[ Laman Ehwal Semasa ReformIS ]

Keutamaan BN, antara setia dan korupsi.

Date: 24 Aug 1999
Time: 01:29:39
Remote User: -

Comments

PENGAMAT MEDIA

Keutamaan BN, antara setia dan korupsi

Anwar Ibrahim baru-baru ini telah mengemukakan beberapa laporan polis tentang kemungkinan berlakunya amalan korupsi oleh beberapa "orang utama" Dr. Mahathir Mohamad - Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Eric Chia. Laporan yang lengkap dengan bukti-bukti yang berbentuk dokumen itu juga menimbulkan implikasi tentang kemungkinan terdapatnya kecuaian untuk bertindak atau dengan sengaja mencuba menyembunyikan kebenaran oleh pihak berkuasa yang sepatutnya bertindak, yakni Dr. Mahathir sendiri.

Selama beberapa minggu tidak terdengar sebarang jawapan terhadap tuduhan itu, baik dari "tokoh-tokoh" yang terlibat mahupun dari Dr. Mahathir. Hanya dari Daim Zainuddin terdapat suatu jawapan yang tidak mencuba menafikan persoalan "rasuah" yang ditimbulkan, tetapi menimbulkan beberapa persoalan teknikal tentang siapakah yang biasanya dirundingi dalam persoalan yang diperkatakan itu.

Tiba-tiba sejak minggu lalu media arus utama negara ini - yang selama ini hanya memberikan perhatian yang kecil sahaja terhadap laporan-laporan polis Anwar Ibrahim itu - dipenuhi oleh pandangan yang diucapkan oleh Dr. Mahathir dan orang-orang kanannya dalam kerajaan tentang "penderhakaan" yang telah dilakukan Anwar Ibrahim yang dikatakan telah membocorkan rahsia negara dan menyeludupkan serta menyimpan dokumen-dokumen buktinya ke luar negara.

Nyatalah, setelah beberapa minggu berlalu pihak berkuasa baru menemukan suatu cara untuk "menangani" persoalan rasuah besar yang telah didedahkan oleh Anwar Ibrahim itu - bukan dengan menjawab atau menafikannya tetapi dengan sekadar memesongkan pandangan rakyat kepada persoalan lain. Dengan memanfaatkan fitnah lama tentang Anwar Ibrahim menjadi "agen kuasa asing", pendekatan yang telah dipilih oleh Dr. Mahathir kali ini berharap juga mengalihkan dosa yang sebenarnya terhadap negara daripada dirinya sendiri dan para kroninya kepada Anwar Ibrahim.

Malah ada ahli akademik dari salah sebuah universiti negara ini - entah dari kalangan mereka yang dianggap Dr. Mahathir tidak cukup berkelayakan untuk memegang jawatannya - telah dimanfaatkan oleh sebuah stesen television untuk menekankan betapa seriusnya "dosa" penderhakaan ini dalam budaya Melayu.

Dalam kebiasaan kerajaan Melayu Melaka, menurut ahli akademik tersebut, hukumannya ialah si pesalah itu dan seluruh keluarganya akan dipancung dan malah tapak rumahnya akan dihumban ke laut!

Namun caranya persoalan ini ditangani oleh Dr. Mahathir, menurut hemat saya, lebih banyak men-dedahkan keburukan sikap dan keutamaan politik Dr. Mahathir sendiri daripada mendedahkan "dosa" Anwar Ibrahim.

Seperkara yang amat menonjol daripada isu ini ialah hakikat bahawa Dr. Mahathir lebih mengutamakan kesetiaan kepada dirinya sendiri daripada membanteras perbuatan yang amat membahayakan negara - seperti rasuah di kalangan orang-orang yang berkuasa dan berkedudukan tinggi dalam pentadbiran negara.

Sesiapa yang sanggup berdiam diri, malah bersubahat, terhadap perbuatan yang merugikan negara lagi tidak bermoral itu akan dianggap berbakti kepada negaranya asalkan dia terus berdiam diri - sedangkan seseorang yang berani mendedahkan keburukan tersebut kepada rakyat akan dianggap penderhaka.

Peristiwa ini juga dengan jelasnya mendedahkan sifat dan keburukan undang-undang yang bernama Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu sendiri, baik dari segi falsafahnya mahupun dari segi pelaksanaannya.

Najib Tun Razak, antara lain, telah berhujah bahawa semua negara di dunia mempunyai akta yang demikian kerana semua negara perlu menyembunyikan dokumen-dokumen yang mengandungi rahsia negara.

Pada hemat saya, panda-ngan itu meskipun tidak begitu tepat faktanya me-manglah benar dari segi-segi tertentu - namun segalanya bergantung kepada apakah yang ditakrifkan sebagai "rahsia negara". Keselamatan sesebuah negara itu sudah pastilah akan terancam jika dokumen-dokumen tentang strategi peperangan, misal-nya, terdedah kepada pihak musuh. Dalam kebiasaan pentadbiran negara di mana-mana memang terdapat suatu kefahaman yang jelas tentang apakah yang dimaksudkan dengan "rahsia negara".

Tetapi dalam kebiasaan kita yang ditunjangi oleh OSA ini, "rahsia negara" adalah sebarang maklumat dan dokumen yang ditakrifkan oleh pihak berkuasa sebagai rahsia. Oleh yang demikian dalam pelaksanaan OSA yang dilakukan secara terpilih itu akta tersebut sering digunakan untuk menutup dan menyembunyikan salah laku oleh pihak yang berkuasa dan untuk menghukum sesiapa sahaja yang berani mendedahkan salah laku tersebut kepada rakyat umum.

Dalam ancaman yang telah dibuat terhadap Anwar Ibrahim, amat jelas bahawa OSA itu sekali lagi digunakan untuk tujuan yang tidak bermoral itu.

Dalam hubungan dengan isu ini, satu-satunya "dosa" yang telah dilakukan oleh Anwar Ibrahim ialah bahawa sebagai seorang yang mengetahui segala macam salah laku yang serius oleh orang-orang berkedudukan tinggi di negara ini, dia tidak sanggup lagi berdiam diri dan menutup matanya. Nyatalah bahawa dia telah mengumpulkan dokumen-dokumen tentang penyelewengan sumber negara yang amat serius itu - tentunya untuk didedahkan pada suatu ketika yang sesuai kelak.

Haruslah diingat bahawa sebagai seorang yang memegang beberapa jawatan penting dalam badan-badan penting yang ditugaskan memantau salah laku, pelanggaran disiplin dan korupsi dalam kerajaan dan parti, maka pastilah dokumen-dokumen tersebut akan datang ke ribanya tanpa dia perlu mencari-carinya lagi.

Jika Anwar Ibrahim kemudiannya menyimpan dokumen-dokumen yang penting itu di luar negara, maka langkah itu tidaklah semestinya bermakna bahawa dia telah membocorkan "rahsia negara" kepada negara asing. Malah langkah itu dapat dianggap sebagai langkah bijak, memandangkan betapa tidak selamatnya dokumen tersebut jika terus disimpan di negara ini - dalam jangkauan tangan pihak keselamatan negara ini yang terkenal kerana pendekatan tidak ortodok dalam penyiasatannya.

Dalam hubungan ini kita tidak sahaja teringat akan mata lebam Anwar Ibrahim yang disebabkan oleh Ketua Polis sendiri, malah perlu juga diingat beberapa kes pemecahan kereta, pencurian komputer, dan pemecahan pejabat beberapa orang peguam Anwar Ibrahim yang berlalu sejak beberapa bulan lalu.

Malah sifat "tidak boleh diharapkan" pihak polis dalam hal seperti ini juga amat jelas dalam pendekatannya dalam menghadapi kes ini. Beberapa minggu setelah laporan polis itu dikemukakan tidak kita dengar sebarang tindakan konkrit dilakukan untuk menyiasat pelbagai kes rasuah dan pecah amanah yang dilaporkan itu.

Namun begitu, sebaik sahaja pemimpin tertentu menyebut tentang "penderhakaan" dan kemungkinan terdapatnya salah laku dari segi OSA, maka pihak polis tampaknya telah mulai memperlihatkan keghairahan besarnya untuk segera bertindak - bukan untuk menyiasat rasuah yang dilaporkan tetapi untuk menyiasat penyimpanan dokumen di luar negara. Demikian hebat dan berleluasa amalan "pendakwaan berpilih-pilih" dalam pelaksanaan keadilan negara ini.

Sejumlah kes rasuah, pecah amanah dan kecuaian yang dilakukan oleh sebilangan orang-orang berkedudukan tinggi yang didedahkan bersama-sama dalil berbentuk dokumen yang amat meyakinkan hanya mendapat reaksi yang separuh hati dari media cetak dan elektronik utama, dari pihak penjaga keselamatan negara, dari pihak badan pentadbiran yang sepatutnya memantau kesalahan yang demikian, dan dari para ahli politik yang sepatutnya lebih berani, bermaruah dan bertanggungjawab.

Namun bila suatu "penderhakaan" diandaikan oleh seorang pemimpin yang berkuasa berasaskan sebuah akta yang begitu kontroversial dari segi kesannya terhadap pelaksanaan keadilan di negara itu, maka andaian itu tampaknya mengimbau tindakbalas yang segera dari pihak keselamatan, ahli politik, ahli akademik, media arus utama, dan sebagainya.

Di manakah gerangan keutamaan pemikiran demokrasi dan undang kita: yang berani dan menjadi wira diancam hukuman, yang melakukan rasuah dan pecah amanah dilindungi dan diberi ganjaran?


Last changed: August 24, 1999