[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Wakil Parti Bertanding Patuhnya Turut Hadir.

Date: 20 Aug 1999
Time: 02:58:11
Remote User: -

Comments

SPR ambil langkah atasi kesangsian undi pos

KUALA LUMPUR, Rabu - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menempatkan pegawai ketika penyerahan sampul undi pos kepada setiap anggota tentera dan polis yang mengundi secara pos mulai pilihan raya umum ini.

Langkah terbaru itu yang akan dilaksanakan di seluruh negara, diharap dapat mengikis kesangsian orang ramai mengenai undi pos di samping meningkatkan ketelusan.

Serentak itu, Pengerusi SPR, Datuk Omar Hashim, berkata pegawai suruhanya itu akan ditempatkan di semua kem tentera dan ibu pejabat polis daerah ketika penyerahan sampul itu.

"Menerusi langkah ini kita berharap dapat meredakan perasaan tidak puas hati orang ramai, terutama pembangkang yang sebelum ini mendakwa pegawai atasan tentera dan polis mempengaruhi anggota bawahan ketika membuang undi pos.

"Keputusan terbaru ini membuktikan SPR sentiasa mengamalkan sikap ketelusan dalam mengendalikan pilihan raya secara adil," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi.

Mengikut amalan sebelum ini, SPR menyerahkan undi pos kepada pegawai pemerintah kem dan ketua polis daerah untuk diagihkan kepada setiap anggota yang layak mengundi.

Antara mereka yang membuang undi secara pos ialah anggota tentera dan isteri, polis serta pegawai dan kakitangan kerajaan yang bertugas di kedutaan Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, undi pos itu akan dihantar ke kem tentera dan ibu pejabat polis daerah dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari selepas penamaan calon pilihan raya.

Omar berkata, SPR kini sudah bersedia mengendalikan pilihan raya umum kesepuluh pada bila-bila masa sebaik saja Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Kira-kira 9.7 juta rakyat negara ini layak mengundi, termasuk 700,000 orang yang akan memilih buat pertama kali, jika pilihan raya umum diadakan tahun ini.

Jumlah pengundi itu berdasarkan daftar pemilih 1998, diwartakan pada 7 Januari lalu. Ini bermakna kira-kira 650,000 pengundi baru yang mendaftar ketika urusan Pendaftaran Pemilih 1999 berakhir 13 Mei lalu, tidak layak mengundi.

Bagaimanapun, jika pilihan raya umum diadakan tahun depan, senarai Daftar Pemilih 1999 mengandungi 10.3 juta pengundi, termasuk 1.35 juta pengundi baru.

Omar berkata, daftar pemilih 1999 akan dipamerkan selama 14 hari bulan depan untuk membolehkan orang ramai membuat tuntutan dan bantahan.

Katanya, senarai B daftar pemilih adalah pemilih baru dan mereka yang bertukar alamat manakala daftar C, terdiri daripada nama yang dikeluarkan daripada daftar iaitu mereka yang hilang kelayakan mengundi.


Last changed: August 20, 1999