[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Laporan Polis Di Lokap Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur

Date: 22 Aug 1999
Time: 09:13:58
Remote User: -

Comments

Laporan Polis Di Lokap Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur 22517/99 20 Ogos 1999 12:20 Tengahari.

Saya merujuk kepada dokumen BPR dan Jabatan Peguam Negara yang disahkan oleh Dato Gani Patail mengenai pertuduhan terhadap Tan Sri Rahim Tamby Chik, bertarikh 10 Jun 1994. Dokumen tersebut menyatakan bahawa terdapat kes Prima Facie rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap Tan Sri Rahim Tamby Chik mengikut seksyen 2(1) Ord.22 1970, keterangan dan pertuduhan dikemukakan seperti berikut:

Tuduhan Pertama: Selaku Pengerusi Jawatankuasa Belah Bahagi Tanah beliau telah meluluskan permohonan Syarikat Dayamik untuk memecah sempadan Lot 902 dan tidak mengistiharkan kepentingannya.

Tuduhan Kedua: Meluluskan permohonan Syarikat Dayamik untuk menukar Syarat Lot 1727

Tuduhan Ketiga: Tidak mengistiharkan harta seperti yang diarah oleh BPR dan Jabatan Peguam Negara.

Tuduhan Keempat: Membuat pengakuan palsu kepada Perdana Menteri mengenai pengistiharan harta yang boleh disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 199 kanun keseksaan (FMS Cap.45) dan boleh dihukum dibawah seksyen 193.

Harta dan kepentingan Dalam Syarikat : Hasil siasatan BPR; didapati Tan Sri Rahim mempunyai akaun dalam pulohan Bank. Syarikat dan kepentingan perniagaan beliau termasuklah dalam:

1. Hotel Ayer Keroh D'Village. 2. Stesen Pam Minyak Shell. 3. Lot 706 yang dijual kepada EON. 4. 17 anak syarikat Daya Promile 5. 53 ekar dusun durian di Bertam. 6. Rumah kedai di Mesjid Tanah 7. 5 unit rumah kedai di Taman Melaka Raya 8. Peringgit Point. 9. Taman Buaya Melaka 10. Taman Mini Malaysia dan Mini Asean 11. Taman Ikan Melaka

Kereta-kereta. 1. BMW 525 harga RM 180,000.00 2. Porche 928 harga RM 448,495.00 3. Mercedes Benz 300 harga RM 190,000.00

Sehingga 31 Mei 1993, harta yang beliau miliki berjumlah RM 39,782,772.69.

"Maklumat-maklumat yang lain ada juga diterima daripada YB Lim Guan Eng dimana tidak kesemua maklumat tersebut dapat disahkan kebenarannya kerana terlampau umum manakala sebahagian besar daripadanya adalah merangkumi apa yang telah dijalankan siasatan oleh BPR."

Peguam Negara menyedari keberatan Dato Seri Dr. Mahathir mengambil tindakan walau pun terdapat asas dan bukti yang kukuh. Maka Jabatan Peguam Negara mencadangkan, diatas 'kepentingan negara" supaya pertuduhan boleh dikompromi dan dikurangkan dengan alasan berikut:

"BPR dan Jabatan Peguam Negara bersetuju bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes "prima facie" terhadap Tan Sri Rahim TC. Walau bagaimanapun, demi kepentingan negara, satu pertimbangan semula mungkin boleh dibuat untuk menuduh B1 dimahkamah diatas keempat-empat tuduhan tersebut atau pun hanya untuk menuduh beliau atas beberapa pertuduhan sahaja sekiranya beliau melepaskan kesemua jawatannya dalam kerajaan, Badan-badan Berkanun dan Partai politik."

Berdasarkan dokumen tersebut, nyatalah bahawa Tan Sri Mohtar Abdullah, Peguam Negara telah menyalahgunakan kuasa, memilih untuk melindungi penjenayah dan menghalang proses keadilan. Arahan Dato Seri Dr. Mahathir, kemudiannya, sehingga tindakan tidak diambil membuktikan bahawa beliau memilih untuk melindungi perasuah dan telah menghalang proses keadilan.

Saya membuat laporan ini sebagai menyempurnakan tanggungjawab saya sebagai warganegara. Kita harus menolak kepura-puraan pemimpin mengutuk politik wang dan rasuah tetapi disebaliknya mengamalkan dan melindungi perasuah dan penjenayah. Diketika Dato Seri Dr. Mahathir menangis tatkala membicarakan isu politik wang dan rasuah dalam Perhimpunan Agong UMNO, amalan tersebut dikalangan pemimpin UMNO dan kerajaan terus dilindunginya.

Ini merupakan laporan Polis saya yang keempat mengemukakan bukti wujudnya penyalahgunaan kuasa dan rasuah dikalangan pemimpin. Saya mendesak pehak polis melaksanakan tugas dengan adil dan saksama. Janganlah diwujudkan dua sistem undang-undang; melindungi rasuah dan jenayah dikalangan yang berkuasa tetapi bertindak keras terhadap rakyat biasa walaupun diatas kesalahan kecil atau kerana mereka dianggap tidak menurut sahaja selera pemimpin.

Sehingga kini, belum terdapat sebarang tindakan bersabit kes rasuah Dato Seri Rafidah Aziz yang disebut dalam kertas Pendakwaan Jabatan Peguam Negara; rasuah ratusan juta ringgit yang diterima olih Tun Daim Zainuddin dari tiga tokoh korporat; dan penglibatan Dato' Seri Dr. Mahathir meluluskan projek dan kontrak melalui Tan Sri Eric Chia dalam kes Perwaja.

Badan Pencegah Rasuah juga digesa supaya lebih aktif dan tegas dalam siasatan. Dengan peruntukan Akta Rasuah yang baru, jentera yang lebih kukuh, mereka berkeupayaan menyempurnakan tugas. Dalam kes Dato Seri Rafidah dan Tan Sri Rahim, BPR telah pun mengemukakan cadangan supaya tindakan diambil. Dalam kes Tun Daim; dan penglibatan Dato Seri Dr. Mahathir dan Tan Sri Eric Chia dalam kes Perwaja, belum nampak lagi sebarang kemajuan.

Bukti rasuah Tan Sri Rahim yang dikemukakan adalah berdasarkan dokumen yang saya perolehi. Inilah contoh dokumen yang amat ditakuti oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. Dokumen-dokumen tersebut melibatkan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa termasuk yang diberikan perlindungan oleh Dato Seri Dr. Mahathir. Tidak timbul samasekali dokumen yang melibatkan keselamatan negara. Tetapi saya diserang oleh Perdana Menteri dan Timbalannya sebagai pengkhianat kerana dituduh menyimpan dokumen rahsia kerajaan atau dokumen yang melibatkan keselamatan negara. Inilah keadilan ala-Mahathir; menyerang dan memfitnah dan tidak memberikan hak dan peluang kepada yang dituduh membela diri atau memberikan penjelasan.

Bahkan saya belum pun disoal mengenai dokumen-dokumen tersebut sejak membuat kenyataan tersebut pada bulan September 1998. Sebenarnya, pemimpin-pemimpin rasuah takut tembelang dan pekong rasuah dan penyalahgunaan kuasa dibongkar. Maka, mereka pantas memutarbelitkan kenyataan, memfitnah dan berdalih dengan melontarkan isu pengkhianatan kepada negara. Pengkhianat sebenarnya ialah kalangan zalim dan penindas; memunggah kekayaan dan khazanah negara untuk peribadi, keluarga dan kroni serta menzalimi rakyat.

Dikemukakan dokumen siasatan BPR dan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara terhadap Tan Sri Rahim Tamby Chik dibawah Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, sebagai Eksibit Satu.

tt. ANWAR IBRAHIM 20hb. Ogos 1999 12:20 tengahari.


Last changed: August 22, 1999