[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Memorandum Kepada Peguam Negara

Date: 22 Aug 1999
Time: 09:07:08
Remote User: -

Comments

Memorandum Kepada Peguam Negara Pengenalan

Peguam Negara memainkan peranan yang penting dalam mengangkat martabat undang-undang di Malaysia, sekaligus menjadi kunci kepada aspirasi masyarakat, khasnya dalam membentuk sebuah masyarakat yang demokratik berdasarkan asas keadilan dan kesamaan.

Justeru itu, adalah menjadi suatu yang amat penting bagi seseorang Peguam Negara untuk dikenali sebagai seorang yang dihormati, efisien, dimana dia juga menjadi suatu simbol harapan untuk memelihara kepentingan awam yang dia pertahankan. Kedudukan dan jawatan Peguam Negara dilihat sebagai sebahagian daripada sistem pengimbangtara dalam masyarakat yang demokratik dan sehubungan dengan itu ia harus dikekalkan serta bebas daripada kongkongan dan sekatan dari mana-mana institusi yang lain. Peguam Negara tidak sepatutnya memilih bulu dalam membicarakan mana-mana individu atau pihak sekiranya keadilan perlu dipertahankan.

Adalah menjadi harapan kepada Peguam Negara untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa merasa gentar dan takut serta bersifat memilih. Ianya juga merupakan sandaran kepada masyarakat sebagai pilihan terakhir dalam menegakkan etika moral dan polisi.

Pada masa yang sama, ianya amat penting kepada Peguam Negara dalam penyiasatannya dan persediaannya; untuk tidak menuduh seseorang yang tidak bersalah tanpa usul periksa, kerana ianya boleh memberikan kesan dan impak yang tentunya negatif terhadap kredibiliti Peguam Negara sendiri.

Memorandum ini menggariskan dan ingin membuktikan keperihatinan dan permintaan masyarakat Malaysia melalui suara mahasiswa yang merupakan pemimpin generasi akan datang. Hasrat kami adalah suci dan kami sanggup berkorban dan mengambil risiko bagi memastikan memorandum ini diterima, diberikan perhatian secukupnya, dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh Peguam Negara.

Di dalam memorandum ini, kami sertakan beberapa contoh kes-kes terkini yang cukup untuk membuktikan bahawa pihak tuan hanya memberikan tumpuan dan perhatian kepada kes-kes tertentu sahaja tetapi mengabai dan mengetepikan kes-kes yang jauh lebih penting yang sepatutnya diberikan perhatian sewajarnya. Kes-kes ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan tentang kredibiliti Peguam Negara. Sekiranya Peguam Negara dapat membersihkan nama baiknya dengan segera, ini tentunya akan dapat mengembalikan semula kepercayaan masyarakat terhadap institusi keadilan di negara kita.

Permerhatian Kami

Pertama. Pertuduhan dan penjaraan YB Lim Guan Eng, seorang Ahli Parlimen (Kota Melaka), yang berani menentang ketidakadilan terhadap seorang gadis Melayu bawah umur yang dikatakan dirogol oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik, kes ini telah mendapat pelbagai kritikan dari dalam dan luar negara, yakni telah menimbulkan keraguan dari pelbagai pihak. Salah seorang daripada mengkritik tindakan untuk menahan anak melayu belasan tahun yang telah dirogol itu ialah anakanda Dr. M, Datuk Paduka Marina Mahathir. Kami amat terkejut apabila Peguam Negara mengambil tindakan terhadap YB Lim Guan Eng tanpa mengambil kira dahulu tindakan terhadap kritikan anak PM.

Kedua. Pendedahan bahan bukti mahkamah di dalam bentuk afidavit kepada media massa walaupun ianya masih belum mendapat kelulusan mahkamah sebagai dokumen awam. Insiden ini berlaku pada 3hb September 1998, sehari selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketiga. Walaupun Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dituduh dibawah Seksyen 337B, kanun keseksaan, namun penuduhan terhadap beliau telah ditukar kepada tuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sementara itu, dalam kes yang sama laporan Suruhanjaya DiRaja Mengenai Pukulan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai persoalan mengenai pemindahan pertuduhan itu.

Keempat. Ia menjadi suatu kejutan apabila mendapati salah seseorang dari pejabat Peguam Negara, Dato' Gani Patail telah cuba manghalang Dato'Seri Anwar Ibrahim dari memberi keterangan mengenai kecederaannya, malah Dato' Gani Patail telah menyatakan bahawa kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah kecederaan yang ringan.

Kelima. Kami berasa amat hampa dan kesal di atas kelewatan dan kelambatan pihak Peguam Negara membuat penerangan mengenai kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tambahan pula pihak Peguam Negara hanya bergantung kepada keterangan oleh Dr. Abd Rahman Yusof walaupun beliau tidak pernah membuat pemeriksaan terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Keenam. Satu surat sumpah dari peguambela Dato' Nallakarupan, En. Manjeet Singh Dillon, yang menyabitkan nama Peguam Negara, Gani Pattail, dan Azhar Mohamad dalam percubaan untuk menggunakan hukuman mati sebagai ugutan keatas Dato' Nalla.

Ketujuh. Pengabaian afidavit Dr. Munawar Anes, Sukma Darmawan, Mior Abd

Razak dan Azmin Mohd. Ali yang jelas membuktikan mereka telah dianiaya dan didera oleh pihak polis.

Kelapan. Penukaran dan pembubaran dakwaan ke atas kes Dato' Seri Anwar Ibrahim telah menimbulkan keraguan dalam masyarakat mengenai kredibiliti tuduhan terhadapnya.

Kesembilan. Penampilan saksi-saksi pendakwa dalam perbicaraan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, bukan sahaja tidak ada kredibiliti, mempunyai daya ingatan yang amat lemah dan juga mempunyai latar belakang yang amat meragukan.

Kesepuluh. Kegagalan pihak Peguam Negara untuk menjawab beberapa tuduhan terhadap pihak tuan dan kakitangan, Abdul Gani Pattail, di dalam satu laporan BPR. Ini juga termasuk kegagalan pihak Peguam Negara untuk mendakwa Datuk Seri Rafidah Aziz atas tuduhan-tuduhan pecah amanah yang melibatkan pemberian saham-saham kepada menantunya dalam jumlah yang amat besar. Kesahihan dokumen penuduhan sehingga sekarang belum diulas oleh pihak tuan

Sebelas. Walaupun setelah tiga laporan polis dibuat terhadap Menteri Perdagangan dan Industri, siasatan daripada pihak polis dan Peguam Negara sangat lembab dan tiada kemajuan yang nyata sehingga kini. Ini amat berbeza dengan cara siasatan terhadap dakwaan sejumlah dokumen rahsia kerajaan yang dikatakan disimpan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar negara.

Duabelas. Peguam Negara belum mengambil apa-apa tindakan terhadap tuduhan salahguna kuasa oleh Perdana Menteri dan Tun Daim Zainuddin dan kes Datuk Seri Rafidah Aziz. Peguam Negara belum berbuat apa-apa terhadap Perdana Menteri dan Daim yang menerima sejumlah besar wang dalam cara yang amat mencurigakan.

Tigabelas. Akhir sekali, kami ingin menekankan bahawa prosiding menghina mahkamah ke atas Dr. Chandra Muzaffar, dilihat oleh ramai sebagai menghina rakyat dan menyekat kebebasan bersuara rakyat yang ingin penyuarakan bantahan terhadap penyalahgunaan kuasa . Perlaksanaan prosiding menghina mahkamah terhadap Dr. Chandra merupakan pendakwaan yang memilih dan tidak adil di mana prosiding sedemikian tidak dikenakan ke atas orang-orang tertentu termasuk Perdana Menteri walaupun beliau sendiri membuat beberapa komentar mengenai kes Datuk Seri Anwar.

Rayuan Kami

Kami mendesak Peguam Negara agar lebih adil dalam bertindak ke atas sesuatu kes tanpa memilih bulu atau merasa takut. Kegagalan untuk berbuat demikian seperti yang ditunjukkan dalam kes-kes yang dibicarakan di atas yang telah menjatuhkan kredibiliti dan kewibawaan terhadap rekod baik tuan.

Setiap warganegara mengharapkan agar tuan dapat menjalankan tugas tuan dengan moral dan etika yang tinggi. Suka diingatkan bahawa seluruh dunia sedang memerhati dan ia menjadi amat penting untuk tuan memelihara maruah dan nama baik negara.

Kami mendesak tuan agar menjalankan tugas tanpa rasa takut dari tindakbalas manusia kerana balasan Tuhan kelak akan meninggalkan kesan yang lebih/amat besar terhadap semua insan.

Ia menjadi harapan kami yang tulus ikhlas agar tuan dapat membetulkan semula segala tindakan yang silap. Ia belum lagi terlambat untuk menjernihkan semula segala kekeliruan masyarakat yang telah timbul terhadap pejabat Peguam Negara.

Kami mendesak agar tuan membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia tidak gentar melaksanakan keadilan, kebebasan dan kebenaran. Sudah tiba masanya untuk mengakhiri sandiwara ini seperti yang disyaki oleh sebahagian besar 'silent majority'.

Stephen Doss Majlis Pelajar Malaysia

Burhan Che Daud Barisan Bertindak Mahasiswa Negara


Last changed: August 22, 1999