[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Cubaan langgar penuh misteri

Date: 24 Aug 1999
Time: 01:23:17
Remote User: -

Comments

Cubaan langgar penuh misteri Susunan ABU BAKAR RASHID (fasehah92@hotmail.com)

DARI beberapa laporan media asing mengenai Malaysia, terdapat dua berita yang begitu pelik dan menimbulkan tanda tanya tidak berkesudahan tentang apakah muslihat sebenarnya. Berita Harian Singapura (BH) melaporkan percubaan seorang lelaki untuk melanggar kereta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali South China Morning Post (SCMP) pula melaporkan penang-kapan seorang bekas kolonel yang dikatakan cuba menubuhkan tentera persendirian untuk menjatuhkan kerajaan.

BH melaporkan, seorang lelaki yang memandu kereta Proton Iswara cuba melanggar kereta rasmi kerajaan yang membawa Dr. Siti Hasmah.

Dr. Siti Hasmah, menurut akhbar itu, berada dalam Mercedes Benz bersama isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Puan Sri Hazizah Tumin, apabila kereta Proton itu muncul sekitar pukul tiga petang.

Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, yang dipetik oleh Berita Harian Selasa 20 Julai lalu sebagai berkata "Saya adalah Maha Fir'aun," berada di kereta lain dalam konvoi yang menuju ke sesi bertemu rakyat di Kampung Selaru.

Akhbar tersebut melaporkan, lelaki tersebut dipercayai menunggu konvoi itu di tepi jalan.

Para pegawai dari Skuad Tindakan Khas terus menghalangnya apabila ia cuba mendekati konvoi itu, lapor akhbar itu.

Selepas kereta Dr. Maha-thir berlalu, lapor BH, lelaki itu cuba sekali lagi dan berjaya mendekati kereta Dr. Siti Hasmah.

Satu lagi pasukan keselamatan kemudian memaksanya beredar. Lelaki itu diberkas dan disoal-siasat sebelum dibebaskan, lapor BH.

Tidak diketahui apakah sebabnya lelaki yang cuba melanggar kereta isteri Perdana Menteri itu dibebaskan sedangkan tindakan itu boleh dianggap sebagai cubaan mencedera atau mem-bunuh. Tidak juga diketahui adakah terdapat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu hanya lakonan dan olok-olok sahaja untuk mensensasikan gembar-gembur sebelum ini kononnya Perdana Menteri hendak dibunuh.

Bagaimanapun, tindakan membebaskan lelaki itu setelah diberkas tetap menimbulkan pelbagai tanda tanya yang menjadikan hampir semua pihak tercengang-cengang dan kebingungan memandangkan Perdana Menteri tidak pernah diketahui bertolak ansur terhadap sebarang konspirasi untuk menjatuhkannya.

Percubaan membunuh sama ada isteri beliau atau beliau sendiri tentulah lebih serius dan sepatutnya menerima tindakan yang lebih tegas. Lantaran itu, keputusan membebaskan lelaki yang cuba melanggar kereta isterinya itu begitu misteri dan amat membingungkan.

Satu lagi berita penuh misteri dan kelihatan bermuslihat ialah mengenai penangkapan seorang bekas kolonel unit komando yang kononnya hendak menubuhkan tentera persendirian bagi menggulingkan kerajaan.

Menurut SCMP, polis telah menangkap kolonel itu dan tiga orang lain serta merampas pakaian seragam tentera yang palsu serta kad-kad pengenalan.

Akhbar itu melaporkan kononnya anak-anak muda telah direkrutkan melalui unit-unit berpakaian seragam di sekolah-sekolah menengah dan dihantar ke kem-kem rahsia untuk menjalani latihan komando, termasuk menggu-nakan rifel.

Inilah kali pertama, lapor akhbar itu, terdapat laporan mengenai perancangan rampasan kuasa tentera di Malaysia.

Menurut SCMP lagi, pegawai Kementerian Per-tahanan berkata, gerakan bekas kolonel itu merekrutkan pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima dan pelajar-pelajar tercicir di sekitar Kuala Lumpur.

Laporan mengenai usaha untuk merampas kuasa itu timbul ketika negara dilanda ketegangan politik berikutan penentangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dr. Mahathir.

Tidak diketahui adakah berita itu merupakan sesuatu yang selari dan substantif kepada ramalan Dr. Mahathir bahawa "pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang paling kotor" dan juga keriuhan sensasi tentang apa yang dibisingkan sebagai percubaan membunuh Perdana Menteri.

Jika berita itu benar, tidak juga diketahui apakah yang mendorong bekas kolonel itu menubuhkan gerakan penentangan secara gerila sedangkan cara sedemikian terbukti tidak mendapat simpati rakyat negara ini seperti yang dialami oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Dalam sejarah kontemporari Asia Tenggara, Presiden Marcos di Filipina dan Presiden Suharto di Indonesia tidak digulingkan oleh penentangan gerila tetapi dengan kekentalan semangat perjuangan dan kebangkitan rakyat tertindas setelah kedua-dua diktator itu berjaya memanipulasikan peti undi.


Last changed: August 24, 1999