[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Musa Jadi Bahan Ketawa Kerana Bingung

Date: 19 Aug 1999
Time: 03:24:09
Remote User: -

Comments

MUSA: SAYA BERSEDIA SIASAT KEBENARAN ALIBI PEMBELAAN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Prosiding perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, di Mahkamah Tinggi di sini, bertukar corak hari ini apabila pegawai penyiasat kes itu menyatakan kesediaannya untuk menyiasat kebenaran alibi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Peguam bela Anwar Karpal Singh menggesa Hakim Datuk Arifin Jaka, supaya tidak meneruskan perbicaraan sehingga pegawai penyiasat itu SAC I Musa Hassan, menyelesaikan siasatannya terhadap perkara itu.

"Pakai topi kamu dan pergi siasat," kata Karpal semasa Musa berkata beliau bersedia menyiasat kebenaran alibi itu "demi kepentingan keadilan".

Menegur saksi itu kerana "tidak berfikir sebelum menjawab", Arifin bagaimanapun bersetuju dengan Karpal bahawa prosiding itu patut dihentikan kerana Musa telah memberikan jawapan pasti kepada "satu soalan spesifik" daripada peguam.

"Beliau telah berkata bahawa beliau bersedia untuk menyiasat alibi anda.

"Pergi dan dapatkan apa yang kamu mahukan. Saya menangguhkan kes ini sehingga 2.30 petang. Jika kamu (kemudiannya) berkata kamu tidak mempunyai apa-apa untuk disiasat, kamu kembali semula ke sini dan beritahu saya," kata Arifin. Musa, yang memegang Ijazah Lanjutan Undang-undang, sebelum itu mengaku yang beliau sedar bahawa pihak pembelaan dalam kes ini mempunyai satu alibi dan ianya ialah tempoh antara Januari dan Mac 1993.

"Saya tertanya-tanya sama ada Peguam Negara (Tan Sri Mohtar Abdullah) bersetuju dengan perkara ini (penyiasatan)," kata Karpal, dan Mohtar yang kelihatan serius, menjawab bahawa "seorang Peguam Negara tidak mengarahkan sesuatu penyiasatan dijalankan".

"Tetapi beliau boleh merujuk (perkara itu) kepada Tan Sri, bukankah begitu Tan Sri?" tanya Arifin.

"Seorang Peguam Negara boleh memberi nasihat, bukan memberi arahan," kata Mohtar.

Selepas mendengar perkara itu, saksi berkenaan yang kelihatan bingung kemudian bertanya: "Siasat apa?"

"Alibi lah", kata Karpal, tanpa menyatakan dengan spesifik apakah alibi itu.

Musa: Alibi apa?

Karpal: Oh Tuhan! Menyiasat alibi...kamu kata kamu bersedia menyiasat alibi itu.

Arifin: Saya tidak tahu apakah alibi itu. Kamu tahu (kepada Musa)?

Musa: Apa alibi itu? (Ketawa dalam mahkamah)

Karpal: Saya mahu beliau memulakan penyiasatan terhadap alibi itu. Pergi siasat.

Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan Sukma, 38, dibicarakan bersama kerana meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri Anwar, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar pada kira-kira 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Kedua-dua mereka pada awalnya dituduh melakukan perbuatan itu pada 1994 tetapi tarikh dalam pertuduhan itu dipinda kepada Mei 1992.

Bagaimanapun, selepas menerima notis alibi pihak pembelaan, yang menyatakan bahawa Tivoli Villa pada masa itu masih dalam pembinaan, pihak pendakwaan meminda semula tuduhan itu kepada pertuduhan sekarang iaitu "antara Januari dan Mac, 1993".


Last changed: August 19, 1999