[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Musa Oh Musa!

Date: 19 Aug 1999
Time: 20:31:50
Remote User: -

Comments

MUSA: SAYA BERSEDIA SIASAT KEBENARAN ALIBI PEMBELAAN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Prosiding perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, di Mahkamah Tinggi di sini, bertukar corak hari ini apabila pegawai penyiasat kes itu menyatakan kesediaannya untuk menyiasat kebenaran alibi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Peguam bela Anwar Karpal Singh menggesa Hakim Datuk Arifin Jaka, supaya tidak meneruskan perbicaraan sehingga pegawai penyiasat itu SAC I Musa Hassan, menyelesaikan siasatannya terhadap perkara itu.

"Pakai topi kamu dan pergi siasat," kata Karpal semasa Musa berkata beliau bersedia menyiasat kebenaran alibi itu "demi kepentingan keadilan".

Menegur saksi itu kerana "tidak berfikir sebelum menjawab", Arifin bagaimanapun bersetuju dengan Karpal bahawa prosiding itu patut dihentikan kerana Musa telah memberikan jawapan pasti kepada "satu soalan spesifik" daripada peguam.

"Beliau telah berkata bahawa beliau bersedia untuk menyiasat alibi anda.

"Pergi dan dapatkan apa yang kamu mahukan. Saya menangguhkan kes ini sehingga 2.30 petang. Jika kamu (kemudiannya) berkata kamu tidak mempunyai apa-apa untuk disiasat, kamu kembali semula ke sini dan beritahu saya," kata Arifin.

Musa, yang memegang Ijazah Lanjutan Undang-undang, sebelum itu mengaku yang beliau sedar bahawa pihak pembelaan dalam kes ini mempunyai satu alibi dan ianya ialah tempoh antara Januari dan Mac 1993.

"Saya tertanya-tanya sama ada Peguam Negara (Tan Sri Mohtar Abdullah) bersetuju dengan perkara ini (penyiasatan)," kata Karpal, dan Mohtar yang elihatan serius, menjawab bahawa "seorang Peguam Negara tidak mengarahkan sesuatu penyiasatan dijalankan".

"Tetapi beliau boleh merujuk (perkara itu) kepada Tan Sri, bukankah begitu Tan Sri?" tanya Arifin.

"Seorang Peguam Negara boleh memberi nasihat, bukan memberi arahan," kata Mohtar.

Selepas mendengar perkara itu, saksi berkenaan yang kelihatan bingung emudian bertanya: "Siasat apa?"

"Alibi lah", kata Karpal, tanpa menyatakan dengan spesifik apakah alibi itu.

Musa: Alibi apa?

Karpal: Oh Tuhan! Menyiasat alibi...kamu kata kamu bersedia menyiasat alibi itu.

Arifin: Saya tidak tahu apakah alibi itu. Kamu tahu (kepada Musa)?

Musa: Apa alibi itu? (Ketawa dalam mahkamah)

Karpal: Saya mahu beliau memulakan penyiasatan terhadap alibi itu. Pergi siasat.

Anwar, 52, bekas timbalan perdana menteri dan Sukma, 38, dibicarakan bersama kerana meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri Anwar, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar pada kira-kira 7.45 malam, antara Januari dan Mac 1993.

Kedua-dua mereka pada awalnya dituduh melakukan perbuatan itu pada 1994 etapi tarikh dalam pertuduhan itu dipinda kepada Mei 1992.

Bagaimanapun, selepas menerima notis alibi pihak pembelaan, yang menyatakan bahawa Tivoli Villa pada masa itu masih dalam pembinaan, pihak pendakwaanmeminda semula tuduhan itu kepada pertuduhan sekarang iaitu "antara Januari dan ac, 1993".

Terdahulu, kepada satu soalan Karpal, Musa berkata polis merekodkan lima kenyataan daripada Azizan berhubung kes sekarang dan kes-kes lain yang berkenaan membabitkan beliau (Azizan) dan mereka yang dituduh.

Katanya kenyataan pertama direkodkan pada 18 Ogos 1997, yang keduanya pada 3 Sept 1997, ketiganya pada 7 Julai 1998, yang keempat pada 3 Okt 1998 dan yang terakhir pada 1 Jun tahun ini.

Beliau berkata kenyataan itu, yang ditandatangan oleh Azizan, diambil mengikut Seksyen 112 Kod Prosedur Jenayah (KPJ).

Musa tidak bersetuju dengan Karpal bahawa kandungan kesemua lima kenyataan itu adalah tidak konsisten.

"Jika ia tidak begitu, tidak perlu meminda pertuduhan itu pada bila-bila masa," soal Karpal, tetapi sebelum Musa memberikan jawapannya, Mohtar bangun danberkata bahawa kuasa untuk meminda pertuduhan itu bukan terletak di tangan Musa.

Arifin menolak bantahan itu dan memerintahkan Musa menjawab soalan berkenaan.

"Terdapat keperluan untuk meminda (pertuduhan itu) kerana wujud percanggahan," kata Musa.

Musa juga berkata bahawa beliau tidak fikir yang beliau telah melanggari undang-undang dengan memegang satu salinan pengakuan Sukma (bahawa dia membenarkan dirinya diliwat oleh Anwar) yang dibuat di hadapan seorangmajistret.

"Tetapi, semasa perbicaraan dalam perbicaraan (untuk menentukan penerimaan pengakuan itu), kamu mengaku bahawa kamu telah melanggari Seksyen 115 KPJ (kanun prosedur jenayah) kerana mempunyai satu salinan pengakuan itu," hujah Karpal.

"Saya fikir tidak wajar untuk bertanyakan beliau. Terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada beliau telah melanggari (undang-undang) ataupun tidak," Mohtar membantah.

Bagaimanapun, Arifin membenarkan soalan itu. Saksi kemudian berkata bahawa beliau tidak ingat pernah berkata bahawa beliau telah melanggar undang-undang. "Saya tidak fikir begitu. Tidak."

Disoal kenapa beliau mahukan satu salinan pengakuan itu, Musa berkata beliau ingin tahu apa yang Sukma beritahu pada majistret dan menjelaskan bahawa beliau uga ingin tahu isi kandungan pengakuan itu.

Katanya beliau telah menjalankan penyiasatan menyeluruh selepas membaca pengakuan itu.

Ditanya sama ada beliau bersetuju bahawa isu utama pada masa itu ialah sama ada Azizan benar-benar diliwat oleh Anwar dan Sukma, Musa menjawab: "Kesemua kandungannya mesti disiasat".

"Musa! Saya bertanyakan kamu sama ada ianya penting. Jangan putar belitkan jawapan anda," kata Karpal

"Ya, ia adalah penting," kata saksi.

Beliau juga bersetuju dengan Karpal bahawa jika ia sebenarnya begitu, Azizan patut dihantar untuk pemeriksaan perubatan tetapi beliau tidak berbuat demikian, dan menyatakan bahawa beliau juga tidak menerima arahan daripada JabatanSiasatan Jenayah untuk berbuat demikian.

Ditanya apakah faktor-faktor dalam Seksyen 377 (A) (yang Anwar dan Sukma dituduh) yang menyebabkan beliau mengarahkan siasatan dilakukan terhadap kes tu, Musa berkata faktor-faktornya ialah hakikat bahawa Azizan telah diliwat dan perbuatan itu bertentangan dengan kehendaknya.

"Saya katakan kepada kamu, kamu tidak tahu undang-undang," kata Karpal.

"Saya tidak ingat," kata Musa.

"Kenapa tidak ingat. Kamu baru menyatakannya tadi. Saya tidak mahu mengemukakan satu lagi permohonan bagi menghina mahkamah (kerana) satu daripadanya akan berjaya dalam soal ini," kata Karpal, merujuk kepada permohonan menghina mahkamah yang dibuatnya semalam tetapi ditolak oleh Hakim pagi tadi.

"Tidak mengapa, beliau telah buat satu kesilapan," kata Arifin.

"Apa silap, dia adalah pegawai penyiasat. Dia tidak menyatakannya (bahawa dia telah buat satu kesilapan, Yang Arif mengatakannya," kata Karpal.

Semasa Arifin memberitahu beliau supaya menghujahkan perkara itu kemudian, Karpal menjawab bahawa perkara itu tidak boleh diselesaikan dengan hujah semata-mata.

"Fikir dulu. Kamu yang mengarahkan penyiasatan itu (dijalankan). Jangan main jawab saja," Arifin berkata kepada Musa dengan suara tinggi.

"Saya fikir adalah perlu untuk membuktikan ada penembusan ke dalam,"kata Musa.

"Itu saja?" soal Karpal, yang dijawab oleh Musa "Ya".

"Tidak perlu tentukan siapa yang melakukannya," soal Karpal, menimbulkan bunyi kecoh dari galeri awam.

"Kamu tidak cekap, Encik Musa, kamu tidak mengarahkan siasatan dilakukan terhadap siapa yang melakukannya (perbuatan itu)."

Musa juga berkata bahawa beliau tidak mempunyai sebarang keterangan perubatan untuk membuktikan bahawa berlakunya penembusan terhadap Azizan.

Kemudian, apabila mahkamah disambung semula pada pukul 2.45 petang, Mohtar memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menasihatkan Musa tidak perlu menjalankan penyiasatan terhadap alibi yang dikemukakan pihak pembelaan kerana pihak pendakwaan telah memiliki rekod berhubung pergerakan Anwar antara 1992 dan September 1998 dan perkara-perkara lain yang berkaitan.

Karpal yang mengatakan Mohtar tidak berhak menasihatkan Musa untuk berbuat sesuatu, mendesak bahawa saksi itu bersedia menyiasat alibi berkenaan kerana pihak pembelaan telah menerima tawarannya untuk berbuat demikian pada sesi pagi.

Beliau berkata isu di hadapan mahkamah pada peringkat itu, tidak membabitkan pihak pendakwaan kerana ia adalah satu permohonan pihak pembelaan yang timbulsemasa pemeriksaan balas sewaktu Musa berkata beliau bersedia menyiasat kebenaran alibi pihak pembelaan.

Oleh itu, beliau memohon kepada mahkamah agar perbicaraan itu ditangguhkan bagi membolehkan Musa menjalankan penyiasatannya.

Bagaimanapun, Mohtar yang membantah permohonan bagi penangguhan itu, menegaskan bahawa tiada apa lagi bagi Musa untuk menyiasat kerana pihak pendakwaan mempunyai semua keterangan dan butiran yang diperlukan berhubung kes itu.

Mohtar berkata walaupun jika pasukan pembelaan meneruskan dengan pembelaan alibi mereka sekiranya dipanggil membela diri, pihak pendakwaan akan membalas dengan keterangan yang sememangnya ada dalam tangan mereka.

"Ianya bukan bagi pendakwaan atau polis untuk membuktikan pembelaan diri alibi. Ianya bagi tertuduh untuk berbuat demikian, jika dipanggil membela diri," katanya dan menegaskan bahawa apa yang telah dikatakan oleh Musa pada sesi pagimengenai alibi itu, hanyalah sebagai jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Karpal Singh.

Bagaimanapun, Karpal Singh berkata pengesahan terhadap perkara itu mesti dibuat oleh Musa, yang merupakan pegawai penyiasat kes itu dan oleh kerana beliau bersedia berbuat demikian, pihak pendakwaan telah melanggar pentadbiran keadilan dengan menasihatkan pegawai polis itu untuk tidak berbuat demikian.

"Saya berpendapat bahawa pihak pendakwaan hanya berminat dengan sabitan," katanya dan menegaskan bahawa mahkamah bertangunggjawab bertindak terhadap perkara ini dan tidak boleh duduk diam dan membiarkannya berlaku.

"Saya mahu saksi ini mengesahkan kebenaran alibi pembelaan. Kita membuat pertaruhan di sini. Ianya boleh tidak memihak kepada kami," kata Karpal.

Katanya oleh kerana situasi dalam kes ini adalah berbeza dan kedudukannya "adalah luar biasa", dengan itu beliau ingin mengambil "langkah luar biasa" dan diberikan masa sehingga esok untuk mengemukakan rujukan menyokong hujahnya mengenai perkara itu.

Arifin berkata beliau akan membiarkan esok bagi Karpal mengemukakan rujukan dan mengarahkan peguam itu meneruskan pemeriksaan balasnya terhadap Musa.

Karpal berkata oleh kerana pihak pembelaan merasakan bahawa perkara alibi itu adalah lebih penting, beliau memilih untuk mengemukakan rujukan itu dahulu esok sebelum menyambung pemeriksaan balasnya.

Perbicaraan disambung esok.

-- BERNAMA


Last changed: August 19, 1999