[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Shahnon kesal badan penulis membisu

Date: 23 Aug 1999
Time: 08:46:28
Remote User: -

Comments

Shahnon kesal badan penulis membisu

Dato' Shahnon Ahmad IPOH: Banyak persatuan penulis di negara ini tidak menunjukkan sikap berani menentang kezaliman dan keti-dakadilan Kerajaan Umno/BN disebabkan persatuan tersebut banyak mendapat kemudahan daripada kerajaan.

Oleh sebab itu persatuan penulis tersebut terpaksa akur dengan kerajaan yang memerintah negara ini sekarang walaupun pimpinan persatuan berkenaan sedar tentang ketidakadilan yang wujud masa kini.

Demikian dinyatakan oleh Sasterawan Negara, Profesor Dato' Shahnon Ahmad, sewaktu berucap dalam sesi soal jawab bersamanya di Taman Meru, di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, di awal kebangkitan rakyat negara ini menentang penjajah, persatuan penulis seperti ASAS 50 yang didokong antara lain Usman Awang, Kris Mas dan lain-lain lagi turut bersama rakyat meniup semangat kemerdekaan.

Begitu juga peranan media massa turut seiring jalan bersama rakyat menentang penjajah Inggeris kerana ketika itu semangat menuntut kemerdekaan sedang meluap di setiap peringkat.

Namun begitu, tambahnya, dalam era kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad sekarang ini yang sering dikaitkan dengan ketidakadilan, korupsi, kronisme dan nepotisme, persatuan penulis tidak meniupkan semangat menentang kezaliman.

"Apabila banyak habuan diterima daripada kerajaan menyebabkan persatuan penulis tidak berupaya membangkitkan semangat kerajaan walaupun rata-rata tahu pemerintah yang ada sekarang ini tidak adil," katanya.

Sepanjang ingatan beliau cuma dua persatuan penulis yang berani menyokong dan mempertahankan beliau apabila novel Shit menjadi kontroversi, iaitu satu dari Perak dan Kedah, yang lain membisu.

Beliau berharap seluruh persatuan penulis di negara ini 'membuka mata' untuk melihat kebenaran dan keadilan dengan terjun ke tengah masyarakat untuk turut serta dalam arus perdana menentang kemungkaran dan ketidakadilan BN.

"Sudah sampai masanya seluruh persatuan penulis seiring jalan bersama rakyat dalam arus perdana seperti mana mereka bersatu menentang penjajah satu ketika dulu," tegasnya.


Last changed: August 23, 1999