[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KERAJAAN PAS PERTAHAN SEKOLAH AGAMA UNTUK PASTIKAN SISTEM SEDIA ADA KEKAL

Date: 22 Aug 1999
Time: 11:02:42
Remote User: -

Comments

KERAJAAN PAS PERTAHAN SEKOLAH AGAMA UNTUK PASTIKAN SISTEM SEDIA ADA KEKAL

KOTA BAHARU, 22 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau mempertahankan sekolah agama rakyat daripada diambil alih oleh kerajaan pusat bagi memastikan sistem pembelajaran sedia ada di sekolah itu kekal.

"Jangan dirombak perkara yang mengukuhkan Bahasa Arab...yang dipertahankan supaya pelajar-pelajar kita secara automatik boleh memahami al-Quran dan hadis," katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap pada majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar yang akan berlepas ke Mesir di sini hari ini.

Nik Aziz berkata kerajaan negeri tidak mahu masyarakat akan datang menerima Islam melalui kitab yang diterjemah kerana ia membabitkan pemahaman yang agak berbeza daripada menerima melalui bahasa Arab.

"Kalau dibuang atau dikecilkan bahasa Arab, maka kita orang Melayu hanya terima Islam melalui kitab-kitab terjemahan," katanya.

Ketika ditanya cadangan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk mengadap Sultan Kelantan bagi menyampaikan hasrat kementerian mengambil alih sekolah-sekolah agama rakyat di negeri ini, Nik Aziz berkata kerajaan negeri tidak boleh menyekat.

"Yang kita nak supaya Islam dengan bahasa Arabnya kukuh di kalangan pelajar-pelajar kita," katanya.-- BERNAMA


Last changed: August 22, 1999