[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

PEMBANGKANG GESA KERAJAAN BATALKAN CADANGAN GABUNG BANK

Date: 22 Aug 1999
Time: 11:05:32
Remote User: -

Comments

PEMBANGKANG GESA KERAJAAN BATALKAN CADANGAN GABUNG BANK

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Parti-parti pembangkang hari ini menggesa kerajaan membatalkan rancangan penggabungan bank kerana penggabungan itu tidak akan memperkukuhkan sistem perbankan negara.

Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebaliknya insentif berteraskan pasaran hendaklah diperkenalkan untuk mendorong bank-bank memenuhi kepentingan negara dan umum serta mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Ketika berucap bagi pihak empat parti pembangkang -- Keadilan, PAS, DAP dan PRM, Wan Azizah memberitahu persidangan media di rumahnya di sini hari ini bahawa mereka juga mencadangkan sistem perbankan pelbagai tingkat yang membolehkan bank pelbagai saiz wujud bersama dan membantu antara satu sama lain.

Yang turut hadir ialah setiausaha agung DAP Lim Kit Siang dan presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Syed Husin Ali.

"Kejayaan sistem perbenkan seumpama itu di negara lain memberi keyakinan bagi mencuba sistem itu di negara ini sambil berkata pembangkang percaya bahawa proses secara sukarela ialah cara terbaik untuk mempastikan kepentingan semua pihak dilindungi.

Menurut beliau, kerajaan harus mempastikan bahawa sistem kewangan Malaysia memberi keutamaan kepada agenda ekonomi negara dan keperluan kewangan rakyat daripada hanya memenuhi keperluan perbankan global.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengumumkan rancangan penggabungan bank-bank perdagangan kepada enam kumpulan utama -- Malayan Banking Group, Public Bank Bhd, Southern Bank Bhd, Perwira Affin Bank Group, Bank of Commerce (Bumiputera-Commerce Asset Bhd) dan Multi-Purpose Bank Bhd. -- BERNAMA


Last changed: August 22, 1999