[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

KSN Jadi Alat Kempen

Date: 23 Aug 1999
Time: 03:11:26
Remote User: -

Comments

Ulasan

Nampaknya KSN kita juga telah kena sakit ampu mengampu. Kali ini PUSPANITA digesa supaya kekal perpaduan. Sejak bila wanita tidak berpadu? Apakah perbedaan pendapat bermakna tidak berpadu. Macam wanita UMNO walaupun dia bergelut dalam UMNO tapi berpadu juga.

Rakyat juga berpadu. Cuma rakyat nak tukar pentadbir itu saja. Apa salahnya? Dalam konteks demokrasi mana yang kata perkara ini tidak boleh dilakukan.

Kita berharap KSN berhati-hati.

============================================================================================================================== WANITA DISERU JAGA PERPADUAN

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Pemimpin wanita hari ini diseru agar sentiasa berusaha menjaga perpaduan mereka terutama dalam menangani pelbagai dakyah yang tersebar menerusi media massa termasuk internet.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Abdul Halim Ali berkata dakyah itu bukan sahaja boleh memecah-belahkan perpaduan tetapi juga menyukarkan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup wanita menjelang alaf baru.

Oleh itu, katanya, wanita menerusi persatuan masing-masing harus memainkan peranan lebih aktif dalam melaksanakan program yang dapat memberi manfaat kepada negara keseluruhannya.

Semasa berucap merasmikan Bengkel Kemahiran Pengurusan anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) di sini, Abdul Halim berkata wanita juga bertanggungjawab memikul pengurusan kejiranan terutama bagi memastikan wujudnya jalinan kejiranan yang utuh dan jitu.

"Peranan ini sangat penting kerana ia dapat menjalin hubungan mesra antara komuniti tempat seseorang wanita itu berada," katanya.

Abdul Halim seterusnya menyeru wanita agar menerapkan budaya celik teknologi maklumat (IT) bagi membolehkan mereka memainkan peranan lebih berkesan dalam ekonomi dan memudahkan mereka untuk mengawal anak-anak yang mahir komputer.

"Jikalau sebagai seorang ibu kita sendiri takut, tidak tahu dan tidak pernah sentuh kekunci komputer, bagaimana kita dapat memainkan peranan wanita alaf baru secara berkesan," katanya.

Bengkel dua hari itu bertujuan antara lain memberi pendedahan kepada pemimpin Puspanita daripada semua peringkat tentang kemahiran asas pengurusan di samping menambah kemahiran memimpin dalam kegiatan kemasyarakatan. -- BERNAMA


Last changed: August 23, 1999