[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KINI (20.8.99)

Date: 20 Aug 1999
Time: 20:38:25
Remote User: -

Comments

KINI demi keadilan, kemajuan, perpaduan Isu No. 15 – 20 Ogos 1999

Biar Suruhanjaya Diraja Siasat

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior Asisten Komisioner II, Mat Zin Ibrahim menafikan dakwaan Mohamad Ezam Mohd Nor, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan) bahawa pihak berkuasa belum memulakan siasatan terhadap laporan polis yang dibuatnya pada 8 Mei lalu.

Jika Polis telah memulakan siasatan atas aduan Mohamad Ezam, maka Polis patut dipuji kerana bertindak segera. Tetapi sudahkah polis memulakan siasatan ke atas tiga aduan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perkara yang sama termasuk isu penyelewengan syarikat Perwaja?

Mahathir Terlibat

Dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar pada 9 Julai 1999 (Laporan Polis Dang Wangi, Report No. 20255/99), Anwar mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir

Mohamad telah campurtangan sehingga menyebabkan pendakwaan tuduhan rasuah

ke atas Rafidah Aziz, Menteri Perindustrian dan Perdagangan Antarabangsa telah dihalang.

Dalam laporan polis berikutnya berhubung penyelewengan Perwaja, Anwar juga mendakwa bahawa Dr Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri, terbabit dengan penyelewengan Perwaja berdasarkan dua pucuk suratnya kepada Tan Sri Eric Chia, Pengerusi Eksekutif Perwaja waktu itu.

Pemimpin Lain Disiasat

Setakat hari ini, tidak didengar Mahathir dipanggil Polis untuk memberi keterangan berhubung 3 aduan yang dibuat oleh Anwar. Suharto di Indonesia terpaksa pergi ke Pejabat Peguam Negara Indonesia untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan rasuah yang dilakukannya. Clinton, Presiden Amerika Syarikat, terpaksa menghadapi pihak pendakwaraya dan juga Jawatankuasa Penyiasatan Senat berhubung skandalnya dengan Monica Lewinski.

Tetapi Mahathir langsung tidak disentuh oleh Polis. Mahathir dibenarkan bebas berkempen dari satu negeri ke satu negeri. Kini, Mahathir melawat ke luar negara. Mula-mula ke Rusia, kini ke Cina pula. Sepatutnya, pasport antarabangsanya dirampas pihak Imigresen. Mahathir sepatutnya tidak dibenarkan keluar negara kerana dia diperlukan untuk siasatan Polis.

Polis Tak Berani

Rakyat berhak untuk bersikap kurang yakin kepada kemapunan Mat Zin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya untuk menyiasat aduan Mohamad Ezam dan juga Anwar Ibrahim. Sebabnya ialah tokoh-tokoh yang hendak disiasat itu Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Mohtar Abdullah, Eric Chia dan Abd Gani Patail.

Sebagai pegawai penyiasat, rekod kerja Mat Zin sungguh buruk. Dia adalah orangnya yang mengetuai Jawatankuasa Siasatan Khas yang dibentuk oleh PDRM atas arahan Peguam Negara untuk menyiasat kecederaan ke atas Anwar Ibrahim semasa di dalam tahanan polis.

Setelah siasatan itu selesai selepas mengambil masa berbulan-bulan, dan laporannya diserah kepada Peguam Ngara, laporan itu tidak lengkap. Peguam Negara secara rasmi

mengumumkan dan mengesahkan bahawa Anwar Ibrahim telah dicederakan semasa di dalam tahanan polis. Tetapi siapa yang melakukan serangan ke atas Anwar, Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Mat Zin gagal mengenalpastikannya.

Semua orang telah disiasat oleh Mat Zin kecuali beberapa orang pegawai tertinggi polis, termasuk Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara ketika itu. Moral ceritanya ialah Mat Zin takut hendak menyiasat dan menyoal Rahim Noor, pegawai atasannya sendiri. Jadi, kalau Mat Zin takut untuk soal siasat Rahim Noor, Ketua Polis Negara ketika itu, adakah sekarang Mat Zin berani menyiasat Mahathir Mohamad dan yang lain-lain?

Polis Hanya Berani Dera Ezam

Untuk mengelak supaya jangan kelihatan tidak berani, jadi setakat ini, keberanian polis ialah hanya untuk menyiasat Mohamad Ezam Mohd Noor itu saja. Yang sekarang didera dengan soal siasat yang bertalu-talu ialah Mohamad Ezam itu sendiri. Pada hari Khamis 19 Ogos, Mohamad Ezam disoalsiasat selama lebih tiga jam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur.

Soal siasatan ke atas tiga Laporan Polis yang dibuat oleh Anwar Ibrahim yang lengkap disertakan dengan dokumen-dokumen yang dilampirkan itu tidak diutamakan oleh Polis. Sebaliknya, siasatan sekarang beralih kepada isu dokumen-dokumen (rahsia rasuah)yang Mohamad Ezam katakan ada enam kotak disimpan di luar negara.

Kerajaan BN Pilih Bulu

Ini satu lagi contoh penyiasatan terpilih oleh pihak polis. Sebelum itu, rakyat telah melihat Peguam Negara melakukan pendakwaan terpilih. Ini semacam amalan pilih kasih dan pilih bulu juga dari segi undang-undang dan keadilan. Nepotisme dan kronisme sekarang sudah berjangkit ke bidang hukum dan undang-undang.

Jadi dalam kes 3 laporan polis yang dibuat oleh Anwar Ibrahim dan satu yang dibuat oleh Mohamad Ezam, kerajaan sewajarnya menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat. Jika Mahathir enggan menubuhkan suruhanjaya bebas itu, maka Mahathir dan BN tidak wajar diberi mandat untuk berkuasa semula.

Biar Kerajaan baru, Barisan Alternatif yang menggantikan BN meneruskan penyiasatan ke atas kes rasuah dan penyelwengan itu ke akar umbi dengan membentuk Suruhanjaya Diraja Siasatan sebaik saja selepas menang pilihanraya.

Pemimpin UMNO Bohong

Tetapi pada ketika yang sama, Mahathir dan Daim mengaku UMNO (Baru) tidak terlibat lagi dengan bisnes. Nampaknya, kedua-dua pemimpin UMNO bohong.

Daim Zainuddin pada tahun 1990 ialah Bendahari UMNO(Baru) dan juga Menteri Kewangan Malaysia. Daim boleh berkata wang dan saham itu bukan untuknya, tetapi untuk UMNO (Baru). Tetapi kerana Daim Zainuddin memegang jawatan awam dalam kerajaan, dia tidak boleh terlibat dengan tindakan yang mempunyai pertembungan kepentingan.

Kepentingan tidak semestinya berbentuk peribadi. Kepentingan kepartian juga satu bentuk kepentingan. UMNO (Baru) satu entiti yang lain. UMNO (Baru) bukan kerajaan. Ia tidak boleh mendapat ganjaran berbentuk sumbangan dari tokoh-tokoh korporat. Di sinilah, pertembungan kepentingan itu terjadi.

Kini menyeru supaya laporan polis Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung surat-surat ini disiasat segera.

Tamat

Untuk menyertai senarai kami, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-subscribe@egroups.com

the-malaysian-subscribe@egroups.com

Untuk keluar dari senari tersebut, sila hantar mesag kosong ke:

kini-malaysia-unsubscribe@egroups.com

the-malaysian-unsubscribe@egroups.com

Sila lawat laman kami di:

http://kini.webjump.com/

http://berita.webjump.com/

Para penerima diminta mencetak, menyalin dan mengedar Kini, terutamanya kepada mereka yang mungkin berminat. Kami juga menghendaki alamat e-mail supaya dapat mengirim risalah harian ini secara langsung.

Terima kasih atas kerjasama anda.


Last changed: August 20, 1999