[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KESAHIHAN SURAT DAIM DIPERTIKAI

Date: 20 Aug 1999
Time: 00:00:19
Remote User: -

Comments

KESAHIHAN SURAT DAIM DIPERTIKAI

Dr. Wan Azizah ditemu ramah oleh wartawan dalam satu sidang medianya. KUALA LUMPUR: Kesahihan surat yang dikatakan dihantar oleh Menteri Kewangan Pertama, Tun Daim Zainuddin kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pemberian wang oleh tiga tokoh korporat boleh dipertikai, kata Presiden Parti Keadilan Nasional (KeAdilan), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, jika dilihat daripada tarikh surat Daim, Anwar ketika itu hanyalah Naib Presiden yang termuda dan menjawat jawatan Menteri Pendidikan.

"Adalah tidak munasabah bagi Daim untuk menyerahkan surat tersebut kepada Anwar jika benar surat itu wujud kerana soal dana Umno dikendalikan oleh Presiden, Timbalan Presiden atau Bendahari Umno," katanya dalam sidang berita di rumahnya di sini.

Sebelum ini Harakah menyiarkan jawapan Daim mengenai dakwaan Anwar bahawa beliau menerima wang daripada tiga tokoh korporat iaitu Tan Sri Halim Saad, Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan Tan Sri Tajuddin Ramli menerusi surat Daim yang dihantarkan salinannya kepada Anwar sahaja.

Surat itu menyatakan duit yang diterima oleh Daim telah dimasukkan ke dalam dana Umno (Baru) dan sebarang urusan mengenainya hendaklah dibuat dengan Dato' Seri Dr. Mahathir ataupun Anwar.

Wan Azizah menjelaskan, tidak sepatutnya menjadi tugas Anwar sebagai Naib Presiden termuda untuk mengendalikan soal yang berkaitan dengan dana Umno.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan surat yang dikatakan oleh Daim itu bukanlah surat yang benar-benar dihantar kepada Anwar.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha KeADILan, saudara Anuar Tahir kesal dengan beberapa kejadian yang dilakukan bagi menakut-nakutkan penyokong parti itu seperti kejadian menembak pejabat KeAdilan Bahagian Bagan Serai pada 10 Julai lepas.

Terbaru, katanya, kehadiran empat anggota polis yang lengkap bersenjata automatik di pejabat KeAdilan Bahagian Gombak pada Isnin lepas dengan menaiki land rover.

Menurutnya, KeAdilan dukacita dengan kejadian itu dan sukar memahami apakah motif sebenar pihak polis berbuat demikian.


Last changed: August 20, 1999