[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

MAT SABU BAYANGKAN HASRAT BERTANDING DI PULAU

Date: 23 Aug 1999
Time: 23:41:32
Remote User: -

Comments

MAT SABU BAYANGKAN HASRAT BERTANDING DI PULAU PINANG

JITRA, 24 Ogos (Bernama) -- Anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Mohamad Sabu membayangkan hasrat untuk bertanding di kawasan Parlimen Tasik Gelugor, Pulau Pinang dalam pilihan raya akan datang.

Beliau meluahkan hasrat itu kepada pemberita selepas berucap pada majlis "Air Mata Kerpan" anjuran PAS di Kuala Jerlun dekat sini, petang semalam.

"Saya asal dari situ, kadang-kadang terasa nak bertanding di tempat sendiri...bagaimanapun ini bergantung kepada pucuk pimpinan PAS, kalau saya diarahkan bertanding di situ saya rela," katanya.

Mohamad telah dua penggal dilantik sebagai anggota Parlimen. Ketika ini beliau mewakili kawasan Parlimen Kubang Kerian dan sebelum itu di Parlimen Nilam Puri, kedua-duanya di negeri Kelantan.

Mohamad berkata beliau yakin PAS akan mengekalkan kerusi Parlimen Kubang Kerian walaupun beliau tidak lagi bertanding di kawasan itu dalam pilihan raya yang akan datang.

"Saya menang dengan majoriti besar di situ, jadi saya yakin siapa pun tokoh PAS yang bertanding di situ, kami pasti akan menang," katanya.

Sebelum itu, dalam majlis tersebut Mohamad berkata, isu pengambilan tanah di Kerpan akan dapat diselesaikan jika PAS berjaya memerintah negeri Kedah.

Isu pengambilan tanah di Kerpan oleh kerajaan negeri untuk projek ternakan udang harimau menjadi kontroversi dan sehingga kini belum dapat diselesaikan kerana dibantah oleh beberapa penduduk kampung yang tanah mereka terlibat untuk projek itu.

Projek itu diluluskan kerajaan negeri pada tahun 1993 dan melibatkan pengambilan tanah seluas 400 hektar, projek yang terbengkalai itu adalah usahasama antara kerajaan negeri dan Kumpulan Ben Ladin dari Arab Saudi. -- BERNAMA


Last changed: August 23, 1999