[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Strategi KeADILan

Date: 20 Aug 1999
Time: 23:52:33
Remote User: -

Comments

EZAM AKUI BESAR-BESARKAN CERITA DOKUMEN

TUMPAT, 21 Ogos (Bernama) -- Ketua Pemuda Keadilan, Mohamed Ezam Mohamed Noor mengakui bahawa beliau sengaja memperbesar-besarkan cerita adanya berkotak-kotak dokumen yang mendakwa ada pemimpin kerajaan terlibat dalam rasuah dan salah kuasa, kerana ingin mencabar pihak berkuasa menyiasatnya.

Katanya beliau bersedia untuk disiasat berhubung perkara itu dengan syarat mereka yang terbabit juga disiasat.

"Saya rela disiasat, saya rela naik turun balai polis, tetapi dengan syarat semua sekali yang telibat mesti disiasat," katanya dalam ceramah politik di Kampung Kok Keli di sini, malam tadi.

Mohamed Ezam berkata, dalam seminggu dua ini, beliau telah menerima banyak tekanan berikutan pendedahannya bahawa terdapat lima atau enam kotak dokumen berkenaan yang disimpan di luar negara.

Beliau juga mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa terdapat lima atau enam kotak dokumen berkenaan yang disimpan di luar negara oleh rakyat Malaysia yang berada di negara berkenaan.

"Tidak bermakna kita simpan dokumen di luar negara, kita bersekongkol dengan kuasa asing, di luar negara ini bukan orang putih sahaja, orang Malaysia pun ramai duduk di luar negara," katanya.

Ketika ditanya pemberita kemudian sama ada beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Mohamed Ezam berkata beliau menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.

Yang turut berceramah ialah Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda PAS Kelantan Takiyuddin Hassan. -- BERNAMA


Last changed: August 20, 1999