Memandangkan Dr Kang mengikut 'menu' pucuk pimpinan, maka sebagai balasannya ialah dilantik sebagai setiausaha agung. Cuma satu masalahnya ialah Dr Kang adalah dari Pulau Pinang dan Dr Lim mungkin lebih berminat kepada seseorang dari Kuala Lumpur untuk jawatan itu," katanya.

Jika itu berlaku, ini membuka peluang kepada Timbalan Setiausaha Agung sekarang, Dr Tan Kee Kwong iaitu anak kepada bekas tokoh politik, mendiang Tan Sri Dr Tan Chee Koon untuk dilantik sebagai setiausaha agung.

Sumber itu berkata, Dr Lim mungkin mahu mengelak terlalu ramai pemimpin dari kawasan Utara untuk jawatan penting dalam parti dan berdasarkan hakikat ini, peluang Dr Tan lebih cerah berbanding Dr Kang.

Jika Dr Kang tidak dilantik ke jawatan itu, beliau mungkin dilantik Bendahari Agung oleh Dr Lim tetapi akan terpaksa bersaing pula dengan timbalan bendahari agung sekarang, Chua Chong An dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mungkin dinaikkan pangkat.

Satu lagi jawatan timbalan setiausaha agung disandang oleh Chia Kwang Chye, yang menunjukkan prestasi memuaskan di Dewan Rakyat, juga dijangka dinaikkan pangkat walaupun dia masih baru tetapi rapat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Koh Tsu Koon.

Sebelum ini jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari Agung dipilih tetapi mulai tahun ini, pemegang jawatan itu dilantik berikutan pindaan perlembagaan parti. Turut dilantik nanti ialah dua jawatan timbalan setiausaha agung dan satu jawatan timbalan bendahari agung.

Syarat pelantikan ke semua jawatan itu ialah mereka yang memegang jawatan dalam jawatankuasa tertinggi parti. Mengikut perlembagaan parti, Presiden boleh melantik enam orang lagi ke jawatan tertinggi itu.

"Ini bermakna, Dr Lim boleh mengenepikan semua 18 nama dalam jawatankuasa tertinggi itu jika beliau mahu memilih calon lain ke jawatan setiausaha agung atau bendahari agung iaitu dengan memilih mereka di kalangan enam orang yang dilantik itu.

"Di sinilah Dr Lim boleh membuat kejutan dengan membuat dua pelantikan sekali gus iaitu sebagai ahli jawatankiasa tertinggi (di kalangan enam orang) dan sebagai setiausaha agung atau bendahari agung," katanya.

Setakat ini, Datuk Alex Lee yang tidak mempertahankan jawatan naib presiden di perhimpunan agung bulan lalu dan juga tidak bertanding merebut jawatan jawatankuasa tertinggi, mungkin membuat kejutan itu.

"Bagaimanapun, belum ada reaksi daripada Alex setakat ini," kata sumber lain.

Dalam perhimpunan agung bulan lalu, Keng Yaik menang tanpa bertanding jawatan presiden dan tiga naib presiden yang turut tidak dicabar ialah Dr Goh Cheng Teik, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Dr S Vijayaratnam.


Last changed: August 19, 1999