[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Teruskan TG...Kami Bersama Mu

Date: 20 Aug 1999
Time: 02:56:45
Remote User: -

Comments

Cadangan Pas bercanggah Perlembagaan

MACHANG, Khamis - Kerajaan Pas Kelantan mungkin tidak dapat melaksanakan bayaran gaji mengikut kalendar hijrah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan ahli Exco negeri mengenai perkara itu.

"Nampaknya 'Lord Reid' yang mengetuai membuat Perlembagaan Malaysia, awal-awal dah pintas.

"Dia punya pintar, cerdiknya... sudah pintas awal lagi supaya tidak membolehkan (kita) menggunakan selain tarikh (kalender) Masihi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ihtifal Sanawi Lil-Quran, Maahad Tahfiz, Pulai Chondong, dekat sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan lanjut cadangannya untuk menggunakan kalendar Hijrah bagi menggantikan kalendar Masihi dalam semua urusan kerajaan negeri, termasuk membayar gaji kakitangannya.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha supaya peraturan itu boleh dilaksanakan di negeri ini.

Menurutnya, satu caranya ialah sama ada bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya meminta kerajaan menggunakan kalendar Hijrah terutama dalam urusan bayaran gaji kakitangannya.

Selain itu, beliau akan menulis surat kepada Kerajaan Pusat supaya memberi kelonggaran kepada negeri-negeri yang hendak menggunakan kalendar Islam.

Ini kerana, katanya, selain meninggikan syiar Islam sebagaimana dikehendaki Kerajaan Pusat, ia juga menguntungkan pegawai kerajaan.

"Pegawai (kerajaan) sendiri kalau cukup tempoh tiga tahun dia akan dapat (gaji) lebih satu bulan. Ini menguntungkan mereka dan kerajaan terpaksa membayar," katanya.

Beliau berpendapat, jika isu pindaan perlembangaan yang menyentuh kekebalan raja-raja boleh dilaksanakan, tidak ada sebab kerajaan tidak boleh berbuat demikian berhubung perkara itu.

"Tetapi saya sokong (pindaan kekebalan raja)... saya tak suka tengok raja kita terus khayal. Saya nak tengok raja saya dihormati di dunia dan di akhirat.

"Kalau duduk khayal di dunia, malaikat mana yang hendak tolong dia di akhirat kelak," katanya.


Last changed: August 20, 1999