[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Betul, betul Berita Hairan

Date: 20 Aug 1999
Time: 02:51:20
Remote User: -

Comments

Ulasan

Ini satu tuduhan yang sangat berat kerana yang bercakap ini adalah media kroni. Pihak polis tidak mengatakan demikian. Kalau benar parti-parti alternatif buat perkara ini tentunya polis akan cekup mereka sebab mereka cekap bila berdepan dengan parti alternatif.

Ini satu tuduhan dan fitnah yang sungguh menghairan..

Sebab itu kita kata dia Berita Hairan.

============================================================================================================================== Pembangkang dalangi skim cepat kaya

KUALA LUMPUR, Khamis - Polis mengesan sekurang-kurangnya 50 skim cepat kaya di seluruh negara sekarang, termasuk yang dipercayai didalangi parti politik pembangkang bagi mengisi tabung pilihan raya.

Sumber-sumber polis Bukit Aman berkata, beberapa syarikat penganjur skim itu yang dikesan di sini, Kedah dan Kelantan sejak beberapa bulan lalu, didalangi penyokong parti pembangkang.

Penyokong parti pembangkang dikatakan berbuat demikian kerana skim ini adalah cara paling mudah untuk mengumpul wang banyak dalam masa singkat, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum, yang semakin hampir.

Berdasarkan kajian polis, pelbagai skim cepat kaya beroperasi di seluruh negara terutama di Kuala Lumpur, Kelantan dan Kedah yang sebahagian besar pelaburnya terdiri daripada orang Melayu.

"Orang Melayu di Kelantan dan Kedah dikatakan menjadi sasaran utama penganjur skim itu kerana faktor pendidikan yang rendah serta mereka mudah percaya dengan tawaran pulangan lumayan.

"Warga kota yang menyertai skim ini pula didorong oleh sifat tamak dan ingin mencuba nasib. Ini berikutan ada peserta yang mendapat keuntungan dua tiga ribu ringgit dalam masa singkat," katanya sambil menambah, jumlah mereka yang kerugian bagaimanapun lebih ramai.

Menurut sumber itu, skim berkenaan menetapkan pelaburan antara RM10 hingga RM400 bergantung kepada penganjur. Malah, ada skim yang didakwa dianjurkan syarikat berpangkalan di luar negara dengan tawaran pulangan sehingga RM5 juta.

"Secara purata, setiap minggu kami berjaya mengesan satu skim cepat kaya yang baru beroperasi di seluruh negara termasuk di Sabah," katanya.

Skim cepat kaya pernah melanda negara ini pada tahun 80-an hingga awal 90-an dengan pihak berkuasa menganggarkan aliran tunai kira-kira RM1.4 bilion.

Bagaimanapun, polis hanya mengesan 10 peratus daripada transaksi wang melalui skim itu, dipercayai disertai lebih 100,000 orang, termasuk yang dianjurkan oleh Allahyarham Othman Hamzah atau lebih dikenali sebagai Pak Man Telo.

Polis percaya kebanyakan skim cepat kaya sekarang didalangi oleh pihak yang sama tetapi menukar nama syarikat untuk mengelak, sama ada dikesan pihak berkuasa atau pelabur yang kerugian.

"Skim ini biasanya beroperasi dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum menukar kepada nama lain bagi mengelak tindakan undang-undang.

"Penajanya dipercayai hanya membuat pembayaran kepada orang tertentu yang dikenali, bagi menunjukkan bukti keberkesanan skim itu sedangkan peserta lain tidak mendapat ganjaran seperti dijanjikan," katanya.

Sumber itu turut mengesahkan kewujudan skim cepat kaya yang ditawarkan melalui surat berantai, menyebabkan pihak berkuasa sukar mengesan dan membanterasnya.

Katanya, tindakan undang-undang sukar diambil terhadap pengajur skim berkenaan kerana polis kekurangan bukti untuk menahan dan mendakwa pihak terbabit.

"Kebanyakan mangsa skim cepat kaya enggan tampil membuat laporan manakala syarikat penganjurnya mendakwa ia hanya mengenakan yuran pendaftaran.

"Sesetengah syarikat yang dikatakan mengurus skim berkenaan tidak mengaku bertanggungjawab, malah ada individu yang tidak mengetahui nama mereka didaftarkan sebagai pemilik syarikat berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur skim cepat kaya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, jika ada bukti penipuan.

Sumber itu juga berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN), yang sering dikaitkan dengan beberapa skim cepat kaya, pernah membuat laporan polis dua bulan lalu, menafikan ia terbabit walaupun banyak transaksi wang menggunakan akaun Giro.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohamed Jamil Johari, mengesahkan polis sedang mengawasi skim itu, termasuk yang membabitkan operasi di luar negara.

Dalam konteks negara Asean, katanya, Bukit Aman bekerjasama dengan Pertubuhan Polis Asean (Aseanapol) untuk bertukar maklumat berhubung kes seperti itu.

Selain itu, polis juga bekerjasama dengan agensi lain menyiasat kumpulan penaja skim itu dari beberapa negara Afrika.

"Memang kita sentiasa perhatikan dan bila ada laporan dibuat, polis akan menyiasat. Orang macam ini selalu dalam perhatian kita, malah orang luar turut terbabit," katanya.

Pegawai Pendaftar Perniagaan, Abdul Kadir Omar, berkata pihaknya tidak akan meluluskan sebarang permohonan pendaftaran syarikat berunsurkan skim cepat kaya.

Walaupun tidak menerima laporan mengenai kegiatan skim berkenaan, pihaknya percaya ada syarikat berdaftar menjalankan urusan perniagaan tertentu tetapi menganjurkan skim berkenaan.

"Pemilik syarikat yang menganjurkan skim cepat kaya boleh ambil tindakan mengikut Seksyen 12 Akta Pendaftaran yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara hingga enam bulan," katanya.


Last changed: August 20, 1999