[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Demokrasi ala Mahathir

Date: 23 Aug 1999
Time: 08:48:38
Remote User: -

Comments

TINTA KAMPUS

Demokrasi ala Mahathir di Malaysia

Saya teringat sebuah tulisan kenalan saya Profesor Harold Crouch, seorang pensyarah terkenal dari Australia yang banyak menulis mengenai perkembangan politik Malaysia dan rantau ini.

Malahan beberapa bulan lalu kami bersama-sama berada di Indonesia untuk menjadi anggota pemantau pilihan raya di sana. Beliau banyak mengupas mengenai kedudukan demokrasi dan hak asasi yang sedang diamalkan di negara kita sekarang ini.

Antara lain beliau pernah menyatakan bahawa; 'Institusi demokrasi di Malaysia adalah gambaran luar yang palsu dan ia lebih merupakan pemerintahan berbentuk kuku besi atau 'authoritarian'.

Begitu juga dengan Profesor William Case dari Amerika Syarikat yang juga banyak mengupas mengenai perkembangan politik dan demokrasi di Malaysia.

Beliau menyimpulkan bahawa kedudukan perjalanan demokrasi di negara ini amat meragukan. Beliau menyatakan bahawa 'parti pembangkang dan kumpulan kepentingan lain hanyalah berperanan sebagai 'safety valves' (saluran penyelamat) ketidakpuasan hati masyarakat. Ia sepatutnya berperanan sebagai sebuah organisasi yang mampu untuk meningkatkan ketidakpuasan hati rakyat kepada hak berpolitik yang bersifat bebas'.

Saya menyingkap kembali persoalan demokrasi di Malaysia ini kerana Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad telah menimbulkan isu bahawa parti pembangkang di negara kita adalah ancaman kepada amalan demokrasi yang berjalan sekarang. Bagi beliau pemimpin parti pembangkang sepatutnya sudah ditangkap di bawah ISA sekiranya kerajaan ini tidak mengamalkan ciri-ciri demokratik sepenuhnya.

Tambahnya lagi, kera-jaan telah bersikap bertolak ansur semata-mata mahu mempertahankan demo-krasi di negara ini walaupun ramai pemimpin pembang-kang telah melanggar undang-undang negara.

Bagi Dr. Mahathir kononnya hanya parti yang memerintah iaitu Umno/BN sahaja yang berpegang teguh kepada amalan demokrasi terutama dengan adanya pilihan raya yang dijalankan setiap lima tahun di negara kita.

Persoalan yang perlu diteliti sekarang ini apakah dengan hanya mengamalkan pilihan raya setiap empat atau lima tahun sudah memberi jaminan bahawa Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi?

Dalam mana-mana sistem demokrasi antara persoalan asas adalah jaminan kebebasan bersuara, hak asasi manusia dan jaminan keselamatan kepada setiap rakyat. Tambahan pula, sekiranya kita mahu berbincang mengenai asas demokrasi ini dalam konteks kebebasan dan hak asasi manusia yang ada di Malaysia, di manakah kita mahu meletakkan kedudukan demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Atau apakah benar seperti yang diutarakan oleh Profesor Wiliam Case bahawa kewujudan parti pembangkang dan NGO tidak lebih hanyalah 'saluran keselamatan' bagi memberi justifikasi bahawa amalan demokrasi berjalan dengan baik di negara kita.

Bagi saya dalam mana-mana sistem demokrasi rakyat menjadi penentu atau kuasa pemutus dalan memilih kepimpinan serta parti yang memerintah negara. Mereka berhak melibatkan diri dalam membuat keputusan secara bebas.

Ini adalah jaminan yang masti dihormati dalam amalan demokrasi, terutamanya dalam konteks hak rakyat sebagai pengundi dalam sesebuah negara.

Inilah yang dikatakan 'kuasa rakyat' dalam erti kata mereka berhak menentukan seseorang pemimpin atau parti itu memerintah dan mereka juga berhak untuk menentukan pemimpin atau parti itu turun secara demokratik tanpa sebarang ancaman atau ugutan.

Malahan amat pelik apabila Dr. Mahathir menyatakannya bahawa beliau amat percaya kepada demokrasi dan dalam masa yang sama juga cuba pula bermain dengan sentimen'fear atau takut' yang ditanamkan kepada rakyat.

Beliau membuat kenyataan terbuka bahawa peristiwa keganasan kaum 13 Mei 1969 akan berulang sekiranya rakyat tidak memberi undi majoriti dua pertiga kepada Umno/BN di parlimen pada pilihan raya akan datang ini.

Apakah kenyataan begini oleh seorang pemimpin yang mengaku berpegang teguh kepada amalan demokrasi boleh diterima pakai? Apakah Dr. Mahathir cuba memberitahu rakyat bahawa mereka akan hanya memperolehi demokrasi kiranya mereka mengundi Umno/BN? Atau apakah ungkapan sedemikian bukan satu bentuk ancaman atau provokasi terbuka kepada rakyat dan para pengundi berbilang kaum di negara kita?

Yang pastinya sekiranya pemimpin seperti Dr. Mahathir berpegang teguh kepada amalan demokrasi semestinya beliau mengembalikan mandat kepada rakyat. Rakyat di negara ini mesti diberi jaminan bahawa mereka berhak dan bebas membentukkan siapa atau parti mana yang akan memimpin mereka dalam pilihan raya akan datang ini tanpa sebarang ancaman atau ugutan seperti ini.

Jika Dr. Mahathir benar-benar menerima satu sistem yang demokratik beliau semestinya bersedia memberi jaminan hak serta asas-asas demokrasi yang bersifat sejagat terutamanya jaminan membuat pilihan secara bebas dan adil kepada setiap re‹yat. Begitu juga dengan aspek kebebasan sosial dan media yang berkait rapat dengan amalan demokrasi. Ia mestilah lebih terbuka untuk menerima pandangan serta kritikan rakyat.

Persoalan apakah Dr. Mahathir boleh memberi jaminan pilihan raya akan datang ini akan berjalan secara bersih dan tulus? Ataupun 'mandat' yang ditentukan oleh rakyat dihormati oleh semua pihak tanpa sebarang pertumpahan darah atau kekacauan?

Namun bagi saya harapan ini adalah seperti yang dikatakan oleh Profesor Harold Crouch yang menyatakan bahawa 'walaupun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang dipilih secara demokratik namun tindak-tanduknya adalah bersifat kuku besi atau 'authoritarian'. Mungkin inilah realiti yang dikatakan demokrasi Malaysia!


Last changed: August 23, 1999