[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Pelancaran "Maha-Maha" meriah

Date: 20 Aug 1999
Time: 00:05:48
Remote User: -

Comments

Pelancaran "Maha-Maha" meriah Oleh Amir Ramadzan Ibrahim

Dato' Fadzil melancarkan antologi Maha-Maha KUALA LUMPUR: Pelancaran karya terbaru Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dato' Shahnon Ahmad, Maha-Maha meriah dengan kehadiran lebih tiga ratus orang termasuk Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd. Noor yang melancarkan buku itu di Hotel Sri Alam di sini, Sabtu lalu.

Turut hadir di majlis itu adalah dari kalangan sasterawan, pemikir atau pengkritik sosial termasuk Zunar, Sabri Zain dan Hishamuddin Rais untuk meraikan pelancaran karya sastera politik kedua Shahnon selepas buku yang mengejutkan masyarakat, Shit.

Shahnon dalam ucapannya menjelaskan, buku terbaru itu bermatlamatkan agar rakyat memilih untuk mengubah pemerintahan yang ada sekarang kerana terlalu banyak penyelewengan dalam kerajaan.

Menurutnya, penyelewengan juga berlaku dalam budaya komunikasi termasuk komunikasi dengan luar negara, istana, intelektual dan ulama serta dalam diri mereka sendiri.

"Penyelewengan juga berlaku dalam perihal budaya anti-fitrah seperti liwat, homoseks, sodomi, gay, lesbian dan sebagainya dan juga pencabulan penggunaan Bahasa Melayu, penjajahan baru dan kezaliman yang keterlaluan," jelasnya.

Buku terbaru itu menyentuh secara kreatif tentang penyelewengan-penyelewengan itu agar rakyat menyedari apa yang berlaku dan membuat perubahan, katanya.

Dalam majlis itu juga Shahnon mengumumkan beliau akan melahirkan karya terbaru dalam tempoh dua bulan akan datang yang akan lebih menjelaskan tentang suasana sebenar yang berlaku dalam negara.

Buku yang berharga RM13 itu boleh didapati di kebanyakan kedai buku di seluruh negara.


Last changed: August 20, 1999