[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Wanita UMNO Tetap Bergolak

Date: 22 Aug 1999
Time: 09:27:15
Remote User: -

Comments

Ulasan

Kita melihat bahawa isu pergerakam Wanita UMNO masih lagi belum selesai walaupun digembargemburkan oleh media kroni. Kita mengannggap bahawa lakonan mereka ini memang hebat tapi sepertimana Zaharah kata cabaran di hari esok masih lagi belum menentu. Ini menunjukkan bahawa isu wanita diselesaikan secara superficial sahaja.

Mereka akan terus bergolak pada tahun depan bilamana UMNO kalah dan kita tunggukan samada UMNO masih boleh hidup atau seperti nyawa ikan.

Sudahlah, sudah lama rakyat beri peluang. Masa untuk turun tahta telah sampai.

======================================================================================================================================================== Isu Minggu Ini -- Kuburkan sifat mencabar - Pembangkang senyum lihat wanita UMNO longlai BIDUK lalu kiambang bertaut. Begitulah pendirian barisan Exco Pergerakan Wanita UMNO. Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Pergerakan Wanita UMNO yang diketuai oleh Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman. Akhirnya Wanita UMNO tidak berpecah atau berada dalam kelompok dan berpuak-puak.

Begitulah kesudahannya isu panas dalam sayap kiri parti politik UMNO berikutan rombakan barisan Exco Pergerakan Wanita UMNO melibatkan pelantikan Ketua baru di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Naib Ketua baru di Sabah.

Melihat wajah-wajah ceria barisan Exco terutama watak-watak utama yang menjadi perhatian - Azizah Abdul Samad, Sharifah Aminah Syed Mohamad dan Dayang Mahani Ahmad Rafaei pada persidangan berita Siti Zaharah Selasa lalu membayangkan gelora yang melanda Wanita sudah berakhir.

Sama ada ia hanyalah sebahagian daripada sandiwara politik atau satu hakikat sebenarnya, yang jelas masing-masing masih mampu mengukir senyuman.

Mereka memberi senyuman puas kepada semua pihak khususnya UMNO sendiri yang menghantar wakilnya Tan Sri Khalil Yaakob bagi mengawasi mesyuarat pada hari berkenaan. Mungkin kehadiran Khalil telah banyak mententeramkan keadaan yang mulanya dijangka agak kucar-kacir.

Selama empat jam setengah, setiap anggota Exco Wanita yang hadir diberi peluang untuk bercakap dan meluahkan segala isi hati yang terbuku. Mungkin ini kali pertama setiap ahli Exco bercakap walaupun ada antara mereka mungkin bercakap dan memberi pandangan dengan penuh emosi dalam keadaan tertekan, tergagap, marah dan sedih.

Janji Wanita tentunya selepas ini tidak kedengaran lagi suara-suara sumbang di belakang atau di sebalik tabir yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Walau apapun telahan yang dibuat oleh pelbagai pihak selepas mesyuarat itu, hakikat yang harus diterima ialah keikhlasan Siti Zaharah mengakui kesilapannya. Rombakan untuk melantik muka-muka baru merupakan satu tindakan terburu-buru. Beliau meminta maaf atas apa yang berlaku. Katanya barisan Exco kini dirapatkan semula dengan satu tujuan iaitu bagi menghadapi pilihan raya umum.

Semua pihak dalam Wanita sudah seharusnya bersedia untuk menghormati keputusan yang telah dibuat. Siti Zaharah akur dengan keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Majlis Tertinggi (MT). Jika Siti Zaharah bersedia mematuhi arahan Presiden, sudah tentu Wanita lain sedia memaafkan.

Dengan 'kekuatan' yang ada pada Wanita UMNO sekarang, mereka tidak seharusnya bersengketa. Peranan mereka selama ini sebagai penggerak jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), Perayu Undi dan Rumah 10 amat penting. Jika pimpinan Wanita di peringkat atas terus berkocak dengan isu-isu yang boleh mencemaskan, ahli-ahli yang di bawah mungkin tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada jentera pilihan raya.

Siti Zaharah telah menjelaskan niat sebenarnya membuat rombakan awal itu. Matlamatnya hanya satu - untuk memantapkan jentera pilihan raya Wanita.

Niat beliau harus dihargai tetapi perkiraannya silap apabila melakukan rombakan ketika seluruh jentera Wanita sedang bekerja keras memantapkan jentera parti.

Tidak tepat malahan agak keterlaluan jika dikatakan jentera yang ada sebelum ini tidak bekerja dengan sebaik mungkin. Tidak kena juga jika mereka yang membentuk jentera pilihan raya dikatakan sudah melakukan yang terbaik untuk parti.

Oleh itu langkah untuk memantapkan jentera parti memang dialu-alukan. Siti Zaharah tentunya mahu menggunakan kedudukannya sebagai Ketua untuk membuktikan kepada UMNO bahawa walaupun beliau baru 'setahun jagung' memimpin Wanita tetapi mampu untuk memastikan kejayaan UMNO dan BN.

Sebagai pemimpin yang baru pertama kali akan diuji dalam pilihan raya umum, tentunya Siti Zaharah tidak mahu kecewa. Namun mungkin kerana agak panik, Siti Zaharah membuat keputusan terburu-buru menggugurkan orang lama dan menggantikannya dengan muka baru tetapi juga sudah lama di dalam Wanita.

Apa yang diharapkan, perdamaian dalam Wanita akan mengukuhkan parti dan pada masa yang sama beberapa nama yang tidak sempat memegang jawatan yang diberi akan terus memberi sumbangan besar kepada Wanita. Pastikan tidak wujud perpecahan hanya kerana rombakan yang tidak menjadi kenyataan itu.

Wanita sekarang harus bergerak sebagai satu pasukan yang akan berusaha memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mendapat tempat di kalangan orang Melayu dan rakyat seluruhnya. Perpecahan hanya disebabkan oleh beberapa isu kecil boleh memudaratkan jentera Wanita dan parti.

Atas kesedaran inilah (jangkaan berlaku perpecahan), UMNO mengambil langkah menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan termasuk Wanita yang sepatutnya berlangsung tahun ini. Jika pemilihan terpaksa dilangsungkan juga tentu banyak masalah terpaksa dihadapi oleh parti.

Bukan sekadar jawatan ahli MT akan menjadi rebutan malahan jawatan dalam Pemuda dan Wanita juga mungkin tidak dapat dielakkan. Jika ini berlaku menjelang pilihan raya umum, sudah tentu tugas UMNO termasuklah Siti Zaharah lebih berat. Siti Zaharah juga tentunya mahu menjaga kedudukannya sebagai Ketua.

Mujurlah pemilihan dapat ditangguhkan dan satu perkara penting yang harus diberi perhatian sekarang hanyalah pilihan raya. Bukan masanya bagi Wanita memperkatakan lagi tentang Siti Zaharah atau Wanita itu sendiri. Sebaliknya perkara pokok ialah bagaimana mahu merapatkan jurang di kalangan ahli dalam menghadapi pilihan raya seperti kata Perdana Menteri semakin hampir.

Seperti yang ditegaskan oleh Siti Zaharah dalam satu wawancara bersama majalah berita mingguan MASSA minggu ini, bukan mudah untuk menerajui pertubuhan yang lama dan banyak cabaran. Sebagai manusia, beliau tentunya tidak mampu memenuhi kehendak setiap orang atau boleh memenuhi semua permintaan.

Namun bagi Siti Zaharah, cabaran yang dihadapinya kali ini bukanlah sesuatu yang paling hebat sejak memimpin pergerakan itu.

''Mungkin ada lagi cabaran pada masa akan datang. Mungkin lebih hebat lagi. Kita jangan anggap ini sebagai yang paling teruk kerana kita tidak tahu apa pula yang akan kita hadapi esok,'' kata Siti Zaharah sejurus selepas mempengerusi mesyuarat Exco Wanita yang turut disertai sama oleh Setiausaha Agung UMNO.

Harapannya agar seluruh Wanita dapat menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang belum selesai. Persoalannya sejauh manakah harapan beliau itu mampu dipenuhi oleh ahli-ahli Wanita seluruhnya?

Pastinya di luar sana selepas ini, kita tentunya akan terus mendengar pelbagai andaian dibuat. Mereka akan terus bercakap tentang Wanita dan Siti Zaharah. Dalam hal ini, Wanita terutamanya Siti Zaharah harus bersedia menghadapinya. Barisan Exco yang ada harus membantu memantapkan perpaduan ahli-ahli Wanita seluruhnya.

Ini ditambah pula dengan pengakuannya bahawa beliau tidak memikirkan wujudnya tiga kumpulan dalam Wanita sekarang. Sebelum ini ada yang mendakwa terdapat beberapa kumpulan dalam pergerakan itu. Kumpulan itu khabarnya melibatkan Siti Zaharah, Naibnya Datuk Napsiah Omar dan bekas Ketua, Datuk Seri Rafidah Aziz. Mungkin ada lagi kumpulan lain di kalangan barisan Exco.

Kata Siti Zaharah: ''Pada asasnya ada dua sokongan sahaja, ini tidak boleh kita nafikan. Di mana-mana pun. Tetapi yang menjadi masalah ialah mungkin yang terbawa-bawa dengan penyokong atau takrif yang akhirnya menimbulkan keadaan kurang senang dan syak wasangka.''

Bagaimanapun Napsiah sama ada secara ikhlas atau tidak mengakui tidak ada team tertentu dalam Wanita dan baginya yang ada hanyalah team Wanita. Begitulah kenyataan Napsiah yang sebelum ini dikaitkan dengan ura-ura di negerinya (Negeri Sembilan) tercetus berita Siti Zaharah akan menghadapi usul undi tidak percaya.

''Saya tidak pernah berkata tentang perpecahan. Bagi kami (Wanita) yang ada keliling meja adalah pemimpin Pergerakan Wanita UMNO. Segala isi hati perut kami sudah dikeluarkan, anggaplah apa yang berlaku seperti biduk lalu kiambang bertaut,'' kata Napsiah.

Bagi Siti Zaharah, Napsiah dan rakan-rakan Exco mereka yang lain kini sudah bersedia memasuki agenda baru yang lebih penting untuk menghadapi pilihan raya dan pada masa yang sama memimpin Wanita UMNO memasuki alaf baru dengan fikiran yang matang dan sentiasa bersikap terbuka menerima kritikan.

Pada masa depan, Siti Zaharah tentunya bersedia untuk mendapatkan pandangan barisan Exconya sebelum membuat sebarang keputusan. Tidak ada gunanya membuat keputusan, kemudian mengumumkan kepada media dan akhirnya ahli-ahli Exco terpinga-pinga serta tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku.

Ingatlah orang lain juga ada hak dan suara. Kadangkala suara mereka juga lebih lantang dan sedia didengar oleh pihak lebih atas, lebih-lebih lagi jika disusuli dengan pelbagai fakta yang dapat menguatkan hujah-hujah mereka.

Bagi Wanita seluruhnya, perasaan cemburu yang sering dikaitkan dengan naluri Wanita harus disingkirkan. Cemburu melihat kejayaan dan cuba memadamkan kejayaan orang lain adalah sesuatu yang tidak harus ada pada Wanita. Mereka berhak untuk rasa cemburu atas kejayaan orang lain tetapi rasa cemburu itu harus diiringi dengan usaha untuk sama-sama mengejar kejayaan tanpa memusnahkan kejayaan orang lain. Mereka harus rasa cemburu sekiranya mereka tidak dapat sama-sama membantu ke arah kejayaan Wanita seluruhnya.

Semangat muafakat dan kerjasama amat penting. Wanita MCA contohnya. Masa untuk berundur bagi Datuk Teng Gaik Kwan sebagai pemimpin Wanita MCA berlangsung dalam suasana yang begitu harmoni. Apabila beliau merasakan masanya untuk berundur sudah tiba dan sesuai, beliau melakukannya.

Begitu juga dengan mereka yang mahu mengambil alih. Dua orang yang bersedia mengisi kekosongan Gaik Kwan bersedia berkompromi. Konsep menang-menang menjadi pegangan kedua-dua pemimpin Wanita MCA ini. Siapa yang menang menjadi ketua dan yang kalah pula sebagai naib ketua. Akhirnya tidak ada yang kalah dan tidak ada yang kehilangan tempat dalam Wanita MCA. Inilah semangat baru dunia politik Wanita.

Demokrasi memang tidak pernah menghalang sesiapa juga bertanding tetapi peralihan kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh Wanita MCA adalah lebih baik daripada sikap mereka yang merasakan diri kuat tetapi sebenarnya lemah dan pada masa yang sama tidak mahu menerima nasihat orang lain.

Sekiranya masih ada pihak merasakan Siti Zaharah, Napsiah atau Rafidah mempunyai kumpulan mereka sendiri, lupakan seketika perkara itu. Mungkin lebih baik bagi mana-mana pemimpin Wanita yang ada atau bekas pemimpin sebelum ini mengetepikan sentimen berpuak-puak atau dilabel sebagai penyokong orang tertentu.

Menjelang pemilihan tahun depan pula, pemimpin Wanita terutama dalam barisan Exco yang ada sekarang juga harus melupakan seketika soal siapa harus diletakkan sebagai pemimpin Wanita pada alaf akan datang.

Kita sedar sebaik sahaja terbongkar masalah yang dicipta oleh Siti Zaharah maka tersebar luas Negeri Sembilan akan membuat usul undi tidak percaya. Mujurlah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sempat menasihatkan Wanita. Akhirnya usul seperti itu hanya salah faham media. Pihak media yang tersalah anggap.

Bagaimanapun rentetan kepada isu tersebut, timbul pula cerita bahawa Napsiah akan mencabar Siti Zaharah pada pemilihan akan datang. Musuh-musuh UMNO sudah bersedia mencanangkan hal ini. Kononnya mereka yang mendapat cerita baru itu mendakwa Napsiah akan disokong kuat oleh beberapa bekas pemimpin Wanita.

Nama beberapa Exco dan pemimpin lain turut diheret sama bagi memeriahkan perebutan jawatan dalam Wanita pada abad akan datang.

Contohnya Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Shahrizat Jalil yang juga Exco Wanita dan Ahli Majlis Tertinggi Datin Paduka Zaleha Ismail disebut-sebut akan mencabar bagi kedudukan Naib Ketua. Seorang lagi Exco, Dr. Norraesah Malik juga disebut-sebut mahu mencuba bagi jawatan Naib Ketua.

Dari mana datangnya berita seperti ini? Jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Sedikit sebanyak berita sensasi seperti ini tentulah terkeluar daripada mulut Wanita sendiri.

Seluruh ahli Wanita UMNO perlu lebih berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan berita-berita yang dicipta oleh musuh. Jika benar sekalipun, masih terlalu awal untuk memperkatakan siapa akan mencabar siapa dalam pemilihan akan datang. Tunggulah apabila senarai calon pilihan raya diumumkan oleh Presiden parti.

Kedudukan siapa lawan siapa akan banyak dipengaruhi oleh kedudukan masing-masing menjelang pilihan raya akan datang. Apabila keluar sahaja senarai pilihan raya nanti maka jelaslah siapa yang bakal menentukan corak kepimpinan Wanita sekarang. Jarang sekali mereka yang berada di luar kerajaan akan diberi peranan dalam parti.

Oleh itu bukan mudah membuat andaian hanya berdasarkan masalah yang melanda sekarang. Kita tidak tahu nasib Siti Zaharah, Napsiah, Rafidah, Zaleha, Shahrizat dan banyak lagi. Kedudukan mereka mungkin berubah. Mungkin mereka akan berpindah kawasan dari Parlimen ke Negeri atau sebaliknya.

Bukan juga sesuatu yang mustahil sekiranya mereka ini juga kemungkinan digugurkan. Tidak ada kawasan pilihan raya bagi mereka. Ini semua boleh berlaku. Kita juga tidak tahu wanita mana pula yang bertuah sama ada di dalam Exco atau di luar Exco akan bergelar wakil rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Jadi siapa lawan siapa di dalam Wanita masih terlalu awal untuk dibincangkan. Paling penting buat masa sekarang ialah memantapkan jentera pilihan raya kerana kebimbangan pembangkang pada hari ini ialah sikap dan semangat kental Wanita UMNO.

Pembangkang mengakui kekuatan Wanita UMNO dan mereka mahu mencontohinya. Bagaimanapun mungkin kerana peranan wanita dalam pembangkang tidak begitu boleh ditonjolkan atau jumlah yang sedikit, agak sukar tenaga wanita dalam pembangkang digerakkan seperti berlaku pada UMNO.

Paling mudah bagi pembangkang mendoakan, Wanita UMNO dalam keadaan lemah longlai dan cuba menimbulkan pelbagai isu yang boleh melemahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli Exco pergerakan itu. Pembangkang akan berasa senang dan tersenyum puas sekiranya kekuatan Wanita boleh dikendur atau ditundukkan menjelang pilihan raya nanti. - Oleh hassan Mohd Noor Pengarang majalah Massa

-------------------------------------------------------------------------------- © UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur


Last changed: August 22, 1999