[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pas janji bebas Anwar jika memerintah

Date: 19 Aug 1999
Time: 01:30:30
Remote User: -

Comments

Pas janji bebas Anwar jika memerintah

GUAR CHEMPEDAK, Rabu - Pas berjanji membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara jika Pas dan parti pembangkang lain berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata beliau yakin pemimpin Parti Keadilan Nasional (Keadilan), DAP dan PRM juga bersetuju membebaskan Anwar kerana beliau (Anwar) dihukum sebelum dibicarakan.

Beliau yang mendakwa pernah bersahabat dengan Anwar berkata selepas dibebaskan, hakim bagi perbicaraan itu harus memanggil semula saksi perbicaraan bagi menentukan sama ada mereka benar-benar memenuhi syarat menjadi saksi mengikut Islam.

Abdul Hadi berkata demikian ketika menyampaikan ceramah di Lorong Tok Madun, di sini malam tadi.

April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun terhadap Anwar bagi setiap empat tuduhan rasuah. Hukuman berkenaan berjalan serentak mulai 14 April.

Dalam ceramahnya, Abdul Hadi juga berkata, kejadian yang menimpa Anwar adalah perkara besar yang mendukacitakan kerana dihukum sebelum dibicarakan di mahkamah dan sebelum disabitkan kesalahan.

"Saya berjumpa Anwar di mahkamah selepas menerima surat daripadanya atas fakta sebagai kawan lama kerana sewaktu menjadi Presiden Abim, beliau beri kepercayaan kepada saya untuk memimpin Abim Terengganu dalam tahun 1970-an walaupun saya tak pernah jadi ahli Abim. "Saya pergi ke mahkamah dan beliau menceritakan bagaimana ditambah tiga pintu besi nak masuk ke bilik...ini kerja apa ni?

"Pas berjanji dan saya yakin rakan-rakan dalam parti alternatif lain juga bersetuju, kalau kami mendapat kemenangan, kami akan bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bebaskan dulu dan mesti menjadi tanggungjawab hakim menyiasat saksi-saksi...adakah memenuhi syarat menjadi saksi atau tidak." katanya.

Abdul Hadi juga berkata, Pas mengambil bahagian dalam isu Anwar walaupun beliau bukan pemimpin atau ahli Pas berdasarkan konsep Islam yang menyarankan umatnya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Mengenai kerjasama Pas dengan DAP, Abdul Hadi berkata, Islam membolehkan umatnya bekerjasama dengan yang bukan Islam tetapi ia harus dilakukan dalam keadaan tertentu.

Sambil membacakan sebuah ayat al-Quran, beliau berkata Islam membenarkan umatnya mengadakan hubungan dengan bukan Islam tetapi perlu faham mengenai tempat dan suasananya.

"Kerjasama memberi hak politik yang membolehkan orang bukan Islam menguasai dan memerintah orang Islam haram," katanya.


Last changed: August 19, 1999