[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

SIASAT SEGERA DAIM, RAFIDAH

Date: 19 Aug 1999
Time: 23:58:06
Remote User: -

Comments

SIASAT SEGERA DAIM, RAFIDAH Oleh Amir Ramadzan Ibrahim

KUALA LUMPUR: PAS mahu kerajaan menyiasat segera laporan polis yang dibuat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai amalan rasuah yang didakwa melibatkan Tun Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz.

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Noor kepada Harakah.

Ini, katanya, sangat penting untuk diketahui oleh rakyat.

Beliau bertanya kepada Dato' Abdullah Badawi, mengapa beliau begitu segera dan bersungguh-sungguh mengarahkan pihak polis menyiasat laporan mengenai 'dokumen kerajaan' yang didakwa dibawa keluar negeri.

"Tetapi begitu lambat dan berat untuk mengarahkan polis menyiasat segera aduan rasuah terhadap menteri seperti yang dibuat oleh Anwar," katanya.

Menurut Dato' Fadzil, ini menunjukkan pemimpin BN cuba hendak mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar, iaitu dakwaan rasuah terhadap Tun Daim dan Rafidah.

Katanya, siasatan mengenai dokumen rahsia yang dibawa keluar negeri itu, mesti mempastikan sama ada kandungan dokumen berkenaan melibatkan kes amalan rasuah di kalangan pemimpin kerajaan, ataupun melibatkan kepentingan negara.

Beliau mahu Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak dipergunakan oleh pemimpin kerajaan untuk melindungi amalan rasuah dan penyelewengan.

Sepatutnya, OSA itu benar-benar dipergunakan untuk melindungi rahsia yang berhubung keselamatan negara, bukan untuk melindungi kegiatan rasuah dan penyelewengan pemimpin tertentu dari terdedah kepada umum.

Sementara itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemimpin Umno/BN cukup bimbang dengan kenyataan bahawa terdapat dukomen negara yang dibawa keluar negeri.

Dalam satu kenyataannya yang dibacakan oleh isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, beliau berkata:

"Sebagai rakyat yang patriotik dan cintakan negara, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mendedahkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Orang yang melindungi atau mempertahankan perasuah adalah pengkhianat negara," katanya.

Memang benar, katanya, seperti yang saya nyatakan pada September tahun lepas bahawa beliau mempunyai dokumen yang membuktikan wujudnya konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkannya.

Anwar berkata demikian bagi mempertahankan tindakannya mendedahkan penyelewengan yang didakwanya dilakukan oleh Mahathir, Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Dato' Paduka Rafidah Aziz baru-baru ini.

Anwar menjelaskan dokumen yang terdapat dalam simpanannya adalah yang berkaitan dengan rasuah dan penyelewengan bukannya yang berhubungan dengan soal keselamatan negara.

"Percubaan para kroni mereka dengan dokongan media massa mereka membesarkan isu keselamatan negara adalah bertujuan mengalih pandangan rakyat dari isu pokok iaitu rasuah dan salahguna kuasa," jelasnya.

Menurutnya, Anwar, beliau mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan Mahathir, Daim dan beberapa pemimpin lain terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Rakyat yang bertanggungjawab dan patriotik perlu terus mendesak supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap perasuah, tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden KeAdilan, Dr Chandra Muzaffar menjelaskan dalam sidang berita yang sama, Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak sepatutnya digunakan untuk melindungi rasuah atau penyelewengan yang dilakukan dalam kerajaan.

"Dalam negara demokratik, OSA hanya digunakan dalam hal yang membabitkan ketenteraan ataupun soal keselamatan negara," katanya.

Di Aalor Setar, Peguam PAS Kedah, Haji Mohd Taulan Rasul berkata, OSA sebenarnya adalah untuk kepentingan keselamatan negara, bukan untuk melindungi individu tertentu.

Menurutnya, OSA sepatutnya tidak digunakan untuk melindungi pegawai rasuah dan menyeleweng kerana jelas merugikan negara.


Last changed: August 19, 1999