[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Kerajaan Ugut  Anggota Tentera

Date: 22 Aug 1999
Time: 10:39:24
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampak para pemimpin kerajaan begitu gelisah dengan perkembangan politik negara yang mana rakyat termasuk anggota tentera sudah ada tanda-tanda untuk wujudkan perubahan. Mereka masih berpegang bahawa hanya mereka sahaja yang layak perintah negara. Suara rakyat cuba diketepikan.

Sekarang kerajaan ugut tentera. Apakah ini kerajaan yang kita mahu? Tentunya anggota tentera juga bukan pengkhianat sekiranya mereka tidak mengundi BN.

Negara kita punyai masalah besar. Sangat besar.

ANGGOTA TENTERA ANTI KERAJAAN DIKENAKAN TINDAKAN TATATERTIB

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos (Bernama) -- Tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap mana-mana anggota tentera yang terlibat dalam gerakan anti-kerajaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdullah Fadzil Che Wan berkata sebagai anggota tentera, mereka hendaklah menyatakan taat setia sepenuhnya kepada negara bagi menjamin keselamatan.

"Jika mereka sudah terlibat dengan gerakan anti-kerajaan, bagaimana hendak mempertahankan negara sepenuh jiwa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama anggota Rejimen 18 Askar Melayu Diraja di kem Seberang Takir dekat sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Petroleum negeri Datuk Abdul Rashid Ngah dan Panglima Briged Kelapan Brig Jen Hashim Yahya.

Abdullah Fadzil berkata sebah badan siasatan yang ditubuhkan untuk memastikan tiada anggota tentera yang terlibat dengan gerakan anti kerajaan, sedang menyiapkan laporannya.

Sebuah akhbar melaporkan minggu lepas bahawa terdapat gerakan yang menggunakan Kelab Remaja Sekolah dengan melatih anggotanya menjadi pasukan tentera persendirian untuk digunakan sekiranya diperlukan.

Laporan itu memetik seorang pegawai kanan di Kementerian Pertahanan sebagai berkata pelajar-pelajar itu diajar cara menggunakan senjata dan mempengaruhi mereka untuk membenci kerajaan.

Abdullah Fadzil juga berkata moral anggota sekarang tetap di tahap yang baik.

Mengenai pembelian pesawat pengangkut CN235 dari Indonesia, beliau berkata dua buah akan tiba Selasa ini dan empat lagi dijangka tiba akhir tahun.

Pembelian pesawat itu ialah untuk menggantikan pesawat Caribou yang selama ini digunakan sebagai pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Kementerian akan membuat keputusan di mana untuk meletakkan pesawat CN235 itu sedikit masa lagi," katanya.-- BERNAMA


Last changed: August 22, 1999