[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Harapan Parti Alternatif Cerah Di Terengganu

Date: 19 Aug 1999
Time: 20:27:48
Remote User: -

Comments

CUTI DUA HARI SEMINGGU ANTARA MANIFESTO PAS TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin selama 90 hari untuk kakitangan kerajaan adalah antara cadangan dalamrangka manifesto Pas Terengganu jika parti itu memerintah negeri ini.

Pesuruhjaya Pas Hadi Awang berkata cadangan itu adalah antara manifesto Pas Terengganu pada pilihan raya umum ke-10 ini yang kini dibuka untuk perbincangan.

Pas bersedia menerima teguran dan cadangan daripada anggota parti dan masyarakat umum bagi menambah atau mengubah rangka manifesto itu, katanya semasa erucap pada majlis dialog manifesto Pas dan pemimpin Pas negeri Terengganu bersama wakil-wakil badan bukan kerajaan di sini hari ini.

Hadi berkata perkara lain yang diberi penekanan dalam manifesto itu ialah program pemerintahan, pentadbiran, perundangan dan kehakiman, kewangan, pendidikan dan dakwah, ekonomi dan pembangunan, kerajaan tempatan, reformasi tanah, pertanian dan perikanan, perhutanan dan perkayuan, petroleum dan gas, pelancongan dan kemasyarakatan.

Pas juga akan memperkenalkan "syura rakyat" dalam melaksanakan dasar kerajaan selain memberi kebebasan kepada pentadbir dan pegawai melaksanakan dasar kerajaan, katanya.

Hadi berkata Pas akan mendaulatkan sebuah pemerintahan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan mengharamkan segala bentuk perjudian, menghadkan lesen premis jualan minuman keras dan kawalan penguatkuasaan terhadap syber-cafe dan salun unisex.

Rangka manifesto Pas yang diedarkan itu juga menyebut bahawa jika Pas memerintah, Perkhidmatan Awam Negeri akan disusun semula dengan menyatukan Perkhidmatan Pegawai Tadbir Negeri dengan Pegawai Tadbir Agama Negeri sertamenghapuskan amalan pilih kasih, nepotisme dan kronisme dalam perkhidmatan.

Mengenai kewangan, Pas akan memperkenalkan dasar kewangan Islam dengan melaksanakan pentadbiran zakat yang berkesan dan menghapuskan cukai pintu bagi rumah kediaman manakala cukai tanah akan ditukar kepada sistem zakat dan kharaj.

Pas juga bercadang mewujudkan Majlis Ekonomi Negeri yang diwakili mereka yang pakar dalam bidang kemasyarakatan serta menyusun semula dasar ekonomi negeri termasuk menggunakakan pendapatan royalti petroleum dan gas sebagaisumber penjana ekonomi.

Dalam manifesto itu, Pas juga berjanji untuk memartabat dan memelihara wanita daripada sebarang bentuk eksploitasi serta memperluaskan peranan wanita dalam perkhidmatan dan kemasyarakatan.

Bagi bukan Islam, manifesto itu menyebut bahawa mereka akan diberi kebebasan mengamalkan agama dan budaya masing-masing dan meruntuhkan tembok pemisahan etnik dan agama dengan memupuk kefahaman orang bukan Islam terhadap Islam danorang Islam supaya tidak ada perasaan terasing.

-- BERNAMA


Last changed: August 19, 1999