[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Nasib 70,000 kakitangan bank tidak menentu

Date: 23 Aug 1999
Time: 08:45:09
Remote User: -

Comments

Nasib 70,000 kakitangan bank tidak menentu Oleh HJ. AZLAN AHMAD

KUALA LUMPUR: Kakitangan bank pada 17 Ogos lalu melahirkan kebimbangan mengenai masa depan mereka berikutan langkah kerajaan memaksa penggabungan ke atas institusi-institusi kewangan di negara ini.

"Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Bank (NUBE) mengambil perhatian berat berkenaan pengumuman terbaru Bank Negara untuk `memaksa' sektor perbankan dan syarikat-syarikat kewangan bergabung," kata Setiausaha Agung kesatuan tersebut, G. Gopala Krishnan, dalam satu kenyataan yang dipetik AFP.

Walaupun penggabungan mungkin mengukuhkan sektor perbankan bagi menghadapi saingan asing, katanya, namun sedikit sangat yang diperkatakan mengenai nasib atau takdir 70,000 pekerja bank tersebut.

Harakah baru-baru ini melaporkan paksaan Bank Negara untuk menggabungkan berpuluh institusi kewangan menjadi hanya enam kumpulan kelihatan tidak realistik.

Ia juga mungkin membawa kepada masalah baru yang mengakibatkan lebih ramai kakitangan institusi kewangan di negara ini dibuang kerja dan mungkin pihak perbankan akan menyekatkan pemberian pinjaman kerana hendak mengumpulkan sumber kewangan yang mencukupi sebelum dijalankan pengabungan.

Rancangan itu akan mengurangkan sejumlah 21 bank, 25 syarikat kewangan dan 12 bank saudagar yang ada sekarang kepada hanya enam buah bagi setiap sektor.

Menurut G. Gopala, memaksa ke semua institusi kewangan bergabung menjadi enam entiti besar bermakna berbagai sistem dan budaya menjadi satu.

"Ia akan mengakibatkan kerisauan dan kesukaran yang keterlaluan kepada tenaga kerja dan pelanggan," katanya.

Pihak kesatuan itu juga mengambil berat sama ada penduduk di luar bandar akan menikmati kemudahan perbankan setelah sektor itu diperkecilkan.

Beliau juga mengutarakan kesan bahaya dari langkah tersebut kepada keadaan ekonomi dengan hanya menghadkan kepada sedikit bank besar.

"Di dalam pasaran yang mempunyai hanya sedikit bank besar, risiko kegagalan setiap bank adalah pada tahap rendah, tetapi jika bank besar seumpama itu gagal dan menghadapi masalah di dalam suasana yang demikian, kegagalannya berkemungkinan besar akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara," katanya yang dipetik dari AFP.


Last changed: August 23, 1999