[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Musa Terus Berbohong

Date: 19 Aug 1999
Time: 20:41:27
Remote User: -

Comments

ANWAR ARAH PENYIASATAN TERHADAPNYA DIHENTIKAN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Polis tidak meneruskan penyiasatan terhadap dakwaan aktiviti homoseksual Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dakwaan itu berasas kerana bekas timbalan perdana menteri itu mengarahkan penyiasatanberkenaan ditutup, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Penyiasat SAC I Musa Hassan berkata satu arahan "NFA" (Tiada indakan Lanjut) diberikan terhadap kes itu semasa beliau menyerahkan satu laporan penyiasatannya mengenai dakwaan itu kepada Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Anwar, Musa berkata Peguam Negara juga menerima arahan itu.

Ditanya apakah asas kepada penyiasatannya terhadap kes itu, saksi berkenaan berkata ia berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh bekas juruiring Anwar ASP Zull Aznam Haron berhubung satu surat "Talqin Untuk Anwar Ibrahim", tulisan seorang penulis yang tidak dikenali yang beliau gagal memastikannya sehingga hari ini.

Musa juga menolak cadangan Karpal bahawa penyiasatan beliau dilakukan di bawah penyeliaan Tan Sri Abdul Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara.

"Tidak, saya jalankan sendiri tanpa sebarang penyeliaan," kata Musa.

Anwar, 52, dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja didakwa meliwat Azizan Abu Bakar di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini, pada kira-kira pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, 38, juga menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar melakukan kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Musa, 47, yang merupakan penolong pengarah unit pendakwaan/undang-undang di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini berkata laporan beliau, yang diserahkan kepada peguam negara, tidak diberikan kepada perdana menteri.

Karpal kemudian merujuk kepada satu laporan akhbar yang memetik Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata dakwaan homoseksual terhadap Anwar adalah "cubaan untuk mensabotaj beliau (Anwar) dan bahawa penulisnya telah mengaku bahawa isi kandungannya tidak benar".

Musa berkata beliau tidak tahu jika kenyataan perdana menteri itu dibuat berdasarkan laporan polis Zull Aznam.

"Macam mana kamu tak tahu, kamu kan pegawai penyiasat," kata Karpal.

"Dia tidak akan tahu kecuali PM memberitahunya atau ia dinyatakan dalam laporan berita," kata Hakim Datuk Arifin Jaka.

Musa berkata kenyataan Dr Mahathir mungkin berdasarkan pada laporan Cawangan Khas (SB) yang menjalankan penyiasatan mereka sendiri terhadap perkara itu yang dilakukan oleh pengarahnya pada masa itu, Datuk Mohamed Said Awang.

Musa berkata penyiasatan SB itu berdasarkan sepucuk surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali (seorang usahawan dan orang kepercayaan Azizan) yang disokong pengakuan bersumpah oleh Azizan.

Musa berkata polis turut merekodkan satu kenyataan daripada Azizan dan menjelaskan bahawa beliau percaya apa yang dikatakan dalam kenyataan itu adalah benar.

Karpal: Walaupun kenyataan itu benar, Cawangan Khas mengemukakan satu laporan kepada PM menyatakan bahawa tiada asas terhadap dakwaan itu?

Musa: Tidak.

Arifin: Apa yang kamu maksudkan bahawa walaupun SB menjalankan penyiasatan mereka sendiri, tiada asas terhadap dakwaan itu.

Musa: Ya

Musa berkata laporan SB yang diserahkan kepada Dr Mahathir bukan berdasarkan kenyataan Azizan tetapi berdasarkan penyiasatan beliau (Musa) yang bermula dari sepucuk surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda kepada Perdana Menteri.

Perbicaraan disambung esok. -- BERNAMA


Last changed: August 19, 1999