[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Musa Bantai Tak Tahu Aje.

Date: 20 Aug 1999
Time: 04:25:20
Remote User: -

Comments

MUSA: SAYA TIDAK TAHU AZIZAN PERGI BERJUMPA DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Pegawai polis yang menyiasat dakwaan aktiviti homoseksual Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beliau tidak tahu bahawa lelaki yang menuduh Anwar meliwatnya telah melaporkan perkara itu kepada Perdana Menteri.

SAC I Musa Hassan berkata beliau hanya tahu mengenainya daripada laporan akhbar yang dibacanya tahun lepas.

Bagaimanapun, selepas menjalankan penyiasatan terhadap dakwaan itu, beliau mendapati bahawa lelaki itu, Azizan Abu Bakar, juga telah menghantar perisytiharan bersumpah kepada perdana menteri berhubung perkara itu.

Musa memberi keterangan terhadap bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan, Anwar, 52, dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, yang menghadapi tuduhan berasingan tetapi dibicarakan bersama meliwat Azizan, bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di apartmen Sukma di 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini kira-kira pukul 7.45 malam antara Januari dan Mac, 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar melakukan perbuatan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Anwar, Karpal Singh, pegawai polis itu berkata tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertanyakan Azizan kenapa beliau pergi berjumpa perdana menteri, dan menyatakan bahawa kenyataan Azizan yang beliau rekodkan sebanyak dua kali, tidak menyebut sama sekali mengenai perjumpaan itu.

Kepada soalan sama ada sebarang kenyataan diambil daripada Dr Mahathir, Musa berkata beliau tidak tahu.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan Karpal bahawa biasanya kenyataan akan direkodkan daripada seseorang yang namanya disebut oleh saksi utama seperti Azizan.

"Dalam kes ini adakah sebarang kenyataan diambil daripada perdana menteri," soal Karpal, yang dijawab oleh saksi: "Saya tidak tahu".

Musa mengaku bahawa beliau telah membaca laporan akhbar yang memetik Dr Mahathir sebagai berkata bahawa beliau (Dr Mahathir) telah menemubual saksi-saksi tertentu berhubung dakwaan itu.

Karpal: Adakah Perdana Menteri ditemubual atau adakah satu kenyataan direkodkan daripada beliau?

Musa: Tidak.

Musa berkata beliau juga tidak tahu sama ada Azizan telah pergi berjumpa Perdana Menteri terlebih dahulu (mengenai perkara itu) sebelum pergi kepada polis.

Beliau bersetuju dengan peguam bahawa biasanya, dalam kes kesalahan seksual, aduan pertama yang dibuat kepada sesiapa sahaja merupakan paling penting terhadap kes itu.

Musa juga berkata bahawa sepanjang penyiasatannya itu, Azizan tidak pernah menyebut nama Datuk Megat Junid Megat Ayub kepada beliau. (Megat Junid ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). -- LAGI


Last changed: August 20, 1999