[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

BICARA KES PEREKA FESYEN DITANGGUH HINGGA FEBRUARI

Date: 23 Aug 1999
Time: 08:18:53
Remote User: -

Comments

BICARA KES PEREKA FESYEN DITANGGUH HINGGA FEBRUARI

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Perbicaraan kes pereka fesyen Mior Abdul Razak Yahya yang dituduh memberi kenyataan palsu dalam akuan berkanunnya bahawa dia tidak diliwat oleh bekas Timbalan Perdana MenteriDatuk Seri Anwar Ibrahim, ditangguh sehingga bulan Februari tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Ahmadi Asnawi menetapkan 10 hari bermula 21 Feb untuk perbicaraan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Kanan Pendakwa Raya Datuk Mohd Zaki Mohd Yassin untuk menangguhkan kes itu.

Mior, 31, dituduh mereka-reka keterangan palsu dalam akuan berkanunnya pada 8 Feb lepas dengan tujuan supaya ia digunakan dalam prosiding kehakiman di Mahkamah Tinggi iaitu tuduhan liwat terhadap Anwar yang membabitkan Mior.

Dia didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki memberitahu mahkamah pihaknya memohon penangguhan atas alasan sebahagian daripada anggota siasatan yang terlibat dalam kes itu juga terlibat dalam kes liwat Anwar yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi.

Anwar, 52, didakwa bersama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, 38, meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini, antara Januari dan Mac 1993.

Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan Anwar untuk meliwat Azizan di tempat dan pada masa yang sama.

Peguam Mior, Jerald Gomez berkata beliau tidak membantah permohonan Mohd Zaki tetapi memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan beberapa dokumen seperti pengakuan yang diberikan Mior kepada majistret, kenyataan beramaran serta rakaman pita video yang diambil semasa Mior membuat kenyataan itu, laporan perubatan dan laporan maklumat pertama berhubung kes itu bagi melicinkan perjalanan perbicaraan.

Gomez juga memberitahu mahkamah bahawa Mior memerlukan dokumen perjalanan antarabangsa kerana dia telah dipilih untuk mewakili negara dalam satu pertandingan fesyen peringkat Asia Tenggara dan akan berlepas keSingapura, Thailand, Filipina dan Indonesia dalam bulan September dan Oktober.

Bagaimanapun, Ahmadi yang juga menegur Mior kerana datang lambat ke mahkamah berkata, Mior perlu menyediakan satu surat berhubung perkara itu dengan memberikan tarikh dan masa yang khusus untuk mendapatkan dokumenperjalanannya yang kini disimpan di mahkamah sebagai syarat jaminan.

-- BERNAMA


Last changed: August 23, 1999