[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Ada Orang Nak Lari Ke Angkasa Lepas?

Date: 23 Aug 1999
Time: 21:16:02
Remote User: -

Comments

Ulasan

Wahai rakyat Malaysia. Apa sudah jadi dengan negara kita? Dalam kita dihimpit kemiskinan dan isu-isu sosial yang hebat, ada pihak-pihak yang mahu pergi ke angkasa lepas.

Kita menganggap ini satu keterlaluan yang mana banyak lagi isu manusia yang perlu kita selesaikan. Sebagai contoh, apakah kita akan ada cukup makanan pada tahun 2020?

Kita bukan menongkah arus teknologi tapi biarlah berpadan dan jangan buat perkara-perkara yang membazir.

============================================================================================================================== KLIA bakal jadi lapangan angkasa

KUALA TERENGGANU 23 Ogos - Malaysia bakal menjadi lapangan angkasa pertama di Asia menjelang 2020 yang menyediakan perkhidmatan penerbangan angkasa komersial antarabangsa, termasuk membawa pelancong ke angkasa lepas.

Berdasarkan kajian Bahagian Kajian Sains Angkasa Lepas (Baksa) Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Pusat Sains Terengganu, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan kemudahan berteknologi tingginya dapat melengkapkannya sebagai Lapangan Angkasa Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIS).

Demikian menurut Koordinator Pusat Sains Terengganu, Norul Ridzuan Zakaria selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Operasi KLIA sebagai KLIS di sini semalam.

Norul Ridzuan berkata, kajian menunjukkan KLIA yang terletak berhampiran Khatulistiwa boleh menghasilkan nilai momentum maksimum.

Menurutnya, sebarang kenderaan pelancar angkasa lepas ataupun roket yang dilancarkan dari kawasan tersebut akan menerima tenaga momentum yang paling maksimum.

Mengikut kajian juga, setiap pelancaran ke angkasa lepas melibatkan kos bernilai kira-kira RM8,000 (AS$2,000) perkilogram dan dengan kedudukan KLIA itu, pihak terbabit tidak perlu menanggung kos bahan api yang tinggi.

Selain itu kedudukan KLIA di Sepang yang berhampiran dengan Pelabuhan Klang memudahkan penyimpanan bahan api untuk kenderaan pelancar.

''Industri pelancongan angkasa lepas mungkin disifatkan sebagai perkara mainan oleh sesetengah pihak di negara ini tetapi hakikatnya pada masa ini negara luar telahpun menjual tiket kepada orang ramai untuk melancong ke angkasa lepas,'' kata Norul Ridzuan.

Menurut beliau, perkembangan baru Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika (NASA) menunjukkan industri pelancongan angkasa lepas akan menjadi kenyataan menjelang 2020.

''Ia sejajar dengan Wawasan 2020 kerajaan serta kedudukan strategik Malaysia di Khatulistiwa. Juga kemudahan di KLIA yang berteknologi tinggi dan mempunyai kawasan simpanan bagi pembangunan selain tempoh ia beroperasi selama 50 tahun,'' katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak perlu membeli roket atau kenderaan pelancar untuk memajukan industri pelancongan angkasa lepas.

Kata beliau, kelebihan yang ada di KLIA sudah mampu menarik pihak asing.

Tambahnya, KLIS hanya akan berfungsi sebagai pusat pengendalian penerbangan angkasa komersial yang membawa penumpang dan muatan ke angkasa lepas.

Katanya, lapangan angkasa yang diperlukan dalam tempoh 20 hingga 50 tahun dari sekarang adalah terhad dan lapangan terbang yang paling berevolusi menjadi lapangan terbang yang paling berjaya.

''Beberapa firma di Amerika Syarikat, Perancis dan Jepun telahpun bersedia melancarkan penerbangan komersial angkasa lepas,'' katanya.

Menurut Norul Ridzuan, Penerbangan Malaysia (MAS) dengan kerjasama sebuah syarikat penerbangan luar negara turut mempromosikan pelancongan angkasa lepas.

Katanya, kajian mengenainya selain diterajui oleh Baksa melalui syarikat Astronautics Technology Sdn. Bhd. dan Pusat Sains Terengganu, dan SpaceCorp Sdn. Bhd.

Oleh: MARZITA ABDULLAH


Last changed: August 23, 1999